Dalam satu iklan bijirin sarapan, untuk menggambarkan betapa sedapnya bijirin itu, digambarkan seorang kanak-kanak yang membuat helah kepada ibunya dengan menyuruh ibunya menoleh ke belakang – seolah-olah ada sesuatu yang menarik di belakang ibunya itu – hanya supaya dia dapat menambah bijirin tersebut ke dalam mangkuknya. Walaupun tujuan utama iklan ini bukanlah untuk mendidik kanak-kanak, namun, mengapa perlu ditunjukkan kanak-kanak yang membuat helah untuk menambah sarapannya? Mengapa tidak ditunjukkan sahaja bagaimana kanak-kanak tersebut meminta bijirin tambahan secara sopan?
Dalam iklan sejenis ubat batuk pula, ditunjukkan bagaimana sekumpulan kanak-kanak cuba mencuri buah. Maka, berlari-larilah seorang tua – tuan pokok – merapati kanak-kanak itu untuk memarahi mereka. Larian si tua itu membuatkan beliau terbatuk-batuk tidak berhenti-henti. Lalu, kanak-kanak itu pergi mendapatkan si tuan pokok tadi yang kemudiannya memberi isyarat supaya mengambil ubat batuk tersebut di beranda. Ternyata, tuan pokok tadi pulih setelah meminum ubat batuk tersebut.
Apa perlunya memaparkan gelagat kanak-kanak yang mahu mencuri itu? Tidak bolehkah dipaparkan kanak-kanak yang sedang melakukan sesuatu kebaikan seperti bersukan atau membaca atau melakukan satu tugasan sains?
Begitu juga dengan “sajak kematian” tempoh hari. Ketika pertama kali melihat laporannya di TV, penulis tidak bersetuju dengan kaedah itu untuk mendidik kanak-kanak. Pendirian penulis tetap sama setelah membaca pelbagai maklumbalas di akhbar.
Setelah menontonnya sendiri, penulis yakin dan pasti, video itu memang tidak sepatutnya dipertontonkan kepada kanak-kanak yang berusia antara 7 – 8 tahun. Selain kerana wujudnya jenazah yang berkafan sebagai watak utama video itu – yang penulis pasti, ramai orang dewasa yang tidak senang hati melihatnya, inikan pula kanak-kanak – apa yang menyebabkannya tidak sesuai untuk kanak-kanak ialah kerana bait-bait kata yang digunakan dalam sajak itu amat jauh dari hakikat hidup kanak-kanak tersebut.
Misalnya, jenazah itu menyesali perbuatan-perbuatan silamnya seperti “berlagak bagai Tuhan”, “tidak membawa watak Hamba Allah”, “pecah belahkan orang”, “salahguna kuasa dan wang”, “halang orang bertaubat” dan “hancurkan ekonomi orang Islam”.
Kesilapan-kesilapan itu mudah difahami oleh orang dewasa kerana sifatnya yang rapat dengan kehidupan mereka. Namun, sejauhmanakah kanak-kanak pada usia 7 – 8 tahun, yang menjadi penonton video itu tadi, dapat mengaitkan diri mereka dengan kesilapan-kesilapan tersebut? Lainlah sekiranya kesalahan-kesalahan yang dinyatakan itu adalah seperti “mencuri jambu Pak Ali” atau “menipu ibu” atau “menyiat kulit kucing”!
Melihat kepada iklan-iklan seumpama tadi serta video sajak kematian yang didakwa sebagai satu cara yang baik untuk mendidik kanak-kanak, penulis tertanya-tanya, sudah ketandusan akalkah kita dalam mencari kaedah yang sesuai dan berkesan bagi tujuan ini?
Abdullah Nasih Ulwan, dalam bukunya Pendidikan Anak-anak Dalam Islam menyebut bahawa cara-cara berkesan untuk mendidik anak-anak ialah: (i) dengan memberikan contoh teladan; (ii) dengan membiasakan si anak mengamalkan perkara baik; (iii) dengan menasihati dan membimbing; (iv) dengan memerhati dan mengawasi; dan, (v) dengan mendenda dan menghukum.
Walaupun beliau ada menyebut tentang perlunya menimbulkan perasaan kecut dan gerun ketika menasihati si anak serta memberi hukuman dengan menakutkan dan menggentarkan, namun, kedua-dua cara ini adalah sebahagian kecil dari puluhan cara lain yang lebih berkesan dalam mendidik anak-anak.
Malah, beliau juga menekankan betapa kanak-kanak ini berbeza antara satu sama lain. Ada yang dapat dibetulkan bila si ibu menjeling atau si bapa berdehem. Ada pula yang perlu ditegur secara lisan. Malah, ada juga yang hanya berhenti buat kelaku setelah tangan ibu atau bapanya singgah di badan. Dalam kata-kata lain, kanak-kanak perlu dididik mengikut keperibadiannya. Maka, adalah tidak wajar sekiranya kita berpendapat satu video sahaja boleh mendidik sebuah kelas, apalagi sebuah sekolah.
Namun, terdapat kecenderungan dalam masyarakat kita untuk menggunakan contoh yang buruk dalam usaha mengajak orang menjadi baik. Misalnya, dalam drama TV, khususnya yang kononnya ‘berunsur Islam’, watak utamanya seringkali ditonjolkan sebagai seorang yang amat jahat dan telah melakukan pelbagai maksiat, sebelum bertaubat menjadi baik.
Begitu juga, dalam usaha mendidik masyarakat supaya bersimpati dan prihatin terhadap pesakit HIV/AIDS, sering ditonjolkan betapa pesakit itu dihina, dicerca dan dipulaukan, malah ada yang berniat untuk membunuhnya, sebelum akhirnya semua orang sedar akan kesilapan mereka. Tidak bolehkah ditonjolkan masyarakat Muslim sebenar yang secara fitrahnya berperikemanusiaan dan prihatin terhadap golongan seperti ini?
Sebenarnya adalah lebih mudah menjemput orang menjadi baik dengan memberikan contoh teladan yang baik. Namun, entah di mana silapnya, ramai yang memilih jalan yang berbelit untuk menjemput orang kepada kebaikan.
Di zaman teknologi maklumat ini, ada banyak cara yang menarik yang boleh difikirkan untuk mendidik kanak-kanak menjadi baik. Oleh kerana penontonnya adalah kanak-kanak, pilihlah jalan yang mudah dan lurus. Jika kita mahu mereka menjadi baik, tunjukkan contoh yang baik. Bukan contoh yang buruk agar dia tahu apa itu baik. Akal fikiran yang mentah akan sukar untuk memahami benda yang berbelit. Tambah pula dalam hal agama, pilihlah kaedah yang boleh menarik mereka kepada syiar Islam. Bukan sebaliknya.