Perkembangan geopolitik terkini menunjukkan idealisme yang selama ini menjadi teras sistem demokrasi semakin hilang pengaruhnya dan bersama dengan itu hegemoni kuasa barat semakin melemah. Genosid Israel ke atas penduduk Gaza, yang didokong oleh Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Eropah membuktikan kemunafikan mereka dan sekaligus menghilangkan kepercayaan umum terhadap apa yang dinamakan ‘hak asasi manusia’, ‘kebebasan’ dan ‘perlindungan terhadap golongan minoriti’. Semua prinsip itu dilanggar secara terang-terangan oleh Israel dengan dokongan kuat kerajaan-kerajaan yang kononnya memperjuangkan idealisme demokrasi liberal. Justeru timbul persoalan sama ada model demokrasi menurut acuan barat itu masih lagi relevan ataupun patut ditinggalkan kerana sudah terbukti gagal.
Sebagai sebuah negara yang diasaskan kepada prinsip-prinsip demokrasi persoalan di atas seharusnya menarik perhatian para pemikir dan cendekiawan tanahair. Merosotnya kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan institusi-institusi kerajaan, meluasnya jurang perpecahan dan polarisasi dalam masyarakat, kebangkitan semula autoritarianisme, ketidakadilan ekonomi dan kekeliruan yang berpunca dari maklumat palsu dan penyelewengan fakta adalah tanda-tanda jelas yang menunjukkan demokrasi yang kita amalkan itu sedang dilanda masalah. Persoalannya adakah masalah yang dmaksudkan itu bersifat struktural ataupun tidak (iaitu dapat diselesaikan melalui sistem sedia ada).
Seringkali timbul ketegangan di antara kehendak majoriti dengan prinsip liberal yang mempertahankan hak individu, pluralisme dan perlindungan terhadap kaum minoriti. Apa yang akan terjadi kalau sekiranya kehendak majoriti berlawanan dengan prinsip di atas? Adakah kehendak majoriti akan menelan kepentingan kaum minoriti ataupun tuntutan kaum majoriti diabaikan demi menjaga kaum minoriti? Ini adalah dilema yang tidak mungkin dapat dielakkan.
Tambah merumitkan keadaan ialah kesenjangan ekonomi yang berpunca dari monopoli golongan elit terhadap kekayaan negara sehingga menjadikan mereka penguasa sebenar yang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap polisi negara, media dan agenda politik. Kaitan langsung antara demokrasi dan sistem kapitalis ini dianggap oleh sebahagian pemikir politik sebagai ciri asasi demokrasi atau dengan kata lain ia sememangnya tidak dapat dielakkan. Melalui penguasaan elit kapitalis terhadap media, rakyat disogokkan dengan naratif-naratif yang melumpuhkan keupayaan untuk berfikir dan menilai secara kritikal. Masyarakat yang terdedah kepada ledakan maklumat yang mencampur-adukkan fakta dengan propaganda palsu bukanlah pembuat keputusan yang boleh diharapkan. Sebaliknya mereka lebih cenderung kepada kemarahan dan emosi yang tidak terkawal.
Di peringkat antarabangsa, demokrasi liberal telah dikembangkan sebagai kera falsafah yang mencorakkan tatacara hubungan antara negara dan ini menimbulkan ancaman terhadap kedaulatan sesebuah negara. Dalam era ekonomi glubal keputusan -keputusan besar yang berkait dengan perdagangan, perubahan cuaca,kewangan dan migrasi ditentukan oleh kuasa-kuasa besar melalui institusi-institusi anatarabangsa yang mereka kuasai. Akibatnya kerajaan yang yang dipilih secara demokrasi dilihat lemah.kerana tidak berupaya mempertahankan kepentingan negara di arena antarabangsa.
Semua ini adalah merupakan alasan-alasan kenapa semakin ramai anggota masyarakat yang hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan institusinya sehingga ada yang tidak lagi berminat untuk turut terlibat dalam hal ehwal politik dan kepentingan umum. Secara ringkasnya mereka percaya demokrasi liberal tidak dapat menyelesaikan percanggahan antara prinsip kebebasan dengan suara majoriti, antara kesaksamaan dengan pengaruh kaum kapitalis, antara kebebasan media dengan propaganda kaum penguasa, dan antara kedaulatan negara dengan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.
Krisis kemanusiaan Gaza dan perang Rusia-Ukrain telah membuka mata masyarakat dunia terhadap kepalsuan naratif barat tentang hak asasi manusia, kebebasan dan demokrasi. Kini masyarakat dunia beransur-ansur menjauhkan diri dari penguasaan blok barat dan semakin lantang menyatakan pendirian sendiri secara bebas. Penubuhan BRICS sebagai pengimbang kepada blok barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah menggoncang dunia aturan sedia ada yang dikuatkuasakan semenjak tamat Perang Dunia Kedua.
Dalam keributan geopolitik ini dunia Islam yang membentuk seperempat populasi dunia tidak dapat mengelak dari menerima kesannya. Keruntuhan aturan lama menimbulkan persoalan keabsahan para penguasa umat Islam yang masih lagi bergantung pada dokongan kuasa asing bagi mengekalkan kedudukan mereka. Bagaimanakah seharusnya tindakbalas umat Islam terhadap keributan ini?
Apa yang sebenarnya dunia harapkan ialah aturan baharu yang adil dan bermoral. Gagasan keadilan dan hak asasi manusia seperti yang dianjurkan oleh barat tidak lagi diterima kerana dilihat bersifat sebelah pihak atau semata-mata alat untuk menjaga kepentingan dan hegemoni barat. Demikianlah juga dengan sistem demokrasi liberal yang dikuatkuasakan hanya apabila ia dijangka dapat menjamin kepentingan politik dan ekonomi barat. Ini membawa kita kepada persoalan kenapa barat itu sedemikian sifatnya.
Al-Qur’an dengan jelas menyebut bahawa kebaikan itu bukan terletak di pihak timur ataupun barat tetapi pada diri yang beriman dan beramal saleh. Kebobrokan budaya dan cara hidup barat adalah berpunca dari pandangan alamnya yang menafikan Tuhan dan mempertuhankan manusia dan di atas landasan inilah sistem demokrasi liberal didirikan. Ternyata piliharaya demi pilihanraya yang dibuat tidak dapat menjamin terbentuknya kerajaan yang telus dan bertanggungjawab, sebaliknya masalah rasuah dan salahguna kuasa semakin berleluasa.
Dalam sistem yang mempertuhankan manusia manakala manusia pula mempertuhankan wang, jelaslah di mana letaknya ‘punca kuasa’ dan selagimana keyakinan manusia terhadap ‘punca kuasa’ itu tidak diubah dan dibetulkan selagi itulah krisis ini akan semakin memburuk. Justeru, perjuangan sebenar umat Islam ialah untuk membetulkan pandangan alam manusia kerana dari situlah terbit amal saleh dan budipekerti yang mulia. Yang perlu dihadapi ialah pandangan alam sekular yang membuahkan kecintaan melulu terhadap kehidupan duniawi kerana itulah punca segala kejahatan.