Kemerosotan berterusan terhadap suatu sumber air seperti tasik boleh membawa kepada malapetaka besar kepada para penduduk di sesebuah kawasan yang sudahpun terbeban dengan perubahan iklim, pertambahan penduduk dan peningkatan kos sara hidup. Namun demikian, sekiranya tasik dilindungi, sumber air ini berpotensi menjadi pemacu ekonomi dan mampu mewujudkan pekerjaan bagi menyokong ekonomi sara diri, serta menjamin masa depan kawasan penempatan yang terletak di sekitarnya. Justeru itu, situasi penyusutan paras air baru-baru ini yang dilaporkan di Bukit Merah amat merisaukan.
Tasik memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia dan ekosistem, justeru pengertiannya perlu difahami agar dapat dibezakan daripada takungan air lain di daratan. Di Malaysia, tasik tropika tempatan lazimnya didefinisikan sebagai kawasan permukaan bumi yang menakung air seluas satu hektar atau lebih dengan pelbagai kedalaman, mengandungi nutrien yang mampu menyokong pembiakan hidupan akuatik, sekali gus memberi manfaat sosioekonomi dan rekreasi kepada masyarakat setempat. Secara umumnya, tasik terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu tasik asli dan tasik buatan. Perbezaannya terletak pada proses pembentukan, di mana tasik buatan diwujudkan hasil aktiviti manusia, berfungsi sebagai kawasan takungan atau simpanan air yang memberi pelbagai kegunaan seperti sumber bekalan, pengairan, perikanan dan rekreasi.
Tasik buatan merupakan kawasan takungan air atau kawasan berair yang dibina hasil aktiviti manusia tetapi tetap mempunyai ciri-ciri umum sebuah tasik semula jadi. Secara umumnya, tasik buatan boleh dibahagikan kepada empat jenis utama. Pertama, tasik bekas lombong, iaitu tasik yang terbentuk hasil aktiviti perlombongan seperti bijih timah atau kuari, yang kemudiannya dipenuhi air hujan dan air bawah tanah, lalu sering digunakan semula untuk rekreasi, perikanan atau sumber air alternatif seperti Tasik Titiwangsa. Kedua, tasik empangan, yang diwujudkan dengan membina struktur empangan bagi menakung aliran sungai, berfungsi sebagai sumber tenaga hidro, pengairan, bekalan air dan juga kawalan banjir. Ketiga, tasik terancang, iaitu tasik yang dibina secara khusus melalui perancangan pembangunan bandar atau kawasan tertentu, lazimnya untuk kegunaan rekreasi, landskap dan peningkatan nilai estetika persekitaran seperti Tasik Putrajaya yang menjadi ikon rekreasi dan pelancongan di pusat pentadbiran negara. Keempat, tasik kolam penahanan, yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada sistem saliran bandar bagi menakung air hujan sementara, mengurangkan risiko banjir kilat dan membantu menstabilkan ekosistem setempat. Keempat-empat jenis tasik buatan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi, di samping menyumbang kepada keseimbangan ekologi jika diurus secara mampan.
Tasik asli pula terbentuk secara semula jadi hasil proses geologi dan hidrologi tanpa campur tangan manusia, dan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis utama. Antaranya ialah tasik paya, seperti Tasik Chini di Pahang, yang terbentuk di kawasan rendah berair dan dipengaruhi oleh aliran sungai serta sistem paya gambut, kaya dengan biodiversiti dan mempunyai nilai legenda tersendiri. Seterusnya ialah tasik laguna, seperti yang terdapat di Marang, Terengganu, yang terbentuk apabila kawasan laut terlindung oleh beting pasir atau tanjung sempit, mewujudkan ekosistem perairan tenang yang unik. Selain itu, terdapat juga tasik ladam, yang terbentuk daripada aliran sungai yang terputus lalu meninggalkan bentuk menyerupai ladam kuda; tasik jenis ini lazimnya menjadi habitat penting bagi pelbagai spesies hidupan akuatik. Kesemua jenis tasik asli ini bukan sahaja menjadi khazanah semula jadi negara, tetapi juga menyumbang kepada kepelbagaian biologi, rekreasi, dan warisan budaya masyarakat setempat.
Di Malaysia sendiri, beberapa contoh jelas menunjukkan bagaimana pembangunan berasaskan tasik dapat meningkatkan nilai sosio-ekonomi sesuatu kawasan. Taman Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi misalnya, berjaya menjadi tarikan komuniti dengan menyediakan ruang rekreasi yang memperkukuh kesejahteraan masyarakat setempat, sekali gus memberi impak positif kepada nilai hartanah di sekitarnya. Begitu juga dengan pembangunan bersepadu seperti Gamuda Cove, yang menampilkan tasik buatan sebagai pusat tarikan ekopelancongan dan gaya hidup mampan, selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air dan kawalan banjir. Sementara itu, kawasan pembangunan baru UEM Sunrise berhampiran Taman Tasik Metropolitan turut menekankan elemen tasik dan ruang hijau sebagai teras pembangunan bandar, menjadikannya bukan sahaja ruang rekreasi tetapi juga pemangkin nilai estetika dan ekonomi kawasan sekitarnya. Menariknya, beberapa universiti tempatan turut menjalankan kajian saintifik berkaitan kualiti air, biodiversiti, serta potensi rekreasi dan pendidikan alam sekitar di kawasan tasik pembangunan ini, sekali gus memperkukuh bukti bahawa tasik yang diurus dengan baik bukan sahaja memberi manfaat ekologi, malah turut menaikkan daya tarikan pasaran dan nilai hartanah pembangunan baharu.
Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, Nabi Muhammad SAW mengingatkan bahawa manusia berkongsi dalam tiga perkara iaitu air, padang rumput dan api. Pesanan ini jelas menggambarkan air sebagai hak bersama yang mesti dilindungi dan dimanfaatkan secara adil, sejajar dengan kepentingan tasik di negara ini yang bukan sahaja sumber alam tetapi juga nadi kehidupan masyarakat.
Sempena Hari Tasik Sedunia pada 27 Ogos ini, harapan besar untuk tasik-tasik di Malaysia adalah agar ia terus dilindungi, dipulihara dan dimanfaatkan secara mampan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam. Tasik boleh menjadi ruang rekreasi hijau biru yang menyumbang kepada kesihatan mental masyarakat, sebuah tempat untuk berehat, beriadah dan mendekatkan diri dengan alam. Pada masa sama, tasik juga berperanan penting sebagai penampan semula jadi terhadap banjir, menakung limpahan air hujan dan mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan bandar. Lebih jauh lagi, tasik di Malaysia mempunyai potensi besar sebagai tapak pembangunan tenaga boleh diperbaharui, khususnya melalui pemasangan sistem solar terapung yang bukan sahaja menjana tenaga hijau tetapi turut mengurangkan kadar penyejatan air. Dengan pengurusan yang bersepadu dan kesedaran awam yang tinggi, tasik boleh menjadi khazanah negara yang menyokong ekonomi, kesihatan masyarakat dan masa depan tenaga bersih Malaysia.