Hanya beberapa hari sahaja lagi negara kita Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan, dan bagi tahun 2007 ini, ianya merupakan hari ulang tahun kemerdekaan yang ke 50. Tempoh 50 tahun merupakan jangkamasa yang sudah memadai untuk mematangkan setiap warga yang merdeka dan pastinya Hari Kebangsaan kali ini sesuatu yang sangat bermakna dan satu kesempatan untuk kita rakyat Malaysia sama-sama menggilap semangat patriotik, atau dalam bahasa arabnya dikenali sebagai hubbu’l watan, atau cintakan negara. Tetapi malangnya dan tidak tahu pula di mana pula silapnya, bagi sebahagian rakyat kita, hari bersejarah ini tidak mempunyai apa-apa erti selain daripada cuti umum untuk bersantai dan beristirehat di rumah, bahkan ada pula yang mengambil peluang untuk berjalan-jalan sambil membeli-belah.
Dari segi maknanya, patriotisme membawa erti cinta dan rasa tanggungjawab terhadap negara dan bangsa. Menurut Prof. Ismail Faruqi rasa cinta dan tanggungjawab ini adalah suatu yang positif serta digalakkan oleh Islam, bahkan Islam telah menetapkan beberapa garis panduan untuk mencapai objektif patriotisme tersebut. Malah menurut pandangan Islam juga, berbakti kepada negara dan bangsa adalah suatu yang sangat dituntut. Menurut beliau lagi patriotisme yang dianjurkan oleh Islam jauh lebih baik dan hebat berbanding dengan patriotisme Barat.
Sementara itu seorang lagi cendekiawan Islam tersohor yang turut memberi pandangan yang positif terhadap patriotisme ialah Muhammad Iqbal. Antara lain pandangan yang diberi oleh Muhammad Iqbal terhadap patriotisme dalam satu perhimpunan di India, ialah: “Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia, dan mempunyai tempat di dalam kehidupan moral manusia. Namun yang merupakan kepentingan sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaannya, dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan erti yang seharusnya dibawa hidup dan dibawa mati, bukan sejengkal tanah di mana jiwa manusia dihubungkan untuk sementara waktu.”
Sehubungan dengan itu juga, pada masa yang sama kita dikelirukan dengan apa yang dikenali sebagai nasionalisme. Bagi tokoh-tokoh di atas, Ismail Faruqi dan Muhammad Iqbal, kedua-duanya menolak nasionalisme. Bagi Ismail Faruqi, beliau menolak nasionalisme kerana ianya merupakan ethnocentrism yang kemudiannya melahirkan racism yang melampau. Sementara Muhammad Iqbal pula menolak nasionalisme sepertimana yang diamalkan di Barat iaitu, nasionalisme yang berasaskan kebendaan dan menolak kehidupan beragama serta sangat berbahaya kepada kehidupan manusia.
Namun satu hakikat yang perlu difahami ialah sifat berubah-ubahnya erti dan isi nasionalisme itu sendiri mengikut perubahan zaman dan tempat. Ini adalah kerana munculnya nasionalisme di negara-negara yang ditindas dan dijajah tidak sama dengan nasionalisme yang lahir di negara-negara Barat yang sebahagiannya adalah penjajah. Begitu juga dengan semangat nasionalisme yang wujud sebelum merdeka tidak sama dengan semangat nasionalisme selepas merdeka. Maka dengan itu, pendirian terhadap nasionalisme sama ada menerima atau menolak seharusnya mengambil-kira isi serta makna yang digunapakai.
Sebagai contoh, as Syahid Imam Hassan al Banna, telah menggunakan kedua-dua kalimah patriotisme dan nasionalisme, atau wataniyyah dan qaumiyyah, dengan menyelaraskan kalimah-kalimah dan penggunaannya sesuai dengan tuntutan dan nilai Islam. Umpamanya beliau telah menerima apa yang dinamakan sebagai wataniyyatu ‘l-hanin (cintakan negara), wataniyyatu ‘l-hurriyyah wa ‘l ‘izzah (menjunjung nilai-nilai kemerdekaan dan kehormatan), wataniyyatu ‘l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam). Pada masa yang sama juga beliau menolak wataniyyatu ‘l-hizbiyyah (dasar yang memecah-belahkan ummah supaya mereka saling bermusuhan).
Sementara yang berkaitan dengan nasionalisme atau al-qaumiyyah pula, Imam Hassan al Banna menerima apa yang diistilahkan sebagai qaumiyyatu ‘l-majd, iaitu pendirian yang menghargai dan mengambil pengajaran contoh-contoh terbilang generasi terdahulu, dan juga qaumiyyatu ‘l-ummah, iaitu pendirian yang mengutamakan pengorbanan terhadap umat atau kaum kerabat. Sementara itu, beliau menolak fahaman qaumiyyatu ‘l-jahiliyyah, iaitu nasionalisme yang berusaha menghidupkan semula budaya jahiliah dan berusaha melepaskan kehidupan dari ikatan Islam, dan juga beliau menolak fahaman qaumiyyatu ‘l-udwan, iaitu nasionalisme yang berasaskan kesombongan, ketinggian dan ego diri sehingga membawa kepada penindasan dan pencabulan hak-hak manusia yang lain.
