Cabaran terbesar dalam menunaikan ibadah terutama haji adalah untuk memperoleh dan mengekalkan kemabruran selain kekal beristiqamah. Oleh yang demikian, inisiatif yang dilaksanakan Tabung Haji bagi menganjurkan Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) dianggap amat bermakna. Program tersebut bertujuan menghimpunkan kembali jemaah haji bagi tahun semasa yang telah melaksanakan ibadah haji. Selain itu, ia bertujuan mengukuhkan persaudaraan Islam dan meningkatkan iltizam bagi mengekalkan kemabruran haji. Sepanjang bulan Ogos, program ini dilaksanakan di seluruh negara termasuklah yang dihadiri penulis di Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya pada 10 Ogos 2024 lalu dengan kehadiran sekitar 350 orang jemaah. Menarik untuk dihayati ucapan penutup Ketua Jabatan Haji, Tn. Hj. Mohd. Hisham Harun yang menegaskan bahawa matlamat keseluruhan HISHAJ adalah untuk melahirkan insan salih dan muslih. Dengan kata-kata lain, latihan haji dapat dimanfaatkan untuk melahirkan warganegara yang lebih baik dan mampu membawa perubahan bermakna dalam masyarakat selain berupaya menghadapi cabaran semasa yang getir.
Jika dihayati, maqasid atau objektif terpenting ibadah haji disyariatkan antara lain adalah untuk memupuk ketulusan hati dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT, mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT, memupuk disiplin yang tinggi, memiliki kesabaran dan daya juang yang kuat dalam menempuh ujian serta cabaran di samping menekankan semangat persamaan dan kesatuan antara sesama umat Islam. Bagi warganegara Malaysia khususnya, kesemua perkara ini amat diperlukan untuk memberikan sumbangan dalam mengisi dan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi selama 67 tahun lamanya.
Menyentuh tentang ketulusan hati dalam pengabdian diri kepada Allah SWT, ibadah haji mendidik agar jemaah yang melaksanakannya kerana-Nya semata-mata. Al-Quran menegaskan, “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah (2): 196). Dalam menghuraikan maksud ayat ini, Imam Syafi`e r.h. menyatakan bahawa hanya ibadah haji dan umrah yang disebut agar dilaksanakan kerana Allah. Perkara yang sama tidak disebut untuk ibadah lain seperti solat dan zakat. Ia menunjukkan ketulusan niat dalam pelaksanaan ibadah haji dan umrah. Sementara itu, Imam al-Ghazali pula menyebut bahawa ibadah haji perlu dilaksanakan dengan ketulusan hati kerana Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sifat keji seperti sombong dan takabbur. Hal ini disebabkan syarat yang ditetapkan bagi sesuatu amalan diterima hanyalah keikhlasan.
Selain menerapkan keikhlasan dalam jiwa, ibadah haji juga bertujuan memupuk disiplin yang tinggi dalam diri. Disiplin ini terhasil daripada latihan berterusan untuk menepati rukun dan wajib haji. Sebagaimana ibadah yang lain, haji juga ditetapkan waktunya, “(Masa untuk menunaikan ibadah) haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi….” (Surah al-Baqarah (2): 97). Menurut jumhur ulama, bulan berkenaan ialah Syawal, Zulkaedah dan sepuluh hari bulan Zulhijjah yang lazimnya dilakukan ihram haji. Selain miqat zamani, iaitu sempadan masa atau tempoh yang sah untuk jemaah berniat ihram, haji juga mempunyai miqat makani, iaitu sempadan atau batasan tempat yang sah untuk berbuat demikian. Sepanjang tempoh berihram pula, mereka perlu mematuhi larangannya yang tertentu. Selain berniat ihram yang merupakan rukun haji pertama, ibadah lain yang juga merupakan rukun haji seperti berwukuf di Arafah, bertawaf di Kaabah, melaksanakankan saie di antara Safa dengan Marwah, bergunting, tertib pada kebanyakan rukun memerlukan jemaah sentiasa peka pada syarat yang ditetapkan.
Kita sering kali mendengar bahawa keimanan dan kesabaran benar-benar teruji sepanjang tempoh kemuncak ibadah haji, iaitu ketika berada di Masya’ir. Ia meliputi ibadah wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah dan melontar di Mina. Selain ujian dari sudut cuaca, jemaah juga menghadapi cabaran dari pelbagai aspek seperti kemudahan, kesesakan, kerenah jemaah yang lain dan sebagainya. Sekiranya semua ibadah yang membekalkan latihan intensif dan lasak seumpama ini dihayati dan dijalani dengan sehabis baik, kesannya pasti amat besar dan mengagumkan pada jiwa dan akhlak seseorang.
Matlamat haji seterusnya, iaitu penyatuan umat Islam dari segenap pelosok dunia hakikatnya memberikan pendedahan kepada jemaah pada kemahiran untuk mengurus perbezaan. Perbezaan negara, bangsa, bahasa, budaya, resam dan kebiasaan pastinya menimbulkan cabaran yang bukan sedikit. Hal ini khususnya untuk saling memahami dan menghormati perbezaan antara satu sama lain. Komunikasi yang terbatas disebabkan halangan bahasa misalnya boleh sahaja menimbulkan salah faham dan perbalahan. Namun, sekiranya ia diurus secara bijaksana dengan menghayati mesej ayat 13, Surah al-Hujurat, iaitu perbezaan bangsa dan puak untuk saling mengenali dan beramah mesra antara satu sama lain, hasilnya pasti amat memberansangkan. Malcolm X yang menunaikan haji pada tahun 1964 berkongsi pengalaman positif berinteraksi dengan jemaah haji berkulit putih melalui surat beliau kepada pengikutnya. Kata beliau, “Umat Islam di sini terdiri daripada pelbagai warna kulit dan datangnya dari seluruh pelosok dunia. Aku dapat melihat ke dalam mata biru mereka dan merasakan bahawa mereka menganggap diriku sebagai saudara seagama. Kepercayaan mereka kepada Tuhan yang Esa (Allah) sebenarnya melenyapkan “(warna kulit) putih” daripada fikiran mereka.”
Ternyata latihan yang terkandung dalam madrasah haji membekalkan segala nilai yang amat berguna untuk dimanfaatkan dalam kehidupan sesudah kembali ke tanah air. Hal ini sebagaimana ditegaskan dalam ayat 28 Surah al-Hajj, “…supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.” Nilai penting berkenaan yang berjaya diterjemahkan dalam kehidupan dapat membantu setiap individu menghadapi pelbagai bentuk cabaran dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Ia malah merupakan ramuan utama dalam mengisi dan mempertahankan kemerdekaan. Tiadalah yang dapat memastikan kemerdekaan kekal dalam genggaman melainkan keimanan yang kekal terpelihara dan nilai, akhlak serta budi pekerti luhur tidak tercemar, sebagaimana kata Buya Hamka, “Kemerdekaan suatu negara kalau tidak berpangkalan kepada kekuatan iman dan budi, nescaya akan runtuhlah kemerdekaan itu dari dalam.”