Gerbang tahun baharu, kurang dua minggu akan dilalui. Di hujung-hujung tahun sebegini, ada antara kita yang sudah berehat dan menikmati baki-baki hari sebelum memulakan tugasan pada tahun hadapan, selepas tercapainya matlamat yang sudah dirancang pada awal tahun yang lalu. Barangkali sebagai pencapaian peribadi, keluarga, jabatan, organisasi ataupun syarikat. Sesetengahnya pula masih bersungguh-sungguh memanfaatkan secara optimum sisa-sisa masa yang berbaki bagi memenuhi sasaran yang sudah dijadualkan atau dirancang.
Pencapaian yang diraih sebagai hasil usaha sama ada secara berseorangan atau berkumpulan tentunya terdiri daripada pelbagai bentuk. Peningkatan kerjaya atau produktiviti kerja adalah sesuatu yang lazim untuk dicapai mana-mana orang. Sesetengahnya pula meletakkan amaun atau kuantiti tertentu dari sudut material sebagai matlamat di hujung tahun. Tidak kurang juga yang meletakkan perubahan sikap tertentu sebagai kejayaan peribadi yang tinggi nilai kepuasannya, atau pencapaian tahap kesihatan yang jauh lebih baik.
Sesetengahnya pula menjadikan aktiviti-aktiviti lasak yang tertentu dan luar biasa, kerohanian, kebajikan atau kemasyarakatan serta kesukarelawanan sebagai perkara yang mampu memberikan keseronokan atau kepuasan kepada jiwa seseorang. Hal ini adalah bagi kalangan mereka yang mempunyai misi dan visi dalam kehidupan; mempunyai sikap yang positif; serta mempunyai standard atau kualiti tertentu dalam diri.
Dalam hal ini, membina aspirasi adalah fitrah bagi manusia. Walaupun demikian, hasrat atau cita-cita yang mahu dicapai, akan menjadi sangat cantik jika tersuntik dengan sebuah pesanan daripada Baginda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Thabrani.
Daripada Ibnu Umar: apabila seseorang bertanyakan Baginda SAW tentang ciri-ciri individu yang dicintai Allah SWT, Baginda menjawab pertanyaan berkenaan dengan menyatakan individu yang mempunyai kualiti diri dengan memberi manfaat kepada manusia yang lain. Sementara amalan yang paling disukai Allah: apabila seseorang itu membuatkan seseorang yang lain merasai kebahagiaan; membantu seseorang menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi; menunaikan tanggungjawab berhutang dengan melunasi hutang tersebut; atau memberi makan kepada orang kelaparan. Tentulah dalam hal ini, berbuat sesuatu untuk mencukupkan keperluan seseorang adalah sama baiknya dengan memberi makan kepada orang yang lapar.
Selanjutnya Rasulullah SAW menyatakan kecenderungan Baginda yang lebih suka menemani seseorang yang sedang menunaikan keperluannya berbanding dengan beriktikaf Masjid Madinah selama satu bulan, sedangkan kita sedia maklum bahawa pahala melakukan ibadah termasuk beriktikaf di Masjid Nabawi amatlah besar selepas Masjidil Haram.
Melalui Hadis daripada Ibnu Umar ini juga, Nabi SAW turut menyampaikan berita yang menggembirakan kepada seseorang yang berjaya untuk mengawal perasaan, bahawa Allah akan menutupi kelemahannya. Dalam keadaan seseorang berjaya menahan rasa marahnya sedangkan ia mampu untuk melakukannya, maka Allah akan memenuhi hatinya dengan harapan pada hari kiamat. Baginda SAW menyatakan sesiapa yang menemani saudaranya untuk menunaikan keperluan tertentu sehingga perkara tersebut terlaksana, pada hari akhirat kelak, Allah akan menjadikan kakinya mempunyai kekuatan dan teguh berdiri.
Khabar gembira bagi kalangan yang suka memberi kebaikan kepada manusia lain sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW, selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Israa’ ayat 7 yang bermaksud: “Jika kamu berbuat baik, maka (faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…”
Melihat kepada inti pati nas-nas ini, alangkah baiknya jika pencapaian atau matlamat yang dirancang sama ada secara individu ataupun dalam bentuk organisasi disertai dengan nilai yang hasilnya nanti turut memberi manfaat kepada orang lain, dan kehidupan manusia secara keseluruhan.
Di penghujung tahun ini, ada baiknya kita mengambil sedikit ruang untuk bermuhasabah dengan bertanyakan diri sendiri, sebanyak mana kebaikan yang pernah kita hulurkan kepada orang lain dengan ikhlas, sebagai bekal dan peneman yang dapat memudahkan perjalanan kita di dunia akhirat kelak? Muhasabah ini amat baik sekali untuk kita lakukan sebelum kita melakar perancangan dan matlamat tertentu pada tahun yang mendatang.
Dalam hal ini, kebaikan yang dapat dimanfaatkan kepada orang lain, sekurang-kurangnya boleh dilaksanakan dalam empat kategori iaitu: ilmu agama secara khusus atau ilmu umum termasuk kemahiran hidup; menginfak wang atau harta; menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga; dan bersikap baik sesama insan dengan menjaga silaturahim.
Kebaikan atau faedah yang dihulurkan bukan sekadar untuk kalangan ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat handai yang dikenali sahaja. Malah roh nas-nas berkenaan menembusi ruang persekitaran kita sendiri dan melangkaui sempadan fizikal: bermakna, di mana sahaja di dunia ini yang terdapat saudara seislam kita, jika mereka mempunyai keperluan dan memerlukan bantuan, maka ia harus disambut dengan semangat ukhuwah.
Sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah dalam Surah al-Israa’ sebelum ini, apabila kita membuat kebaikan, manfaatnya akan kembali semula kepada kita. Apabila kita memberi faedah kepada saudara-saudara kita dan memperkukuhkan silaturahim, sebenarnya kita memperkukuhkan kelangsungan hidup kita sendiri disebabkan perbuatan ini meraih keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Begitu juga apabila kita melindungi saudara kita, maka kita juga akan terlindung hasil daripada kekuatan silaturahim yang terjalin.
Sementara kita mampu untuk memberi dan merancang, lakukanlah perancangan yang faedahnya akan memberi kebaikan kepada agama yang kita anuti. Ia adalah peluang keemasan sebagaimana maksud dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi:
“Ambillah peluang yang lima, sebelum (datang) yang lima: masa mudamu sebelum datang masa tuamu; sihatmu sebelum sakitmu; kayamu sebelum fakirmu; hidupmu sebelum matimu; dan masa lapangmu sebelum datang kesibukanmu”