Hari ini, 22 Mei 2017, merupakan Hari Biodiversiti Sedunia. Esok pula (23 Mei 2017) merupakan Hari Penyu Sedunia. Kedua-dua hari istimewa ini ada kaitannya dengan penghargaan terhadap alam sekitar dan sumbernya. Sambutan seperti ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan kesedaran semua pihak terhadap pemuliharaan sumber semulajadi tersebut. Malah, ia juga menunjukkan betapa perlunya alam ini dijaga sebaik mungkin untuk kelangsungan kehidupan, termasuklah hidup manusia di bumi ini.
Dalam masa yang sama, sambutan kedua-dua hari tersebut juga menunjukkan betapa kedua-dua entiti tersebut sedang diancam oleh pelbagai kegiatan manusia. Ketika manusia menuju ke arah kemodenan dan kemajuan hidup, pelbagai sumber semulajadi alam ini, termasuklah biodiversiti (kepelbagaian bio) dan penyu, telah terkorban dan menjadi pupus.
Berkaitan dengan biodiversiti, Malaysia merupakan negara bertuah kerana dianugerahkan dengan kepelbagaian spesis, genetik mahupun ekosistem. Oleh sebab itu, berdasarkan National Biodiversity Index, Malaysia menduduki tangga ke-12 dalam senarai negara-negara di dunia dengan kepelbagaian bio yang tinggi.
Dianggarkan bahawa Malaysia mempunyai 15,000 spesis tumbuhan vaskular, 306 spesis mamalia, 742 spesis burung, 242 spesis amfibia, 567 spesis reptilia, lebih daripada 449 spesis ikan air tawar, lebih daripada 500 spesis ikan marin dan lebih daripada 150,000 spesis haiwan invertebrata. Angka-angka ini dengan jelas menunjukkan kekayaan biodiversiti di Malaysia. Pun begitu, kemewahan ini sedang diancam dengan pelbagai kegiatan manusia dan kerana itulah Malaysia juga merupakan tempat tinggal bagi 1,141 spesis tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang terancam.
Pemuliharaan biodiversiti memerlukan satu pendekatan menyeluruh. Ini bermakna semua pihak perlu bekerjasama menjaga sumber alam. Dalam masa yang sama, pelbagai kaedah juga perlu diusahakan untuk memastikan kelangsungan biodiversiti negara. Ini bermaksud pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti perlu dilakukan daripada pelbagai sudut misalnya dari segi insentif ekonomi, percukaian, undang-undang, dasar-dasar negara yang selari dan mantap, kuasa politik serta pendidikan dan perubahan jiwa manusia melalui peranan agama dan golongan agamawan.
Dalam pendekatan menyeluruh, terdapat sesetengah kaedah menunjukkan perkembangan dan hasil lebih baik berbanding kaedah-kaedah lain. Misalnya, kaedah pendidikan dan kesedaran tidak menunjukkan kesan segera tetapi memakan masa untuk membuahkan hasil yang diingini. Namun ini sama sekali tidak menafikan peranan kaedah-kaedah berbeza dalam mencapai pemuliharaan alam sekitar yang sejahtera.
Seperti yang disebut di atas, agama juga telah diiktiraf sebagai satu pendekatan penting dalam pemuliharaan alam sekitar. Agama meletakkan nilai yang tepat kepada alam dan sumbernya. Dengan itu, alam tidak lagi dilihat sebagai satu “benda” untuk kegunaan manusia semata-mata tetapi alam juga punya hak dan peranan yang penting..
Bagi agama Islam, bagaimana manusia berhubung dengan persekitarannya mempunyai nilai yang tinggi. Islam bukan sahaja agama yang membentuk keperibadian seseorang tetapi turut menitikberatkan apa yang umatnya lakukan di dunia ini dan bagaimana kita melayan apa yang ada di persekitaran kita, sama ada manusia lain mahupun haiwan dan tumbuhan.
Ini bermakna, pengabdian seorang Muslim kepada Penciptanya tidak hanya tergambar melalui amalan-amalan solat, puasa, membayar zakat dan sebagainya tetapi pengabdian tersebut juga harus dizahirkan dengan menjaga hubungan manusia dengan makhluk ciptaan Allah SWT yang lain.
Jika masyarakat Muslim benar-benar memahami peranannya dalam alam ini, kemungkinan besar usaha-usaha menjaga alam dan sumbernya menjadi lebih mudah. Malah, dalam konteks Malaysia, agama menawarkan beberapa kelebihan yang boleh menjadi aset kepada usaha pemuliharaan alam sekitar.
Sebagai contoh, bagi tahun 2016, terdapat 6,382 buah masjid dan 17,493 buah surau di seluruh Malaysia. Jika setiap masjid dan surau ini dapat menjalankan apa-apa usaha atau kegiatan yang boleh menyumbang kepada penjagaan alam sekitar maka hasilnya tentu amat baik. Dalam hal ini, bukan sahaja masjid atau surau boleh menjalankan kegiatan pendidikan alam sekitar yang turut mengaitkan elemen nilai spiritual tetapi boleh juga menjadi contoh kepada amalan hijau dengan menekankan kegiatan-kegiatan seperti penjimatan air dan tenaga, amalan kitar semula dan sebagainya.
Haruslah diingat bahawa selain masjid dan surau, terdapat juga sekolah-sekolah agama serta pertubuhan-pertubuhan agama Islam di seluruh Malaysia. Jika kegiatan yang dilaksanakan di masjid dan surau dapat diimplementasikan pula di sekolah-sekolah dan pertubuhan agama ini maka impaknya mungkin lebih lumayan.
Apa yang disebut di atas, merujuk kepada komuniti Muslim sahaja. Jangan kita lupa bahawa negara ini adalah sebuah negara berbilang agama. Setiap entiti agama mempunyai infrastruktur mereka yang tersendiri misalnya kuil, gereja, pusat pendidikan dan pertubuhan agama yang tersendiri.
Data tahun 2013 menunjukkan bahawa terdapat 52,980 pertubuhan induk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Daripada jumlah ini, 20 peratus atau 10,658 merupakan pertubuhan keagamaan. Ini bermakna, terdapat begitu banyak pertubuhan berasaskan agama di negara ini. Dengan jumlah ini, bayangkan jika pertubuhan-pertubuhan tersebut dapat digerakkan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dalam bentuk pemuliharaan alam sekitar, pendidikan, pembersihan, penanaman semula pokok, kitar semula dan sebagainya. Kesan kegiatan ini pastinya amat memberangsangkan.
Malangnya ketika ini, keadaan yang diharapkan seperti di atas tidak berlaku. Malah, tidak ramai ahli masyarakat memahami perkara ini. Kita sentiasa meletakkan diri lebih tinggi dan lebih hebat berbanding makhluk lain. Apabila perasaan sebegini wujud, maka tidak hairanlah manusia bermaharajalela merosakkan apa sahaja yang ada dalam alam ini.
Pemikiran sebegini haruslah berubah. Apabila pemikiran berubah barulah segala kemudahan yang ada, seperti masjid, surau, sekolah agama dan pertubuhan agama dapat menggerakkan usaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Tanpa perubahan pemikiran, segala kelebihan dan kekuatan yang dimiliki itu hanyalah sia-sia sahaja.