Dengan kes harian positif COVID-19 yang tertinggi melebihi 17,000 kes dan jumlah keseluruhan kes telah melebihi angka sejuta, mereka yang positif COVID-19 tanpa gejala atau bergejala ringan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah. Justeru, mereka akan berada di rumah dengan ahli rumah mereka yang merupakan kontak rapat sehinggalah mereka bebas dari virus itu dalam tempoh minima 10 hari.
Kuarantin kendiri tidak semudah menyebutnya, baik kepada yang positif COVID-19, mahupun kontak rapat mereka. Kesukaran mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) itu satu perkara. Kesukaran untuk menahan diri berkurung dan terkurung dalam bilik atau rumah adalah satu perkara yang lain.
Pada bulan Mei, Jun dan Julai, sebahagian daripada kita telah tiga bulan “terkurung” di rumah sejak PKP 3.0 ini. Perasaan bosan, penat, stress, cemuih ini sudah pasti ramai daripada kita merasakannya. Tetapi, berkurung dan terkurung inilah antara ubat atau preskripsi untuk berhadapan dengan wabak ini. Lazimnya ubat memang pahit.
Namun, marilah kita mencari kekuatan untuk meneruskan “rawatan” ini dengan pengajaran hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Barangsiapa yang tinggal di rumahnya ketika terjadi wabak, maka dia mendapat pahala syahid walaupun tidak meninggal dunia” (HR Ahmad).
Oleh sebab berkurung, terkurung dan kuarantin kendiri itu tidak mudah, maka Allah janjikan ganjaran yang besar untuk mereka yang bersungguh-sungguh melakukannya demi memelihara nyawa sendiri dan orang lain. Teruslah mematuhi SOP ini sebaik mungkin kerana ganjaran Allah SWT sedang menanti, Insya-Allah.
Dalam berhadapan dengan wabak juga, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu mendengar wabak taun (penyakit berjangkit) di suatu tempat, maka janganlah masuk ke dalamnya. Dan apabila kamu telahpun berada di tempat tersebut, janganlah keluar darinya” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini melarang kita untuk pergi ke tempat yang ada wabak agar kita tidak dijangkitinya dan juga melarang kita yang dari kawasan berwabak untuk keluar ke tempat lain bagi mengelakkan kita membawa wabak itu bersama.
Hadis kedua ini amat masyhur sekitar hujung Mac dan awal April 2020, ketika negara berada dalam PKP pertama. Para agamawan sering kongsikan hadis ini dalam ceramah mahupun tulisan mereka di pelbagai platform bagi menjelaskan kepada masyarakat, khususnya umat Islam, tentang ajaran Islam ini serta peri pentingnya kita akur dan patuh untuk duduk di rumah bagi membendung penularan COVID-19.
Intipati hadis ini juga wujud dalam larangan ke atas mereka yang positif COVID-19 dan kontak rapat untuk bebas ke mana-mana, serta larangan untuk kita merentas negeri, khasnya dari kawasan yang berkes tinggi (bandar) ke kawasan yang berkes rendah (kampung/luar bandar).
Namun, seiring perjalanan waktu, ramai yang semakin melupakan pengajaran kedua dari hadis ini. Berlaku kejadian di mana mereka yang bergelang merah jambu keluar dari rumah sedangkan mereka perlu melaksanakan kuarantin kendiri.
Begitu juga, di musim perayaan, ramai sekali perantau dari bandar (tempat yang ada kes yang tinggi) yang pulang ke kampung (tempat yang kes rendah) walaupun ada larangan untuk rentas negeri.
Kini, apabila semakin ramai yang positif COVID diarah untuk menjalani kuarantin kendiri, maka semakin tinggilah keperluan untuk mereka dan kontak rapat mereka patuh kepada pengajaran hadis ini. Jika tidak, kes akan terus meningkat dari sehari ke sehari tanpa boleh dibendung lagi.
Bayangkan senario berikut. Satu blok kediaman 25 tingkat dan setiap tingkat memiliki 12 unit kediaman. Katakan, sebuah unit di tingkat 12 disewakan kepada tiga pasangan berbeza – A1 dan A2; B1 dan B2; serta C1 dan C2.
Andaikan A1 positif COVID-19 maka A2 adalah kontak rapatnya. A2 melakukan ujian calitan dan ternyata dia juga positif. Jadi, kedua-dua A1 dan A2 akan melaksanakan kuarantin kendiri kerana kedua-duanya bergejala ringan.
Mengetahui hal ini, B1 dan B2 juga melakukan ujian calitan dan mendapati mereka negatif. Oleh sebab mereka hanya menyewa rumah yang sama tetapi masing-masing buat hal sendiri di dalam bilik mereka, B1 dan B2 tidak menganggap diri mereka sebagai kontak rapat lantas meninggalkan unit tersebut buat sementara waktu sebelum mereka pula dijangkiti. Mereka menumpang di rumah kawan dan pergi kerja seperti biasa.
C1 dan C2 juga negatif. Sama seperti B1 dan B2, mereka tidak menganggap diri mereka sebagai kontak rapat. Oleh sebab mereka tiada tempat lain untuk dituju, mereka terus tinggal di situ dan menjalani kehidupan seperti biasa. Mereka berkongsi bilik air dengan A1 dan A2; keluar masuk rumah; pergi bekerja seperti biasa; dan menggunakan lif yang dikongsi bersama-sama dengan ratusan penghuni lain yang masih sihat di kediaman bertingkat itu.
Jika beginilah fahaman sesetengah kita mengenai siapa kontak rapat dan siapa bukan, maka agak sukar untuk kita membendung wabak ini khususnya di kediaman bertingkat seperti senario di atas.
Di sinilah pentingnya integriti dalam diri mereka yang perlu menjalani kuarantin kendiri. Kita ada SOP. Namun, apa atau siapa yang memastikan mereka mematuhinya?
Dalam Islam dikenali sebagai “keimanan” iaitu keimanan kepada ajaran hadis tadi serta lain-lain ajaran Islam yang melarang kita memudaratkan orang lain.
Dunia sekarang menggelarnya “integriti”. Seseorang yang berintegriti akan melakukan perkara yang betul tanpa mengira ada yang melihatnya ataupun tidak. Dalam konteks pandemik yang sedang kita hadapi ini, integriti akan membuatkan mereka yang perlu menjalani kuarantin kendiri mematuhi SOP dengan sebaik-baiknya agar mereka segera sembuh dan tidak menjangkiti orang lain di sekeliling mereka.