Media cetak dan elektronik masih menguasai dunia penyebaran maklumat. Kita menyaksikan gambar-gambar yang tersiar di dada akhbar dan majalah memberi seribu penjelasan ditambah pula dengan televisyen dan Internet yang memaparkan secara visual kejadian dan peristiwa yang sebenar.
Dengan kemajuan teknologi terkini media dapat menyiarkan maklumat terkini dan pada bila-bila masa sahaja. Di zaman darurat dahulu kita banyak bergantung berita menerusi radio, kini teknologi lebih maju daripada itu.
Sebagai pengguna mereka kadangkala bertanya: Apakah media telah melaksanakan tugas dengan adil untuk menyalurkan berita yang tepat dan benar setiap masa atau menjadi alat propaganda kepada pihak tertentu?
Dari sudut literature, sesuatu berita atau maklumat itu boleh jadi benar keseluruhannya atau tidak benar sama sekali. Dalam hubungan ini al-Quran dalam surah al-Hujurat, ayat 6 menyatakan bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.
Di zaman permulaan Islam berita disebar secara lisan dan didengar tetapi alat tulis amat terbatas. Maklumat yang disampaikan secara lisan ini memerlukan pemberita yang amanah dan bertanggungjawab. Satu peristiwa berlaku ke atas isteri Rasulullah – Aishah. Berita disebarkan mengenai Saidatina Aishah yang menjadi fitnah yang menyebabkan beliau diselubungi kesedihan. Pada peringkat awal Nabi sendiri tidak tahu siapa di pihak yang benar sehinggalah diturunkan wahyu menjelaskan bahawa isterinya Saidatina Aishah bersih daripada fitnah itu.
Justeru sesuatu berita yang disampaikan perlulah diperiksa terlebih dahulu seperti yang disarankan oleh ayat tersebut.
Ada beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan kepada media. Panduan itu penting kerana ia termasuk dalam tujuan mencapai maslahat keelokan atau tahsiniyah bagi manusia. Dengan demikian dapatlah mempertahankan nilai moral yang tinggi, dan maruah yang merupakan pakaian kepada setiap individu.
Orang yang tidak ada maruah diri akan melakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat lebih-lebih lagi jika mempunyai agenda tertentu.
Media sepatutnya memberi laporan yang benar walaupun kebenaran itu memberi tamparan kepada diri sendiri atau kepada pihaknya. Islam menuntut kita bercakap benar walau ia begitu sukar untuk diterima. Asas kepada kebenaran adalah ilmu. Mempunyai pengetahuan mengenai sesuatu dan mengambil maklumat dari sumber yang asal, bukan setakat dengar kata; tanpa selidik. Kebenaran itu perlu disampaikan dengan jujur dan adil. Media juga patut tahu kesan daripada maklumat kepada pengguna.
Perkembangan mutakhir memperlihatkan media sudah mulai diikat supaya mengeluarkan maklumat yang tidak mendatangkan kesan negatif kepada pihak yang berkepentingan. Dahulu, Barat lantang memperjuangkan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara. Bahkan kebebasan menjadi neraca kepada tamadun dunia.
Akan tetapi hari ini apabila kebebasan yang selama ini dilaungkan didapati tidak memihak kepada mereka, lantas ia dikekang dan ditapis. Menapis maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan negara mungkin ada rasionalnya. Tetapi menutup fakta sebenar yang berlaku seperti apa yang kita saksikan dalam pencerobohan ke atas Iraq adalah tidak adil. Betapa dengan nasib orang awam terutamanya kanak-kanak dan wanita Iraq.
Di negara kita kebebasan bercakap dan mengeluarkan pendapat termaktub dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Malaysia, bagaimanapun ia bukanlah jaminan kebebasan mutlak. Kebebasan tertakluk kepada beberapa situasi yang membolehkan apa-apa sekatan atas alasan seperti menjaga kepentingan keselamatan, ketenteraman awam atau moral/ akhlak. Ini dinyatakan dalam Perkara 10(2). Justeru beberapa sekatan perundangan telah dikenakan ke atas media cetak.
Dalam Islam tidak ada kebebasan mutlak kepada sesiapa pun. Kebebasan yang tidak terikat dengan etika dan tanggungjawab moral boleh mendatangkan kerosakan atau fasad. Justeru, maslahat awam atau kepentingan awam adalah menjadi matlamat syarak untuk dilindungi.
Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk melindungi kepentingan awam.
