Setiap benda yang bernyawa dan hidup di dunia ini, masing-masing mempunyai matlamat. Dan secara umumnya, matlamat manusia adalah sama iaitu, mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan. Cuma bentuk dan ukuran setiap kebahagiaan dan kesejahteraan itu amat relatif sifatnya. Hatta disebut oleh al-Farabi bahawa tujuan bernegara (juga) adalah hendak mencapai kebahagiaan. Kata-kata al-Farabi disambut oleh Imam Abdul Hamid al-Ghazali sebagai, “…dengan adanya negara yang adil dan makmur baharulah kebahagiaan di dunia dan akhirat dapat dicapai”.
Dan setiap aspek kehidupan termasuklah dari sudut kemasyarakatan, ekonomi dan politik mempunyai kaitan antara satu sama lain. Dengan perkataan lain, perubahan yang berlaku atau sebarang pencapaian dalam aspek politik, contohnya, ia juga memberi kesan terhadap situasi dan pencapaian dalam aspek kemasyarakatan dan ekonomi negara. Begitu juga sebalikny
Setiap individu yang beriman kepada Allah SWT, meyakini bahawa agama Islam yang diturunkan adalah rahmat kepada seluruh umat manusia sama ada kepada umat Islam ataupun bukan Islam. Dan rahmat itu hanya akan berlaku apabila tujuan-tujuan Syariah, atau yang popular disebut sebagai maqasid al-Syariah dapat dicapai. Perlindungan kepada agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta adalah tujuan syariah diturunkan sebagai cara hidup manusia.
Sehubungan dengan ini, menurut formula syariah, kemudaratan perlu dihapuskan terlebih dahulu, sebelum mengusahakan sesuatu yang dapat memberikan manfaat dan keuntungan. Maka sewajarnya, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup adalah dalam ruang lingkup maqasid al-Syariah dan menurut neraca syariah. Begitu juga halnya dalam membincangkan tentang politik Islam. Meraikan pandangan Ibnu Khaldun yang antaranya beliau menyebut bahawa, “Apabila sesuatu undang-undang itu dibuat oleh manusia maka ia adalah politik akal, dan apabila undang-undang itu dicipta oleh Ilahi maka ia adalah politik Islam yang memberi manfaat kepada kehidupan manusia di dunia dan akhirat”.
Ujar Abu Wafa bin Aqil, politik Islam ialah perkara-perkara yang membawa kebaikan dan menjauhkan kejahatan, walaupun satu-satu perkara itu mungkin tidak pernah dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW dan tidak ada sebarang ayat al-Quran khusus mengenainya.
Antara prinsip yang sangat penting dalam sistem politik Islam ialah tauhid, syariah, keadilan, kebebasan, kesamarataan dan syura. Mungkin terdapat prinsip-prinsip lain yang perlu dimasukkan ke dalam mana-mana sistem politik bagi sesebuah negara Islam, tetapi, sekurang-kurangnya enam perkara tersebut perlu dijadikan teras dalam sesebuah pemerintahan.
Walau apa pun pendekatan yang digunakan dalam memerintah atau mentadbir urus negara, tauhid adalah asas dan ia mesti dipertahankan. Ia adalah prasyarat reda Allah SWT dalam kehidupan bernegara. Dalam tulisannya, Ibnu Taimiyyah antaranya menyebut bahawa matlamat paling unggul dalam autoriti politik adalah untuk menjamin bahawa Islam itu sebagai agama negara dan menjadikan ia sebagai cara hidup, melangkaui semua aspek kehidupan dan kemanusiaan; dengan itu menjadikan kalimah Allah sebagai yang tertinggi dan paling unggul.
Dalam hal ini, umat Islam di Malaysia amat beruntung kerana agama Islam telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia menuntut rakyat memahaminya sebagai agama negara. Maka tugas setiap rakyat yang beragama Islam, walau di mana kita duduk dan berada adalah mempertahankannya sehingga bila-bila bahawa agama Islam merupakan agama Persekutuan. Mentafsirkannya sebagai agama negara akan membuka ruang seluas-luasnya untuk menjadikan ia sebagai suatu cara hidup.
