Ketika melihat paparan gambar-gambar hutan yang gondol baru-baru ini, sepantas kilat penulis teringat kepada ayat 41, surah Ar-Ruum (30) yang antara lainnya menyebut “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia…”
Sememangnya, hanya manusia yang berkeupayaan melakukan kerosakan terhadap alam ini. Haiwan tidak berbuat demikian. Jika, haiwan melakukannya pun, kerosakan itu tidak bersifat besar-besaran. Malah, “hantu” dan “jin” yang sungguh dipercayai dan digeruni manusia juga tidak melakukan kerosakan pada alam sebagaimana perbuatan manusia itu.
Tindakan menggondolkan hutan itu jelas menunjukkan betapa manusia berasakan dirinya maha berkuasa. Fikirnya, “Dunia ini aku yang punya” dan oleh itu, manusia boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendak hawa nafsunya. Sungguh manusia ini lupa bahawa alam ini hanya pinjaman dan adat orang meminjam, kenalah berpada-pada dan sedar diri.
Dari hari ke hari, kawasan hutan di negara ini semakin berkurangan. Apa akan jadi nanti? Ketika Malaysia diisytiharkan sebagai salah satu daripada 12 negara megadiversiti oleh UNDP pada tahun 2001, kita bersorak kebanggaan. Namun, nampaknya gelaran ini semakin diancam bila mana kita sewenang-wenangnya menarah hutan yang serba hijau itu.
Lupakah kita akan tanggungjawab manusia yang diangkat Allah SWT sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi? Tidak kasihankah kita akan nasib generasi Malaysia akan datang yang mungkin tidak akan kenal apa itu hutan kerana hutan telah habis ditarah? Apakah kita mengakui bahawa alam ini, seperti mana manusia juga punya hak untuk hidup? Tidak pedulikah kita akan sumbangan sumber alam ciptaan-Nya ini terhadap kita – manusia – yang diangkat sebagai ciptaan terbaik-Nya? Jawapan kepada persoalan-persoalan ini menuntut kita “menepuk dada, tanya selera”
Oleh sebab manusia terlalu mudah lupa, maka sebaiknya di dalam penulisan ini diperingatkan kembali akan tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta sumber alam lainnya. Pertama, memelihara hutan dan alam keseluruhannya merupakan satu tuntutan agama. Manusia dilahirkan ke bumi untuk menyembah Allah SWT. Ini bermakna apa sahaja tindakan yang dilakukan manusia matlamatnya mestilah untuk mendapat keredaan Allah SWT. Dalam hal ini, manusia telah diamanahkan untuk menjaga dan makmurkan bumi maka tanggungjawab itulah yang harus digalasnya. Sebagai hamba-Nya yang benar-benar taat maka manusia harus rasa terbeban jika melakukan kerosakan terhadap alam ciptaan Allah SWT ini.
Selain itu, alam perlu dipelihara kerana manusia amat bergantung hidup kepadanya. Dalam kes hutan, ia penting sebagai sebagai kawasan tadahan hujan, habitat kepada pelbagai flora dan fauna, menstabilkan suhu bumi, membekal sumber kayu dan rotan, membekalkan sumber makanan, sumber ubat-ubatan, mencegah hakisan, kawasan rekreasi dan pelancongan serta penting dalam pelbagai penyelidikan saintifik yang akhirnya akan memberi manfaat kepada manusia.
Akhir sekali, penjagaan alam ini tidak wajar bersifat antroposentrik semata-mata. Alam juga mesti dijaga demi kelangsungannya. Seperti manusia, alam dan isinya mempunyai kehidupan dan peranannya tersendiri. Alam ini hidup dengan aturan dan tugas yang telah ditetapkan Maha Pencipta. Seperti juga manusia, alam dan isinya juga dipertanggungjawabkan untuk menyembah serta tunduk-patuh kepada perintah Allah SWT. Oleh itu, wajarkah manusia yang mudah lupa ini merenggut kelangsungan hidup alam serta isinya.
Oleh itu, jika manusia merasakan perlu baginya untuk “menyentuh” alam ini maka manusia perlu ingat kepada banyak perkara. Antaranya, alam dan sumbernya mempunyai aturan kehidupan yang seimbang pembentukannya. Ia juga hidup berpasang-pasang, dan mempunyai ciri-ciri ketidakpastian. Alam ini punya sistem yang tersendiri. Oleh itu, ia punya bahagian-bahagian tertentu dan bahagian-bahagian ini saling berhubung dan bersambung antara satu sama lain.
Jika dikiaskan kepada badan manusia, dapat kita lihat bahawa bahagian badan manusia juga merupakan satu sistem dengan bahagian-bahagian tertentu seperti kepala, tangan, badan, jari dan kaki. Semua bahagian-bahagian ini saling bersambung dan berhubung. Ia sempurna dan seimbang. Namun, jika satu bahagian pincang, misalnya terputus jari kaki, maka sistem badan akan terganggung. Individu ini tidak mungkin dapat berjalan dengan sempurna lagi.
Samalah juga dengan alam ini, jika satu bahagian musnah, misalnya hutan digondolkan, maka ia akan mengganggu keseluruhan sistem alam ini. Sumber udara akan terjejas kerana tanah yang terdedah akan ditiup angin menyebabkan jerebu. Sumber air akan terganggu kerana hakisan tanah akan mengalir ke dalam air dan menyebabkan mutu air terjejas, aliran sungai terhalang dan sebagainya. Kualiti tanah juga menurun kerana hakisan menyebabkan nutrien tanah berkurangan. Jelas bahawa tindakan menebang hutan oleh manusia yang tamak akhirnya membawa kesan bukan sahaja kepada sumber hutan itu tetapi juga kepada sumber alam yang lain seperti udara, air dan tanah. Natijahnya, kerosakan sumber-sumber ini akan mempengaruhi kehidupan manusia sendiri.
Oleh itu, dalam kita mengejar keuntungan dan kekayaan, janganlah ia menyebabkan kita lupa akan tanggungjawab agama dalam pemeliharaan alam ini. Mereka yang mengabaikan agamanya akan melakukan perkara-perkara yang menimbulkan kerosakan akhirnya. Kata Seyyed Hossien Nasr, pelbagai masalah alam berpunca dari pengabaian manusia kepada agamanya. Oleh itu, kembali fahami agama yang sebenarnya dan jagalah alam ciptaan-Nya ini.