Ketika merasmikan Bengkel “Hak Perlindungan dan Keselamatan Kanak-kanak” anjuran Pusat Perundingan dan Latihan IKIM baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Dr. Ng Yen Yen berkongsi pengalaman berikut.
Menurut beliau, di zaman kecilnya apabila beliau bertanya kepada ibunya berkenaan dari mana beliau zahir, ibunya menjawab, “Tong sampah”. Pada ketika itu, beliau dan keluarganya tahu bahawa jawapan itu hanyalah satu gurauan.
Namun, kata beliau lagi, pada hari ini, jika ada ibu yang memberikan jawapan yang sama kepada anaknya yang bertanyakan soalan yang sama, jawapan itu mungkin satu hakikat dan bukannya gurauan.
Ini kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat sendiri memelihara begitu ramai bayi-bayi yang ditemui di tepi longkang, di depan surau, mahupun di dalam tong sampah. Menurut YB ini lagi, apa yang lebih menyedihkan ialah bayi-bayi itu dibuang hanya kerana si ibu yang melahirkannya tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan bayi tersebut.
Hendak dibesarkan, bapanya tiada. Si ibu itu sendiri mungkin merupakan gadis muda yang masih bersekolah dan berada dalam jagaan ibu bapanya yang tidak tahu bahawa dia mengandung. Macam mana hendak diberi tahu jika akibatnya ialah dia akan diherdik, ditampar dan dihalau dari rumah? Kalau dia dihalau, ke mana hendak ditujunya? Apa pilihan yang ada untuk ibu muda ini?
Persoalan-persoalan ini menunjukkan bahawa seorang remaja perempuan yang ‘termengandung’ di luar nikah tidak bersedia untuk berhadapan dengan keadaan tersebut. Ini adalah sesuatu yang wajar dihadapi oleh mereka di usia belasan tahun. Namun, bersediakah kita yang bergelar ibu bapa untuk berhadapan dengan musibah yang melanda anak remaja kita ini?
Andai kata (minta dijauhkan Tuhan) pada petang ini, anak gadis kita yang berusia 15 tahun, datang berlutut di kaki kita dan sambil teresak-esak berkata, “Ayah, ibu, ampunkan saya….tapi saya dah mengandung 5 bulan.”; atau, andai kata (sekali lagi, minta dijauhkan Tuhan) anak teruna kita yang berusia 15 tahun, memberitahu kita bahawa beliau telah membuat teman wanitanya mengandung; apakah agaknya tindakbalas kita sebagai ibu bapa? Mengherdik dan menempeleng mereka sebelum menghalau mereka keluar dari rumah? Atau kita akan bersama-sama mereka untuk berhadapan dengan musibah ini?
Bagi masyarakat Islam, berzina; mengandungkan anak di luar nikah; melahirkan anak di luar nikah; dan, membuang atau membunuh anak tersebut adalah antara kesalahan-kesalahan besar yang sukar untuk diterima, apa lagi dimaafkan. Akibatnya, kita sering memperkatakan tentang unsur pecegahan masalah ini dan amat jarang kita memperkatakan tentang cara menanganinya.
Memang betul, sebagai seorang Muslim, kita wajib menjauhi zina dan dengan itu kita boleh mengelakkan masalah anak luar nikah ini. Namun, jika kita berpijak di bumi nyata, kita akan mengetahui bahawa ramai juga di kalangan umat Islam, termasuklah remaja, yang telah terjebak dalam zina. Dalam keadaan ini, sebahagian dari mereka terpaksa berhadapan dengan kesan sampingannya seperti mengandung di luar nikah.
Oleh kerana kita amat jarang memperkatakan tentang cara untuk menangani masalah mengandung di luar nikah, ramai yang tenggelam punca bila ia berlaku. Bukan si gadis atau si jejaka itu sahaja yang tenggelam punca, ibu bapa mereka juga sama.
Akhirnya, mereka melakukan apa yang biasa mereka lihat orang lain lakukan dalam berhadapan dengan masalah tersebut. Ibu bapa akan melenting, memukul dan membuang anak mereka yang sedang menerima musibah. Si jejaka mengambil sikap lepas tangan kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan untuk bertanggungjawab. Si gadis pula akan meneruskan kandungannya dan membuang atau membunuh bayi yang tidak berdosa itu kerana itulah yang dilakukan oleh gadis lain yang senasib dengannya.
Tindakbalas seperti di atas akan berulang, berulang dan berulang. Itulah sebabnya masalah buang bayi ini tidak pernah surut sejak tahun 1990an lagi. Ia juga membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan cara kita berhadapan dengan masalah ini.
Perlu penulis ulangi bahawa menjauhi zina adalah kewajipan setiap Muslim. Namun, akan ada sebilangan manusia, disebabkan takrif manusia itu sendiri, yang gagal untuk mematuhi perintah ini. Maka, mahu tidak mahu, kita perlu berhadapan dengan kenyataan bahawa akan ada ahli masyarakat yang tersasar dan menerima akibat dari kesasaran tersebut. Jadi, apa yang perlu mereka lakukan untuk berhadapan dengan keadaan itu?
Kita selalu mengandaikan bila kita menawarkan jalan keluar untuk masalah ini maka akan berbondong-bondonglah umat Islam melakukan zina. Benarkah andaian ini?
Memperkatakan tentang cara menangani masalah ini tidak bermaksud kita menggalakkan perbuatan tersebut. Sebaliknya, ia akan dapat mengelakkan masyarakat kita dari tenggelam punca bila berhadapan dengan keadaan ini.
Sebenarnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dalam masyarakat kita telah ada sokongan-sokongan tertentu untuk membantu ahli masyarakat yang berhadapan dengan masalah ini. Cuma, bilangannya terhad dan maklumat mengenainya tidak begitu meluas. Kita ada rumah-rumah bagi menempatkan gadis-gadis malang ini sementara menunggu kelahiran. Kita juga ada pihak-pihak tertentu yang boleh mencari ibu bapa angkat untuk bayi yang kehadirannya tidak dirancang itu. Semua ini boleh membantu si gadis tadi serta keluarganya untuk berhadapan dengan musibah ini. Yang lebih penting lagi, bentuk-bentuk sokongan seperti ini berjaya mengelakkan bayi-bayi itu dari menemui ajalnya di tepi longkang, di lubang tandas, mahupun di dalam tong sampah. Bukankah memelihara nyawa itu juga satu kewajipan?