Apakah komitmen anda terhadap alam sekitar pada tahun 2018 ini? Adakah anda bersedia menjadi wira dalam memperjuangkan persekitaran yang lebih baik dan bersih? Sudikah anda merealisasikan amanah menjaga persekitaran anugerah Ilahi ini?
Soalan-soalan yang diajukan di atas memerlukan jawapan anda. Ketika ini, komitmen anda untuk sama-sama memperjuangkan nasib alam ini amat diperlukan. Ini kerana, sama ada anda sedar atau tidak, alam sekitar kita sebenarnya sedang “sakit.” Terlalu banyak kerosakan yang telah dilakukan oleh tangan manusia terhadap persekitaran ini. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, anda tidak mungkin dapat menikmati persekitaran yang bersih lagi.
Kebanyakan masalah alam sekitar berlaku bukannya kerana kita tidak sedar mahupun tidak tahu. Masalah tersebut terjadi kerana kita tidak peduli. Apabila kepedulian itu tiada maka komitmen juga tidak mungkin wujud. Maka, alam sekitar akan terus bernasib malang tanpa ada pembelaan yang sewajarnya.
Oleh itu, adakah berkemungkinan kita meletakkan alam sekitar sebagai keutamaan dalam 2018 ini? Jarang sekali kita berazam begitu. Dalam banyak keadaan, kita meletakkan azam untuk menjadi lebih kaya, membeli itu dan ini mahupun mencapai kejayaan dalam kerjaya, keluarga dan sebagainya.
Namun, ingatlah. Azam yang anda bina itu tidak bermakna jika persekitaran anda sudah tidak lagi indah. Bayangkan, anda berjaya membeli kereta idaman tetapi terpaksa memakai topeng udara setiap masa kerana pencemaran udara yang kronik. Malah, mungkin ketika itu, anda terpaksa membuat keputusan penting sama ada membeli petrol untuk kereta atau air untuk minuman kerana harga air bersih menjadi lebih mahal akibat pencemaran air yang melampau.
Dalam negara mahupun dunia ketika ini, air dan udara bukan satu-satunya sumber yang tercemar. Terdapat pelbagai masalah alam sekitar yang lain. Pencemaran dan degradasi tanah, kepupusan flora dan fauna, penerbangan hutan tanpa kawalan, pemanasan global dan perubahan iklim dunia menjadi antara contoh kebejatan yang menimpa alam sekitar kini. Lebih menyedihkan, ramai yang tidak tahu akan hal ini. Malah, ramai juga yang tidak mahu sedar. Apabila anda tidak tahu dan tiada kesedaran, maka tiada tindakan pembetulan yang boleh dilakukan.
Inilah punca kepada pelbagai masalah alam sekitar kini. Jika tiada kesedaran, apa jua usaha untuk menjaga alam ini menjadi tidak bermakna. Langkah-langkah untuk melindungi alam sekitar seperti dasar mengenai alam sekitar, undang-undang melindungi alam mahupun teknologi canggih untuk mengatasi masalah persekitaran menjadi tidak bermakna jika kita masih mengekalkan sikap yang sama iaitu sikap tidak tahu, tidak peduli dan tidak sedar.
Sekitar 2017 yang lepas, terdapat beberapa perkembangan positif berkaitan alam sekitar di negara ini. Antaranya, usaha untuk memperkenalkan subjek alam sekitar di sekolah bagi memastikan kesedaran dan tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar dapat dipupuk seawal mungkin. Malah, melalui pendidikan alam sekitar ini juga, kaedah betul untuk menjaga alam sekitar akan turut menjadi intipati utama subjek tersebut.
Selain itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar turut memaklumkan bahawa beberapa undang-undang baharu seperti undang-undang berkaitan sumber air akan diperkenalkan. Undang-undang ini khusus untuk menyelaraskan pengurusan air di negara ini. Dalam masa yang sama, terdapat juga cadangan untuk memperkenalkan peruntukan khusus berkenaan perlindungan laut dalam usaha memelihara ekosistem marin dan terumbu karang. Selain itu, kerajaan dilaporkan sedang meneliti usaha untuk menggantikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dengan satu undang-undang baharu bernama Akta Perlindungan Alam Sekeliling (Environmental Protection Act). Undang-undang baharu ini dijangka menjadi lebih lengkap dengan beberapa penambahan peruntukan baharu untuk menangani masalah pencemaran seperti tumpahan minyak di laut dan darat, perancangan tapak kilang serta peraturan mengenai kilang haram.
Perkembangan-perkembangan yang dinyatakan ini sebahagiannya masih lagi di peringkat perancangan awal dan mengambil masa untuk direalisasikan. Misalnya, pengenalan subjek alam sekitar itu dijangkakan untuk 2019. Walaupun begitu, usaha-usaha ini seharusnya mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia. Ini kerana, “perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama.” Dengan itu, langkah awal ini diharapkan dapat membuahkan hasil lumayan dan pastinya hasil itu ialah dalam bentuk alam sekitar yang sejahtera dan terbela.
Besarlah harapan semua rakyat Malaysia agar usaha-usaha yang dinyatakan di atas akan menjadi kenyataan. Bagi menjayakannya, semua rakyat di negara ini seharusnya memainkan peranan masing-masing. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.” Usaha yang sedikit tetapi dilakukan dengan istiqamah, pasti membuahkan hasil yang lumayan.
Istiqamah menjadi tuntutan penting dalam Islam. Setiap Muslim dituntut beristiqamah dalam beribadat serta menjauhkan perbuatan mungkar. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang sahabat tentang perkara yang paling penting dalam Islam dan Rasulullah SAW menjawab “Katakanlah aku telah beriman kepada Allah, kemudian istiqamah (tetap menjalankan perintah dan menjauhi larangan)” (HR Tirmidzi).
Selain tetap melaksanakan ibadah dan menjauhi larangan Allah SWT, kita juga perlu tetap atau istiqamah dalam melaksanakan perkara-perkara baik dan menjauhi perbuatan-perbuatan merosakkan. Tindakan merosakkan alam sekitar adalah sebahagian daripada perbuatan merosakkan. Oleh itu perbuatan itu perlu dijauhi.
Maka, semua rakyat Malaysia seharusnya memberikan komitmen dan beristiqamah dengan komitmen tersebut dalam apa sahaja usaha untuk memelihara alam sekitar ini. Carilah ilmu dan kemahiran untuk menjaga alam sekitar ini. Jangan lupa, bergeraklah secara bersama dalam usaha-usaha memelihara khazanah bumi ini terutamanya dalam bentuk merealisasikan gaya hidup lestari.