Berasal dari perkataan Greek philos yang bermaksud love atau cinta atau sayang dan anthropos yang bermaksud man atau manusia, philanthropy bermaksud for the love of mankind atau demi rasa cinta atau sayang sesama manusia. Akibat daripada rasa sayang inilah, kita terdorong untuk menghulurkan bantuan, baik dalam bentuk material mahupun bukan material, kepada mereka yang memerlukan atau untuk sesuatu tujuan yang mendatangkan manfaat kepada manusia sejagat.
Dalam kata-kata lain, philanthropy bermaksud kedermawanan dalam erti yang luas. Ia bukan hanya melibatkan pemberian wang ringgit dan barang-barang keperluan, tetapi juga memberikan masa dan tenaga. Tujuannya pula bukanlah hanya untuk membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga untuk tujuan-tujuan lain yang boleh mendatangkan kebaikan kepada semua manusia.
Philanthropy mempunyai tiga ciri utama. Pertama, keprihatinan terhadap kesejahteraan orang lain, termasuklah kesejahteraan makhluk lain seperti haiwan dan alam sekitar. Kedua, keprihatinan itu khususnya kepada mereka yang berada di dalam kesusahan. Ketiga, bantuan secara sukarela itu, adalah tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Mungkin ada yang bertanya apa bezanya antara menderma dengan philanthropy? Sebenarnya, menderma adalah sebahagian daripada philanthropy. Biasanya, bila kita menderma, tujuan kita adalah untuk memberi bantuan segera bagi memenuhi keperluan asas mereka yang dalam kesusahan. Namun, philanthropy adalah lebih luas daripada itu. Ia termasuk pemberian untuk kegunaan masyarakat yang luas, tidak kira penerimanya orang susah ataupun tidak. Misalnya, sumbangan kepada universiti, hospital, masjid, institusi penyelidikan dan sebagainya. Daripada segi penyumbangnya, ia terdiri dari individu, mahupun sektor korporat yang melihatnya sebagai tanggungjawab sosial mereka.
Ternyata, philanthropy bukan sesuatu yang asing bagi Islam. Konsep membantu secara sukarela dalam hal-hal kebaikan ini adalah asas ajaran Islam. Apa yang lebih menarik, fahaman moden Barat tentang philanthropy ini muncul pada abad ke-18 apabila negara dan individu mula mengambil tanggungjawab terhadap penjagaan dan kebajikan orang-orang yang kurang bernasib baik. Fenomena ini amat baru jika dibandingkan dengan institusi zakat dan wakaf yang telah dilaksanakan sejak 1400 tahun yang lalu.
Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menekankan kepada memberi bantuan. Misalnya, Surah Ali-Imran (3), ayat 92 yang bermaksud, Kamu sekali-kali tidak dapat mencapai (hakikat) kebajikan atau kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Begitu juga hadis yang bermaksud, Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.
Malah, dalam masyarakat Islam silam, philanthropy ini telah diamalkan. Ibn Batutah ada merakamkan fenomena ini di dalam buku beliau. Di Damsyik misalnya, ada peruntukan yang diambil dari wakaf untuk: (i) membantu mereka yang tidak dapat menunaikan fardu haji; ii) memberi baju pengantin kepada pengantin perempuan yang keluarganya tidak mampu menyediakannya; (iii) membebaskan banduan; (iv) membantu golongan musafir; dan, (v) membaiki jalan. Jadi, begitulah meluasnya philanthropy pada masa itu.
Awal bulan ini, telah diadakan satu konferens di peringkat kebangsaan tentang keadaan philanthropy di Malaysia. Dalam konferens itu berbagai isu telah diutarakan dan saya ingin menarik perhatian semua pembaca tentang perkara-perkara tersebut agar kita dapat menyemarakkan lagi philanthropy di negara ini.
Pertama, sumbangan yang diberikan dalam bidang ini perlu dipertingkatkan. Oleh itu, dicadangkan agar kerajaan menetapkan peratusan tertentu daripada keuntungan sektor korporat untuk tujuan ini.
Kedua, bidang penglibatan perlu diperluaskan. Masyarakat kita tiada halangan untuk menyumbang kepada bidang-bidang seperti kebajikan anak yatim atau orang miskin. Namun, banyak bidang lain yang juga memerlukan bantuan misalnya, usaha-usaha memerangi HIV/AIDS, usaha-usaha untuk membantu ibu tunggal dan seumpamanya. Oleh itu para penyumbang hendaklah mempelbagaikan bidang mereka agar semua pihak yang memerlukan bantuan memperoleh bantuan tersebut. Walaupun, bidang-bidang ini tidak disebutkan dalam al-Quran, tetapi bukankah tujuannya juga murni? Oleh itu, sokonglah apa-apa usaha yang murni kerana Allah berfirman yang bermaksud, bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa (al-Maaidah (5): 2).
Ketiga, masyarakat kita begitu mudah menghulurkan bantuan kewangan atau material, tetapi begitu sukar untuk menghulurkan masa dan tenaga. Maka, perkara ini perlu diperhatikan agar lebih ramai yang akan tampil menawarkan masa dan tenaga.
Keempat, golongan remaja perlu dilibatkan dan penglibatan mereka perlu bermula dari rumah di mana ibu bapa perlu menggalakkan di samping memberi contoh teladan yang baik dalam hal ini.
Akhirnya, sektor korporat juga perlu memainkan peranan yang serius. Selain meningkatkan sumbangan, tujuan memberi perlulah ikhlas dan bukan sekadar untuk mendapat publisiti. Mereka yang bertanggungjawab memanjangkan surat-surat memohon derma kepada pihak atasan perlu berusaha sedaya-upaya untuk meyakinkan pihak tersebut agar memberikan bantuan yang diinginkan. Usaha-usaha seumpama itu amat mulia dan nescaya Allah merahmati mereka yang menjalankan tugas ini dengan sebaik-baiknya.
Ketika membantu, sektor korporat juga diingatkan agar jangan hanya memberi wang, tetapi juga menanamkan semangat kesukarelaan ini di kalangan kakitangan melalui program-program yang dijalankan. Akhir sekali, sektor korporat juga perlu memikirkan lebih dari sekadar memberikan wang. Seorang ahli panel menyebut bahawa menyumbang untuk usaha-usaha memerangi HIV/AIDS adalah satu perkara, namun, menawarkan pekerjaan kepada penghidap HIV/AIDS adalah satu perkara yang lain. Kedua-duanya murni tetapi berapa ramai yang sanggup membuat perkara yang kedua?