Dalam konteks pemerintahan terdapat kaedah yang menyatakan, menutup pintu kerosakan dan kaedah tindakan yang dijalankan oleh ketua negara – al-Imam terhadap rakyat terpulang kepada maslahat.
Kaedah ini telah menjadi prinsip penting dalam pemerintahan negara. Banyak perkara boleh diatasi dengan menggunakan prinsip ini. Antaranya dapat mengawal kepentingan individu dan menjaga kepentingan negara, serta menjamin hak-hak rakyat.
Dalam negara seperti Malaysia media adalah penting dan mempunyai tanggungjawab terutama dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan nasional di samping memelihara ketinggian moral atau akhlak.
Media Barat suka menulis tentang Islam dan orang Islam. Sayangnya mereka kurang faham atau tidak mahu faham tentang Islam sehingga tidak dapat membezakan antara Islam dengan orang Islam, walaupun mereka boleh membezakan antara agama Kristian dan orang Kristian. Mereka memberi tafsiran yang salah kepada beberapa ajaran Islam, seperti tanggapan mereka terhadap jihad.
Media Barat mengaitkan jihad dengan keganasan Ini jelas satu huraian yang tidak tepat. Kita tahu jihad memberi erti yang pelbagai. Adalah tidak adil Barat hanya memberikan tafsiran jihad bermaksud peperangan sehingga mencadangkan pengajaran tentang jihad dihapuskan. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat tentang jihad dan dijelaskan dalam konteks yang berbeza.
Cara media Barat menggambarkan Islam menimbulkan ketakutan dan kebencian sesetengah masyarakat Barat terhadap Islam. Meletakkan Islam sebagai musuh dari dalam. Kita tidak menafikan terdapat orang Islam, oleh kerana tekanan tertentu terpaksa mengambil jalan keganasan untuk meluahkan perasaan kekecewaan mereka. Kita tahu keganasan tidak terbatas kepada penganut agama tertentu. Di negara-negara bukan Islam berlaku keganasan dan mereka bukan penganut Islam. Akan tetapi mengapa label keganasan itu hanya diberikan kepada Islam dan orang Islam. Ini tidak adil dan tidak rasional. Sebenarnya media Barat ada agenda tertentu ke atas Islam dan orang Islam. Kita tahu Islam adalah ajaran yang membawa kepada keselamatan bukan sebaliknya.
Dalam sejarah Islam memang berlaku peperangan. Akan tetapi peperangan itu dilakukan untuk mempertahankan maruah Islam; setelah tertutup pintu rundingan. Dalam peperangan ada batas-batasnya seperti tidak menganiayai dan membunuh kanak-kanak, orang tua dan perempuan. Tidak merosakkan makanan, tumbuhan dan sebagainya. Apa yang kita saksikan sekarang peperangan tidak mengecualikan golongan ini. Bahkan orang awam yang tidak berdosa ramai menjadi mangsa. Segala-galanya musnah tanpa belas kasihan. Inilah peperangan di zaman manusia mencapai tamadun.
Media mempunyai peranan untuk memberikan gambaran yang sebenar tentang Islam dan orang Islam. Bahkan mereka juga boleh mencorakkan dunia dan membentuk pandangan umum mengenai sesuatu isu dan peristiwa. Justeru keberkesanan peranan media Barat inilah yang menyebabkan juga Islam berada pada tahap yang rendah dan orang Islam berada dalam kedudukan yang tertekan dan rendah diri dan dipandang rendah oleh orang lain. Oleh kerana orang Islam tidak mempunyai pengaruh ke atas media Barat dan tidak pula memiliki media di peringkat dunia menyebabkan nasib Islam dan orang Islam tidak mendapat pembelaan yang adil. Selagi senario begini berterusan selama itulah Islam terus tidak dapat diperjelaskan kepada Barat dan merubah pandangan umum Barat terhadap Islam. Bahkan apabila ada pemimpin seperti Dr. Mahathir Mohamad yang lantang memperjelaskan isu umat Islam, media Barat tidak bersedia memberi tempat sewajarnya kepada beliau.
Mungkinkah satu hari negara Islam seperti Malaysia dapat melahirkan media yang berpengaruh seperti CNN atau BBC. Al-Jazeera telah muncul sebagai media pilihan yang dapat mengimbangkan berita. Akan tetapi mampukah al-Jazeera memainkan peranan yang berkesan memperjelaskan Islam dan membela orang Islam dalam media. Dunia Islam memerlukan lebih banyak lagi media seperti itu supaya dapat memberi berita yang sebenar dan terkini tentang dunia Islam dan memulihkan imej Islam.