Merujuk terma “syariah” dan “kebebasan”, Imam Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebut tentang konsep “kebebasan sebelum syariah”, yang sekurang-kurangnya boleh memberi kefahaman dan pengajaran bahawa kebebasan dan kemerdekaan perlu diperjuangkan, dicapai dan dipelihara. Kerana ia adalah tapak dan titik pembangunan insan dan bangsa secara spiritual, fizikal dan material. Jika lebih lima dekad yang lalu, anak-anak bangsa negara ini mula membina tapak untuk mentadbir urus sendiri negara bangsanya dan juga untuk memulakan pembangunan fizikal dan material untuk anak bangsanya, namun, perjuangan sebenarnya tidak pernah berhenti untuk terus dilakukan kerana pengaruh dan penjajahan tidak pernah berehat untuk terus menyerang dengan pelbagai bentuk dan pendekatan.
Mungkin secara fizikalnya, kita dilihat berada bersama-sama dalam arus pembangunan dan kemodenan, tetapi rohani dan pemikiran anak bangsa terus sentiasa menjadi sasaran dan mangsa atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.
Kebebasan juga seharusnya menerbitkan keadilan dan kesamarataan. Barangkali, pembangunan dan peradaban kemanusiaan masih boleh berlaku sekiranya keadilan dan kesamarataan tidak dianjurkan kepada rakyat, tetapi proses tersebut akan berlaku dengan pincang. Seterusnya, ia tidak akan dapat dicapai secara sempurna dan tuntas.
Konsep kebebasan yang dicernakan dengan konsep keadilan akan menghasilkan fenomena persaingan. Dan persaingan akan menghasilkan daya kreativiti. Sebaliknya jika terdapat kekangan yang ketat, maka akan merencatkan daya kreativiti. Sekiranya, ia berlaku secara berlarutan maka akan terbantutlah potensi yang ada dan ia tidak memungkinkan anak-anak bangsa untuk berlari dan bersaing di persada yang lebih besar dan mencabar.
Sesiapa pun tidak menafikan bahawa umat Islam di dunia antarabangsa, mahu pun di negara sendiri berada dalam kekeliruan dan keresahan. Apabila kebenaran dan kebatilan bercampur-aduk, diburukkan lagi dengan tiadanya ketelusan oleh banyak pihak, ia mengundang fitnah yang besar kepada umat Islam sendiri. Fitnah itu akhirnya “sangat berjaya” menjadikan hubungan persaudaraan bertukar menjadi permusuhan dan perseteruan, sangkaan baik menjadi buruk sangka dan sifat muafakat yang diwarisi sejak turun-menurun hilang sekelip mata.
Setiap pihak sebenarnya mempunyai kuasa, sama ada yang berada di atas mahupun di bawah, semuanya mempunyai kuasa selama mana Allah SWT membenarkan kuasa itu digunakan dan ia digunakan dengan pendekatan-pendekatan yang boleh dimanipulasikan. Sering kali juga kita lihat yang benar itu kelihatan lemah dan salah, dan sebaliknya yang salah itu kuat dan kelihatan benar. Namun, kita harus sentiasa ingat, bahawa selain Allah SWT (semata-mata), apa yang ada di alam maya ini sifatnya amat sementara. Begitulah juga berkaitan fitnah, ia juga sifatnya hanya sementara. Tinggal menanti kebenaran yang akan diperlihatkan oleh Allah SWT dan ahli kerabat-Nya sama ada di dunia, ataupun di akhirat.
Maka, jalan yang terbaik untuk meleraikan kemelut dan kekeliruan yang berlaku kerana ia boleh menghalang maqasid politik Islam adalah membenarkan syura diwujudkan dan dilaksanakan. Dan syura amat memerlukan ketelusan semua pihak yang terlibat.
Syura bukan sahaja harus difahami sebagai mencari kesepakatan, tetapi juga boleh diterima sebagai menerima dengan lapang dada teguran yang benar dan bernas. Akuran pada kesilapan yang berlaku dan membetulkan kesilapan berkenaan. Setiap individu Islam yang menjadi unit kepada umat Islam di Malaysia mencita-citakan sebuah negara yang makmur dan dirahmati Allah SWT. Maka, membuang yang keruh dan mengambil yang jernih adalah tanda-tanda manusia yang bijaksana.