Keterbukaan sikap merupakan salah satu corak komunikasi kepimpinan yang penting. Dalam konteks organisasi pemimpin yang mempunyai sikap terbuka dapat memperlihatkan kesanggupan untuk menerima teguran yang membina, bersedia untuk mendengar dan menerima pendapat, mudah diajak berbincang dalam segala masalah serta bersedia berkongsi maklumat berkaitan tugas.
Malah perkongsian itu bukan sekadar kesediaan pemimpin mendengar pandangan atau buah fikiran daripada mereka yang berjawatan tinggi tetapi pandangan pekerja bawahan atau pekerja yang lebih muda daripadanya diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan untuk memastikan matlamat organisasi tercapai.
Atas alasan ini juga sikap keterbukaan pemimpin amat perlu dalam organisasi kerana pemimpin dan pekerja dapat berkongsi maklumat kerja melalui sebarang bentuk perbincangan yang diadakan.
Menghayati sikap keterbukaan dalam kalangan pemimpin hari ini sudah menjadi tuntutan dalam Islam. Kepentingannya amat jelas sehinggakan telah termaktub dalam Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 4 (1991) yang menyebutkan tentang beberapa kepentingan amalan sikap terbuka yang dikenal pasti dapat mengumpul idea-idea bernas untuk sebarang tindakan, menggalakkan seluruh kakitangan agensi dalam proses peningkatan prestasi melalui sumbangan, cadangan serta buah fikiran serta dapat memupuk daya kreativiti dan menyemai budaya inovasi dalam kalangan pekerja bagi peningkatan prestasi.
Melalui keterbukaan sikap pemimpin akan berusaha menghasilkan keputusan yang baik melalui mesyuarat tanpa ada persengketaan atau perbalahan. Pandangan-pandangan daripada ahli mesyuarat misalnya perlu digarap dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan keputusan yang benar-benar matang demi keputusan bersama dan kemajuan organisasi.
Begitu juga pemimpin yang bersedia menerima pandangan akan berusaha membawa kemajuan kepada organisasi secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga ‘status quo‘ tetapi berperanan berjihad membawa perubahan atau inovasi dalam organisasinya dan bukan lagi berada di takuk yang sama.
Sikap keterbukaan ini ada dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 18 yang bermaksud “Yang berusaha mendengarkan perkataan-perkataan lalu mereka memilih dan menurut akan sebaik-baiknya; mereka itulah orang yang diberi hidayah petunjuk Allah, dan mereka itulah yang berakal sempurna”
Dari penjelasan ayat tersebut jelas menunjukkan sikap keterbukaan ada kaitan dengan iman dan sesiapa yang memiliki sifat tersebut dianggap orang yang berakal budi dan mendapat petunjuk serta hidayah daripada Allah SWT kerana dia berusaha untuk memahami apa jua yang didengarinya dengan baik dan teliti kemudian memilih keputusan yang terbaik untuk dilaksanakan.
Namun, mesej ini tidak kesampaian sekiranya terdapat pemimpin yang mempunyai sikap tertutup yang merupakan lawan kepada sikap keterbukaan itu tadi. Apabila sikap tertutup pemimpin ini menguasai diri, kita dapat lihat pemimpin tersebut akan mengambil keputusan dengan sendirinya tanpa mengendahkan cadangan mahupun pandangan orang lain. Boleh dikatakan dialah yang tahu segala-galanya tentang hal organisasi yang dinaunginya. Dengan kata lain dia takabbur kerana dia tahu segala-galanya sehingga tertutup segala kebenaran dari pihak lain.
Akibatnya daripada sikap tersebut akan timbul satu perasaan ego, sombong dan bongkak dalam dirinya. Rentetan dari sikap sombong dan egonya itu, maka tertutuplah segala pintu perbincangan. Jika ada sekalipun perbincangan dengan pemimpin tersebut tidak lebih sekadar untuk mengesahkan fikirannya dan pendiriannya sahaja. Manakala penyertaan orang lain dalam perbincangan tersebut hanya sekadar mengangguk kepala dan menjadi pendengar setia sahaja. Seandainya sikap ini dimiliki oleh seorang pemimpin ia menjadi seorang pemimpin yang boleh dikategorikan sebagai diktator yang cepat dan mudah melenting bila ditegur.
Sebaik-baiknya seorang pengurus atau ketua dalam organisasi tidak harus mempunyai sifat ego dan sombong serta sikap tertutup kepada apa jua sesi perbincangan. Jika dilihat Rasulullah SAW boleh menerima pandangan orang lain sedangkan baginda adalah merupakan penghulu umat manusia, maka mengapa hari ini ada segelintir pemimpin yg terlalu ego dan sombong untuk sekurang-kurangnya mendengar buah fikiran orang lain?
Di sini menunjukkan kepada kita bahawa jawatan dan kedudukan yang dipegang, setinggi mana pun ia, tidak boleh menjadikan individu tersebut kebal dengan sebarang teguran dan pandangan. Lebih-lebih lagi kita adalah manusia yang tidak maksum sudah pasti memerlukan bantuan daripada sahabat-sahabat dan juga pekerja yang lain untuk menampung segala kekurangan.
Pun begitu, seandainya tidak bersetuju dengan pandangan orang lain, adalah lebih baik menggunakan bangkangan yang paling lembut dan berhikmah. Kenapa perlu ada perbalahan sedangkan kita mempunyai pilihan untuk perbincangan dalam suasana yang cukup harmoni terutama melalui majlis syura dan sebagainya.
Melalui mesej yang disampaikan ini diharapkan pemimpin hari ini dapat bersikap terbuka. Keterbukaan bukan sekadar memenuhi prosedur kerja tetapi apa yang lebih penting adalah disebabkan perintah Allah SWT. Sia-sia sahajalah usaha yang dilakukan oleh pemimpin jika mengenepikan segala pandangan daripada pihak lain yang lebih baik dalam memastikan matlamat organisasi tercapai dalam membantu melincinkan lagi perjalanan organisasi.
Di samping nilai ini juga amat perlu apabila kerajaan menghadapi cabaran yang lebih besar untuk mencapai matlamat dan agenda menerusi empat tonggak utama iaitu konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang memerlukan anjakan pradigma yang lebih besar dari aspek keterbukaan minda oleh semua pihak yang terlibat.