Isu kebebasan beragama merupakan salah satu mauduk panas dalam wacana politik antarabangsa dewasa ini. Namun isu ini harus dilihat secara adil terutama apabila ia melibatkan penilaian terhadap isu-isu yang rumit dan memerlukan penelitian yang lebih mendalam.
Sebagai contoh, dalam laporan United States Commission on International Religious Freedom on Malaysia 2018 (USCIRF Annual Report 2018) baru-baru ini, Malaysia antara yang dinilai sebagai negara yang kurang bertoleransi terhadap kebebasan beragama disebabkan beberapa tindakan yang dianggap melanggar hak asasi manusia. Antara yang disebutkan ialah kerajaan sering mempengaruhi norma sosial mengenai apa yang ditakrifkan sebagai Muslim yang baik, menekan golongan minoriti dalam kalangan masyarakat Islam, memperkukuhkan undang-undang Shariah melalui RUU355, menghalang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Malaysia juga dikritik sebagai negara yang agresif dalam melakukan Islamisasi, tidak membenarkan penganut Islam untuk keluar dari agama Islam, menyusahkan penganut agama lain untuk mendapatkan bahan agama dan mendapatkan kelulusan untuk membina rumah ibadat, pengharaman buku yang tidak bersesuaian dengan kefahaman agama Islam, tidak membenarkan penyebaran agama lain, menekan golongan ateist.
Berdasarkan penilaian di atas, kita juga harus menilai penilaian tersebut secara kritis. Secara umumnya, terdapat sekurang-kurangnya dua bentuk permasalahan yang telah dinilai. Yang pertama isu-isu pentadbiran dan pengurusan hal-hal agama seperti kelulusan rumah ibadat, pengharaman buku dan bahan bacaan tertentu. Perkara-perkara jika diteliti merupakan isu-isu praktikal yang mempunyai konteks permasalahannya yang tersendiri dan sekiranya mempunyai justifikasi yang kuat, boleh ditambah baik dari semasa ke semasa. Malah sebahagian dari isu-isu sebegini telah diselesaikan secara perbincangan dan saluran undang-undang. Pihak pemerintah di Malaysia setakat ini dilihat mempunyai keterbukaan dalam berbincang berkaitan persoalan pentadbiran agama yang praktikal bagi kebaikan negara dan masyarakatnya.
Namun, yang menjadi kebimbangan kita ialah penilaian dan kritikan terhadap perkara-perkara yang telah sedia menjadi teras kepada agama Islam dan kerangka pandangan alam agama Islam seperti isu berkaitan hak seorang Muslim untuk murtad, penyelarasan terhadap bentuk kefahaman Islam yang sebenar, pengukuhan undang-undang Syariah dan halangan penyebaran pegangan golongan minoriti Muslim yang tidak selari dengan arus utama.
Isu-isu ini ini bukan sekadar masalah keberkesanan pentadbiran akan tetapi melibatkan perbezaan pandangan alam agama yang harus difahami oleh golongan yang memberi penilaian. Ini penting kerana neraca yang digunakan dalam penilaian terhadap isu kebebasan beragama di Malaysia harus mengambil kira persoalan perbezaan pandangan alam antara agama Islam dengan kerangka falsafah sekular yang digunapakai dalam penilaian antarabangsa tersebut. Di sinilah letaknya rasa hormat antara agama tamadun dan peradaban yang selalu dicanangkan oleh badan-badan antarabangsa termasuk Bangsa-Bangsa Bersatu. Isu sebegini seharusnya ditangani melalui dialog yang bersifat ketamadunan dan bukannya menerusi tekanan yang bersifat politik.
Penilaian yang diberi juga cenderung untuk mengambil beberapa contoh yang ekstrem sebagai bukti kepada satu generalisasi yang dibuat berkaitan kebebasan beragama, tanpa melihat secara seimbang terhadap banyak perkara-perkara lain yang mempunyai nilai yang sebaliknya. Ia juga kadang-kala dipengaruhi oleh sentimen ras yang kuat dari kelompok minoriti agama dan ia menjadikan penilaian yang diberikan banyak bersifat political berbanding semangat muhibbah antara kaum dan agama.
Yang dimaksudkan dengan pendekatan pandangan alam ialah kepentingan melihat tindakan-tindakan tertentu berdasarkan sistem nilai yang dipegang oleh sesuatu agama secara menyeluruh. Sebagai contoh, isu penyeragaman bentuk kefahaman Islam dan pengaruh norma sosial mengenai nilai Islam. Sebagai agama yang menekankan nilai kesatuan, bentuk kepercayaan, amalan dan nilai perlu diseragamkan berdasarkan pentafsiran yang paling berwibawa bagi mengelakkan kekeliruan dan perbezaan pandangan yang membawa kepada perpecahan. Dalam Islam, perbezaan pandangan masih diraikan di peringkat cabangan namun tidak harus dibiarkan berlaku di peringkat asas-asas agama. Ini sememangnya menjadi tradisi yang mengakar dari ajaran Islam sehingga mampu melahirkan aliran arus perdana dalam tradisi Islam yang dinamakan Ahl Sunnah wal Jama’ah. Justeru itu, pendirian kerajaan Malaysia untuk menyeragamkan bentuk kefahaman Islam harus dilihat sebagai tindakan yang berusaha menjaga kemaslahatan umat Islam terbanyak dan bukannya pelanggaran hak asasi kelompok tertentu.
Begitu juga dengan isu halangan dan pengawasan terhadap seseorang yang ingin murtad dari agama Islam. Ia seharusnya dilihat sebagai sebahagian dari implikasi kerangka pandangan Islam terhadap makna agama dalam Islam yang merupakan panduan hidup berdasarkan tanzilan wahyu yang mutlak dari Tuhan dari Rasul yang benar. Agama juga merupakan neraca kepada kebenaran. Justeru itu, seseorang yang meninggalkan kebenaran agama Islam dilihat dari kerangka pandangan alam Islam sebagai meninggalkan kebenaran mutlak yang telah diturunkan Tuhan menerusi pesuruh yang benar. Pastinya sebagai agama yang mempunyai aspek menyeluruh termasuk sistem nilai dan undang-undang, Islam telah menyediakan defence mechanism untuk mengelakkan perkara ini berlaku dalam kalangan penganutnya. Walaupun bentuk hukuman murtad amat diperdebatkan dalam kalangan ilmuwan tradisi dan semasa, semangat untuk memelihara akidah dan kefahaman agama itu amat tercermin dari pendirian tersebut.
Demikianlah beberapa contoh kepentingan memahami aspek pandangan alam dalam memberikan penilaian terhadap isu kebebasan beragama. Hanya dengan kefahaman yang bersalingan bakal mendekatkan lagi masyarakat dari tamadun dan peradaban besar dunia yang sekarang ini hubungan antara mereka lebih banyak dipengaruhi unsur prejudis dan kebencian berbanding rahmah dan kasih sayang.