Penyair Muslim abad ke-13, Sa’di Shirazi, pernah menyebut:
“Bani Adam, satu sama lainnya anggota
Dari satu hakikat, ia dicipta.
Tatkala satu musibah menimpa salah satunya
Anggota yang lain tiada menentu jadinya.
Jika kau tiada bersimpati dengan penderitaan orang lain,
Kau tidak layak disebut Bani Adam.”
Krisis dunia yang sedang dilalui hari ini yang saling berhubung-kait (systemic) menunjukkan betapa rapuh sistem kehidupan pada masa kini. Ia telah memaksa ramai daripada pelbagai bidang untuk meneliti kembali persoalan-persoalan besar mengenai keadaan peradaban masa kini dan hala tuju masa depannya.
Walaupun munasabah untuk kerajaan-kerajaan hari ini menumpukan kepada soal pemulihan ekonomi dan mengatasi wabak yang sedang melanda, adalah membimbangkan sekiranya para penggubal dasar dan pemimpin pelbagai bidang umumnya tidak mengendahkan keperluan generasi masa akan datang serta soal hala tuju peradaban kita yang bersifat jangka masa panjang.
Seperti yang pernah disebut oleh pemikir besar tamadun China, Kung Fu-Tse (Confucius): “Sekiranya seseorang itu tidak mengendah tentang perkara pada masa depan, dia akan merasai kesengsaraan dengan lebih dekat. (“If a man takes no thought about what is distant, he will find sorrow near at hand”).
Di Barat sendiri terdapat usaha-usaha yang tidak membataskan soal berfikiran jauh dalam kerangka Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (Sustainable Development Goals 2030) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti Future of Humanity Institute di Universiti Oxford, Centre for the Study of Existential Risk di Universiti Cambridge, Future of Life Institute, Foresight Institute, Foundational Questions Institute, dan lain-lain yang mengkaji persoalan-persoalan besar yang sedang atau akan dihadapi oleh peradaban manusia.
Kemungkinan besar jutaan US dollar telah pun dilaburkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memajukan pandangan hidup dengan suatu agenda peradaban yang meminggirkan soal ketertiban alam, soal keluhuran budi, soal kesejahteraan rohani mahupun soal Pencipta Sekalian Alam dalam perkiraan mereka.
Tentu sekali perkiraan entiti-entiti seperti ini tidak mengendahkan bahawa agama Islam serta golongan terpelajar dalam kalangan mereka yang berilmu dan arif mempunyai cara pandangnya yang tersendiri dari sudut soal hakikat alam (cosmology), hakikat insan (psychology), hakikat ilmu (epistemology) dan hakikat kewujudan (ontology).
Perkara yang membimbangkan ialah penulis mendapati tidak ada negara-negara Islam yang melabur dan menumpukan tenaga kepada senario jangka masa panjang ini. Adakah kita akan mengikut sepenuhnya kehendak dan cara berfikir Bill Gates, Elon Musk, Klaus Schwab atau Yuval Harari bila diberi peluang oleh kerana kekayaan dan pengaruh mereka di dunia?
Turut membimbangkan ialah dunia Islam seperti tidak memberi perhatian kepada pemikir-pemikir besar yang masih hidup dalam kalangan mereka mahupun pemikir-pemikir muda dalam kalangan kaum Muslimin yang berupaya untuk sama-sama mengatasi persoalan-persoalan besar ini. Tiada dana diperuntukkan untuk tujuan ini dan hampir kesemua diperuntukkan ke arah sains gunaan (applied sciences).
Perkara yang menjejaskan lagi keadaan, negara-negara Muslim sering mengharapkan pedoman golongan pakar-runding (consultants) dari Barat untuk menentukan hala tuju pendidikan dan negara mereka. Terdapat satu negara Arab yang kaya contohnya menjemput Rand Corporation untuk membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan mereka.
Umat Islam harus sedar bahawa pakar-runding Barat ini sering kali berfikir dalam corak penduaan yang bertentangan (dualistic) oleh kerana proses sekularisasi pemikiran yang berlaku berkurun lamanya dalam peradaban Barat. Inilah sebabnya mengapa isu-isu seperti pencemaran alam sekitar, tekanan perasaan, atau kezaliman dilihat sebagai isu-isu yang berasingan; sedangkan dalam pandangan hidup Islam ia saling berkait antara satu sama lain.
Inilah sebab mengapa matlamat-matlamat “Pembangunan Lestari PBB,” misalnya, dilihat sebagai matlamat-matlamat yang terpisah untuk dicapai secara berasingan atau terpisah-pisah oleh kementerian, kumpulan, atau pihak berkepentingan yang berbeza-beza. Manakala dalam peradaban Islam contohnya, pembangunan dilihat dari sudut pandang yang lebih integrasi atau holistik di mana hakikat zahir dan batin dilihat sebagai saling berkaitan.
Allahyarham Prof. Diraja Ungku Aziz pernah menyebut dalam artikelnya “Peranan Universiti di Asia pada Abad ke-21” (1990), “Pada hakikatnya, pelbagai masalah dunia moden tidak dapat dilihat hanya dari sudut bidang-bidang sedia ada di universiti. Banyak masalah yang rumit perlu dikaji melalui pendekatan rentas disiplin.” (“In reality, the problems of the modern world have not conveniently fitted themselves into the pigeonholes of university departments. Many problems involving complexity need to be studied from a cross-disciplinary approach”).
Pada pengetahuan penulis, Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas juga merupakan antara tokoh pemikir Islam yang telah lama berusaha mengatasi permasalahan ini melalui karya-karyanya yang telah dizahirkan dalam institusi-institusi yang dipimpinnya.
Hakikatnya, ahli politik, penggubal dasar dan pemimpin dalam pelbagai sektor tidak dapat mempertimbangkan hal-hal seperti ini, apalagi persoalan yang bersifat peradaban dan jangka masa panjang, yang sering tidak disentuh oleh perunding dasar (policy consultants) mahupun penggubal dasar sendiri.
Oleh itu, ia menjadi suatu tanggungjawab golongan penggubal dasar dan pemimpin pelbagai sektor untuk menjalinkan hubungan yang lebih akrab dengan golongan pemikir yang mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai soal peradaban atau ketamadunan serta yang jujur kepada diri.
Apa yang dapat ditawarkan oleh golongan pemikir kepada urusan yang lebih amali atau praktikal adalah pendekatan dan penyelesaian pemikiran yang lebih integrasi terhadap masalah dan krisis sistemik yang melanda dunia hari ini.
Oleh itu, adalah suatu tindakan yang strategik lagi bijaksana sekiranya pelbagai pihak daripada sektor awam dan swasta sama-sama berganding bahu demi memberi ruang kepada golongan pemikir untuk benar-benar berperanan dalam hala tuju peradaban kita.
Penulis juga berpendapat adalah suatu tuntutan moral bagi pemerintah untuk melabur sewajarnya dalam menyokong projek penyelidikan dan pendidikan mereka, termasuk melatih generasi pemikir masa depan dalam pelbagai bidang dan sektor. Kegagalan berbuat demikian boleh dianggap sebagai suatu kezaliman terhadap diri dan anak cucu kita. Wallahu’alam.