Polemik tentang ketum masih tidak mempunyai penghujung. Kesamaran mencari jalan keluar akan membawa kepada kekeliruan dalam masyarakat. Kebimbangan timbul tentang ketum sama ada benar-benar bermanfaat atau menjadi racun berbahaya sekiranya tidak dipantau atau diregulasi. Justeru, penyelidikan dan penjelasan oleh penyelidik atau pakar berkelayakan akan membuka mata dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum, daripada hanya mendengar retorik dalam media massa dan media sosial.
Beberapa isu yang kerap ditimbulkan ialah undang-undang berkenaan ketum yang telah diwartakan dan akan ditambahbaik, penggunaan ketum kepada penagih dadah dan persoalan piawaian dos yang boleh membawa manfaat atau mudarat. Apakah penggunaan ketum boleh memarakkan kebejatan sosial atau mampu menjadi penawar kepada banyak penyakit seperti yang didakwa seterusnya dapat memperbaiki status ekonomi masyarakat?
Undang-undang ketum di Malaysia adalah di bawah Akta Racun 1952. Ia boleh ditanam untuk kegunaan sendiri tetapi tidak boleh dikomersialkan. Cadangan untuk mewartakan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1952 perlu dinilai dengan terperinci agar kita tidak tercicir daripada mendapat manfaatnya atau tidak terjerumus dalam kemudaratan sosial yang berpanjangan.
Menurut Dr Rusdi Abdul Rashid, Pensyarah Kanan/ penyelidik dari Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya dalam ceramah beliau bertajuk “Ketum: Use or Abuse?” di Pusat Perubatan Universiti Malaya menjelaskan bahawa ketum cenderung kepada penggunaan bukan penyalahgunaan. Ketum merupakan alternatif yang berpotensi untuk menggantikan methadone bagi rawatan ketagihan dadah jenis opiate. Methadone yang diimport dari Itali kini digunakan untuk merawat penagih dadah, menelan belanja yang agak tinggi serta mempunyai banyak kesan sampingan kepada kesihatan seksual lelaki dan boleh menyebabkan mengantuk. Sedangkan ketum tidak menyebabkan kesan-kesan tersebut. Ketum juga boleh mengubati penagih dadah jenis ATS (Amphetamine-Type- Stimulants). Penemuan ini penting kerana belum ada rawatan untuk penagih ATS (syabu dan pil kuda) di mana sehingga kini hanya rawatan kaunseling digunakan untuk mengekang masalah berkaitan penggunaannya.
Salah satu dapatan yang menarik menurut pemerhatian beliau selama melaksanakan kajian penggunaan ketum mendapati bahawa tiada pengguna ketum yang mempunyai masalah disebabkan penggunaan ketum. Bagi penagih dadah, tujuan mereka menggunakan ketum adalah untuk menghilangkan ketagihan dadah jenis opiate dan pil kuda. Individu yang telah biasa mengambil ketum, dilihat tiada masalah untuk berfungsi dalam masyarakat kecuali penagih dadah (dalam masa yang sama mengambil ketum). Ini menunjukkan tiada kesan negatif hasil daripada penggunaan ketum dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, kajian dan penyelidikan lanjut tentang ketum perlu dilaksanakan untuk melihat sejauh mana kegunaan dan manfaatnya. Malah, hasil kajian sama ada kebaikan atau keburukannya perlu disampaikan kepada masyarakat melalui medium yang bersesuaian.
Dos dan piawaian yang tepat dalam pengambilan ketum perlu dilihat sebagai salah satu aspek penting dalam menilai manfaat dan mudaratnya sepertimana pengambilan ubat-ubatan atau farmaseutikal yang lain. Walaupun ketum berkesan dalam merawat ketagihan dadah, dikhuatiri pengambilan yang tiada kawalan dan keterlaluan boleh memberikan kesan ketagihan terhadap bahan ini. Ini kerana ketum mengandungi bahan alkaloid seperti mitragynine, mitraphylline dan 7-hydroxymitragynine (bahan hiperaktif) yang menyebabkan seseorang yang mengambilnya dalam kadar yang berlebihan menjadi ketagih.
Kepelbagaian biodiversiti dalam negara kita perlu dimanfaatkan sebaiknya. Daun ketum dikatakan menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang lepas bersalin, rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan merawat sakit sendi serta belakang. Selain dijadikan sebagai alternatif untuk mengawal kadar gula dalam darah, ketum digunakan sebagai ubat anti kemurungan.
Menurut perspektif Islam, mudarat (mafsadah) yang lebih besar perlu dielakkan berbanding manfaat. Walau bagaimanapun, pertimbangan yang sewajarnya perlu diharmonikan dan tidak hanya melihat dari satu sisi keburukan mahupun kebaikan.
Oleh itu, isu ketum ini perlu dilihat secara holistik dan tidak bersifat mengikat serta menghukum khususnya melibatkan pandangan, fatwa mahupun undang-undang di samping keperluan melaksanakan penyelidikan secara berterusan.
Kemungkinan kehebatan dan manfaat ketum dapat digunakan untuk merawat penagih-penagih di Malaysia. Jika mendapat kebenaran dari pihak berkuasa, persediaan secara tradisional mungkin boleh dilaksanakan untuk mendapat manfaatnya dengan mengawal kepekatan dan piawaian dos yang betul menerusi proses penyediaan dan kawalan kualiti yang teratur.
Sekiranya manfaat perubatan kepada masyarakat diambilkira, isu kawalan untuk mengelakkan penyalahgunaannya perlu dilaksanakan walaupun agak mencabar supaya tidak diambil kesempatan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Tumbuhan tersebut perlu dikawal penanamannya tanpa mengehadkan untuk penggunaan penyelidikan dan perubatan. Sudah pasti langkah ini memerlukan mekanisme yang telus dan tuntas agar tidak merumitkan pembasmian isu dadah yang sedia ada.
Penyelidikan tentang potensi ketum perlu dilaksanakan secara lebih mendalam dan menyeluruh bukan sahaja untuk melihat kepentingan, kebaikan dan manfaat tetapi juga perlu meneliti keburukan dan kemudaratan daripada penggunaannya. Memandangkan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) juga telah mengharamkan ketum, barangkali boleh dikaji keseimbangan kesan manfaat dan mudaratnya serta dinilai menerusi perspektif Islam demi menjaga kemaslahatan ummah sejagat. Bahkan perlu dinilai asas dan faktor yang menyebabkan FDA mengharamkannya.
Namun, dalam masa yang sama kita tidak boleh mengabaikan khazanah yang dimiliki oleh negara kita yang mungkin mampu mendatangkan manfaat yang tidak ternilai untuk menyelesaikan masalah kesihatan, ekonomi dan sosial rakyat. Kebimbangan tentang kemudaratannya boleh diatasi sekiranya kajian saintifik dilaksanakan secara padu dan berkesan tanpa ada sekatan dan keterhadan sumber (daun ketum) dan dana penyelidikan. Seterusnya pendedahan hasil-hasil dapatan amat penting dalam menyediakan maklumat yang tepat dan telus kepada masyarakat. Di samping itu, penggunaan ketum perlu dikawal untuk mengelakkan penyalahgunaan yang memudaratkan. Penyalahgunaan ketum perlu dicantas dan dibasmikan tetapi impak kebaikan daripada penggunaannya dalam pelbagai sudut perlu diberi perhatian sewajarnya agar masyarakat kita tidak terlepas memanfaatkan khazanah alam yang dianugerahkan oleh Allah SWT.