Selain itu, kefahaman terhadap nasionalisme ini juga perlu diperhalusi lagi supaya ianya tidak dikelirukan dengan nasionalisme sekular, iaitu yang meletakkan tanahair di atas segala-galanya, hatta agama sekalipun. Fahaman nasionalisme yang sebegini sebenarnya bertentangan dengan roh tauhid yang dibawa Islam, kerana meletakkan puncak kesetiaan yang mutlak kepada tanahair dan bukannya kepada Allah SWT.
Sesungguhnya mencintai tanahair adalah suatu yang baik dan Islamik, tetapi rasa cinta ini mestilah dijelmakan sebagai cinta kepada hakikat sebenar atau cinta rohaniah yang ada kaitan dengan kecintaan kepada Allah SWT. Oleh itu seorang Muslim yang mencintai tanahairnya ialah seorang yang dapat memahami cintanya kepada Allah SWT dan pengabdi kepada yang mencipta tanahair itu, dan bukannya pengabdi kepada tanahair.
Di tanahair kita mungkin Almarhum Dr. Burhanuddin al Hilmi dapat dijadikan contoh sebagai pejuang tanahair dan nasionalis yang telah berjaya menepati tuntutan pengadian kepada Allah SWT, dan pada masa yang sama berjaya mencurah bakti kepada tanahair. Kefahaman yang beliau bawa terhadap fahaman Melayu Kebangsaan adalah suatu yang tidak terpisah daripada tuntutan agama. Perjuangan beliau telah berjaya mengangkat fahaman nasionalisme yang mengutamakan prinsip Ketuhanan Yang Maha Esa, bersifat adil dan berjiwa persaudaraan sejagat. Pada masa yang sama juga beliau menolak fahaman-fahaman nasionalisme lain yang dianggap sempit, menindas dan terasing.
Maka dengan itu, pada kesempatan merayakan sambutan kemerdekaan Malaysia kali yang ke-50 ini, penting bagi kita semua untuk kembali menggarap kefahaman terhadap kemerdekaan ini dengan lebih mendalam dan mantap. Seringkali kefahaman kita terhadap kemerdekaan dibataskan hanya kepada dua unsur utama iaitu kebebasan dan berdikari. Tapi Islam membawa pengertian yang jauh lebih menyeluruh dan lebih menggarap permasalahan sebenar. Islam mahu kemerdekaan di mana kalimah Allah lebih tinggi dari segala kalimah. Ia bukan sekadar kemerdekaan dari segi pendudukan tentera dengan berjaya menghalau keluar penjajah dari bumi tercinta, tetapi juga kemerdekaan dari segi politik, ekonomi, pendidikan, budaya, teknologi dan lebih penting dari itu semua ialah kemerdekaan insan itu sendiri. Kemerdekaan insan adalah muqaddimah kepada segala bentuk kemerdekaan yang lain. Tanpa insan yang merdeka, kemerdekaan sebenar tidak akan tercapai dan perjuangan kemerdekaan hanya akan terhenti separuh jalan.
Perjuangan kemerdekaan memerlukan jiwa kental yang hanya dapat dibekalkan oleh Islam, iaitu jiwa yang memiliki pandangan dan memahami dimensi perjuangan dan bebanan yang harus dipikul. Mereka yang memahaminya dalam konteks ‘ubudiah dan kewajiban menegakkan Islam secara sempurna sahaja yang sanggup berkorban untuk satu perjuangan yang panjang. Perjuangan untuk kemerdekaan kemanusiaan seluruhnya bukan sekadar perjuangan untuk mendapat sebidang tanah atau kepuasan membalas dendam kepada penjajah.
Apatah lagi di era globalisasi dan monopoli golongan kapitalis masa kini, kemerdekaan tanahair semata-mata tidak memberi banyak makna. Negara bangsa yang ditubuhkan atas dasar wataniah atau tanahair semata-mata dan dengan fahaman kebangsaan yang sempit dan kabur hanya akan mempunyai kedaulatan untuk mengurus hal-hal kebajikan rakyat semata-mata. Adapun hal-hal yang berkaitan politik, pendidikan, keamanan dan ekonomi, maka ia akan terus berada di bawah telunjuk hegemoni kuasa tunggal dunia. Apalah erti kemerdekaan yang ada ini, jika tidak diringi dengan semangat juang berterusan untuk membebaskan manusia seluruhnya dari pengabdian sesama makhluk kepada pengabdian sepenuhnya kepada Allah SWT.