Umat Islam di Malaysia telah dikejutkan dengan skandal kartel daging import yang mencabar sensitiviti dan tembok keyakinan terhadap logo halal. Setiap kali timbul isu halal, sudah pasti pengguna akhir menjadi mangsa dan kelompok yang paling terkesan menghadapinya. Kerancakan respons pengguna Islam terhadap isu tersebut menggambarkan bahawa umat Islam pada hari ini mempunyai tahap kesedaran halal yang semakin meningkat. Kemungkinan ‘halal illiteracy’ turut menjunam pada ketika isu ini mula menjentik persada industri halal negara.
Namun di suatu dimensi lain, perkara yang membimbangkan ialah ukuran kefahaman dan literasi halal dalam kalangan penggiat industri termasuk pengeluar, pembekal dan pengendali makanan yang masih berada pada tahap yang tidak memuaskan. Mereka bukan hanya tiada kesedaran halal tetapi menjadikan halal sebagai jalan penipuan untuk meraih keuntungan. Halal telah dijadikan sebagai sebuah platform untuk melariskan dan merangsang jualan bahkan tidak meletakkan halal sebagai satu tuntutan fardu kifayah dan industri berasaskan nilai. Pihak tersebut lebih berorientasikan kepada laba dan keuntungan dunia serta tiada kesedaran untuk memartabatkan halal pada satu tahap yang dihormati dan diyakini. Celik keuntungan dunia tetapi buta halal telah menjadi pegangan dan satu cara hidup kelompok yang mempunyai akses dan kuasa monopoli tersebut.
Kerakusan dalam mengaut keuntungan melampau dan mengambil kesempatan atas sandaran kepercayaan umat Islam terhadap logo halal telah mencemarkan keseluruhan rantaian bekalan makanan halal negara. Kelompangan dalam industri makanan halal negara ini telah memperlihat wujudnya golongan yang sanggup bersekongkol dengan sindiket dan memperjudi status halal haram makanan yang akan menjadi darah daging umat Islam. Pengkhianatan ini seolah-olah menangguk di air yang keruh pada saat semua pihak berusaha gigih memartabatkan dan membangunkan kredibiliti halal di Malaysia. Ia akan tetap menjadi virus yang menular dalam ekosistem halal sekiranya tidak ditangani sehingga ke akar umbi.
Barangkali inilah hikmah pandemik Covid-19 yang bukan sahaja merungkaikan pelbagai pertikaian politik dan korupsi ekonomi malahan juga kebobrokan aktiviti dalam industri halal di sebuah negara Islam yang dihormati ketelitian pensijilan halalnya. Ini kerana, isu makanan halal tidak hanya dilihat sebagai pilihan individu tetapi perlu diangkat sebagai keperluan dalam memenuhi sekuriti makanan umat Islam yang sudah pasti merupakan populasi terbesar di negara kita. Sekiranya tiada pegangan nilai agama, ketidakjujuran dan ketirisan akan mudah berlaku dalam rantaian proses makanan import yang disifatkan sebagai kompleks dan panjang bermula dari negara asal sehingga ke pasaran masyarakat pengguna. Di sini, wujudnya pergeseran nilai yang dipegang teguh oleh masyarakat pengguna Islam yang berusaha mencari yang halal dan menjauhi perkara haram dengan orientasi segelintir individu yang berkepentingan dalam mencari keuntungan dunia. Sepertimana dalam hadis Nabi SAW: “Akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram?” (Sahih Bukhari, no. 2083).
Lantas, bagaimanakah untuk merapatkan jurang besar yang wujud antara masyarakat pengguna dan industri? Batu asas yang paling penting dalam isu kehalalan ialah menyeimbangkan nilai-nilai tuntutan agama dan matlamat berasaskan keuntungan tanpa mengabaikan kepentingan masyarakat awam. Di samping itu, sempadan dan mekanisme yang digariskan melalui panduan, akta dan peraturan halal perlu dipatuhi, diperketat serta dikuatkuasakan agar piawaian halal dapat terus diperkasakan sebagai satu simbol keyakinan umat Islam dalam pemilihan makanan. Pihak yang menjaga pintu masuk perdagangan negara juga harus diterapkan dengan sistem nilai yang berpaksikan ketuhanan supaya menjadi sebuah benteng kukuh daripada kemasukan dan percampuran makanan import yang tiada keabsahan halal. Dengan itu, ekosistem halal dapat dikekalkan sekiranya integriti semua pihak yang terlibat dipupuk dan ditekankan.
Secara umumnya, logo halal dapat memberi keyakinan kepada pengguna Muslim kerana makanan disediakan mengikut ajaran Islam dan menjadi tuntutan agama untuk memilih perkara yang halal. Namun, bagi pengguna bukan Islam, makanan halal bukanlah bertujuan untuk memenuhi kehendak dalam beragama tetapi disebabkan manfaat kesihatan, kebersihan dan keselamatan yang ditawarkan dalam konsep makanan halal. Hal ini dapat dikaitkan dengan respons positif pengguna bukan Islam terhadap makanan yang mempunyai sijil halal. Mereka memilih dan tertarik dengan makanan halal disebabkan faktor ia disediakan dengan cara yang paling bersih dan selamat serta berkualiti. Namun, apabila isu makanan halal dan manipulasi logo halal timbul, keabsahan pensijilan halal itu tercalar dan diragui oleh seluruh masyarakat pengguna termasuk bukan Islam.
Dalam mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap pensijilan halal, tidak perlulah menuding jari dan menyalahkan pelbagai pihak tertentu tetapi langkah ke hadapan dan holistik perlu diambil. Pihak berkuasa yang mengawal piawaian halal dan memantau bekalan makanan negara perlu lebih cekap, telus dan tuntas dalam membasmi permasalahan manipulasi dan penipuan yang wujud dalam pasaran. Di samping itu, kefahaman dan kesedaran halal perlu dipertingkatkan dalam kalangan pengeluar makanan atau pemilik industri agar literasi halal pihak tersebut dapat diseimbangkan dengan tuntutan pengguna.
Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) juga perlu diteroka dan dimanfaatkan dalam perkembangan sektor makanan halal. Potensi daripada gabungan teknologi seperti Internet of Things (IoT), rantaian blok, big data dan nanoteknologi perlu diberi perhatian dan diperkasa untuk membuat semakan halal semudah di hujung jari. Maklumat produk dalam rantaian makanan dapat diketahui secara telus melalui pangkalan data halal yang dibangunkan agar tiada produk halal yang boleh dipalsukan dengan mudah. Dengan adanya teknologi rantaian blok, pihak berkuasa halal bukan hanya mengeluarkan sijil halal tetapi dapat menyimpan semua rekod pengeluar terlibat.
Struktur tadbir urus halal perlu ditambah baik dan solusi kepada permasalahan yang dihadapi kini perlu diselidiki sehingga ke akar umbi demi memelihara ekosistem halal negara. Dalam mendepani evolusi industri makanan halal, pemantauan dan kawal selia secara komprehensif dan holistik perlu diselaraskan serta diseragamkan agar tidak wujud lagi kelompangan. Ibrah paling penting berlakunya isu kartel daging tidak halal ini adalah tercetusnya desakan dan dorongan ke atas umat Islam untuk menguasai dan mempelopori industri makanan halal negara seterusnya dapat membina jaringan Islamik dalam sektor daging tempatan yang pastinya bertunjangkan tauhid dan ketakwaan kepada Allah dan mampu menampung keperluan makanan umat Islam.