Kreativiti merupakan perkataan yang sangat digemari masa kini. Frasa-frasa seperti individu kreatif, hasil kreatif, budaya kreatif, kreativiti dan inovasi, pembelajararan kreatif serta kreativiti dalam organisasi merupakan antara frasa yang kerap didengari. Namun, sejauh mana kita memahami kreativiti itu sendiri sering menimbulkan persoalan. Ini kerana makna kreativiti atau kreatif sering disalahanggap, disalahguna mahupun disalahtafsir. Apatah lagi bila kita membicarakan perkara ini dari sudut keagamaan.
Namun, satu persoalan yang sering ditimbulkan ialah sama ada manusia benar-benar boleh melaksanakan kreativitinya. Dengan kata lain, adakah manusia sebenarnya boleh berkreativiti atau boleh mereka cipta, sedangkan perkara tersebut adalah milik Allah SWT, Tuhan yang Maha Mencipta? Seperkara lagi, jika manusia boleh mencipta, maka apakah dia boleh mencipta segala-galanya, tidak kira benda atau perkara itu baik atau sebaliknya?
Hakikatnya, Allah SWT merupakan satu-satunya Pencipta yang Maha Sempurna. Lihat sahaja tubuh badan manusia, semuanya telah diciptakan dengan sempurna tanpa cacat cela sedikit pun. Namun, dengan rahmatNya juga, Allah SWT telah menganugerahkan kebolehan mereka cipta kepada manusia. Ini bermakna manusia boleh menggunakan kreativitinya untuk menghasilkan sesuatu. Namun, ini ada syaratnya.
Syarat yang paling utama ialah, manusia boleh mereka cipta tetapi tujuan ciptaannya itu hendaklah untuk kebaikan sejagat. Misalnya menggunakan kreativitinya untuk menghasilkan ubatan untuk merawat penyakit manusia. Dengan itu, sesuatu ciptaan untuk memusnahkan serta merosakkan manusia dan kemanusiaan serta alam keseluruhannya adalah tidak dibenarkan sama sekali. Hasil kreativiti yang baik itu sebenarnya satu lambang kehambaan manusia kepada Maha Pencipta. Ini kerana, anugerah berkreativiti itu telah digunakan sebaik mungkin untuk membawa kebaikan kepada alam amanah Allah SWT ini.
Oleh itu kreativiti sangat penting. Dalam hal ini, kreativiti penting pada dua tahap iaitu di peringkat individu mahupun di peringkat masyarakat. Di peringkat individu, kreativiti penting untuk menyelesaikan masalah seharian manusia. Ini kerana, pada setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai masalah – kecil atau besar – dan kreativiti diperlukan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Di peringkat masyarakat pula, kreativiti perlu kerana kebolehan ini akan membawa kepada penemuan-penemuan sains yang diharapkan dapat membantu manusia menjalani hidupnya dengan lebih baik dan sempurna.
Berdasarkan kenyataan ini, memang wajarlah kebolehan kreatif seseorang dipupuk. Hakikatnya, setiap manusia mempunyai kebolehan kreatif tersendiri. Dengan kata lain, setiap orang mempunyai potensi untuk berkreativiti. Namun, potensi yang ada tidak berguna jika tidak dipupuk dengan baik. Dalam hal ini, memupuk budaya kreatif sewajarnya dilaksanakan dalam dunia pendidikan. Dunia pendidikan ini pula tidak hanya terhad dalam dunia sekolah tetapi memerlukan penglibatan ibu bapa di rumah dan juga masyarakat keseluruhannya.
Dalam hal ini, pemupukan boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Namun, dalam konteks penulisan makalah ini, penulis hanya ingin menyentuh tiga bentuk usaha sahaja. Pertamanya berkaitan dengan memberi ruang dan peluang untuk setiap individu merealisasikan kebolehan kreativitinya. Dalam hal ini, setiap individu, sama ada dalam keluarga, organisasi mahupun masyarakat, seharusnya diberi peluang untuk berkreativiti dan seterusnya diharapkan mereka akan dapat menghasilkan idea, barangan mahupun perkhidmatan yang boleh membantu kehidupan manusia.
Keduanya, kebolehan berkreativiti ini juga memerlukan sokongan tertentu. Sokongan meliputi sokongan jiwa mahupun sokongan kebendaan. Misalnya, memberi kata nasihat, tunjuk ajar mahupun menyediakan dana untuk berkreativiti. Ketiganya pula, seperti mana yang disebut di atas, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam usaha membudayakan kreativiti.
Dalam hal ini, setiap individu dalam masyarakat perlu memahami kebolehan kreatif, potensinya serta bagaimana memupuknya. Lebih penting lagi, memahami aspirasi masyarakat tersebut untuk menjadikan kreativiti sebagai satu budaya penting dalam masyarakat itu sendiri. Berkaitan dengan ini, maka segala salah faham berkaitan kreativiti perlulah diperbetulkan.
Contoh salah faham yang lazim adalah anggapan bahawa kreativiti bermakna satu usaha yang pasti menghasilkan sesuatu dalam jangkamasa yang pendek. Sedangkan usaha kreatif untuk menghasilkan sesuatu itu akan memakan masa dan mungkin akan berhadapan dengan pelbagai kegagalan sebelum usaha tersebut menjadi kenyataan. Ini bermakna, satu usaha kreatif tidak boleh menjamin penghasilan sesuatu yang baharu pada cubaan kali pertama.
Salah faham lain adalah berkaitan dengan kefahaman bahawa penghasilan satu hasil kreatif bergantung pada hanya satu individu. Sebagai contoh, apabila adanya satu individu kreatif dalam sesebuah organisasi, dia diharapkan akan dapat menghasilkan sesuatu yang baharu demi melonjakkan organisasi tersebut ke satu tahap yang lebih baik. Hakikatnya, satu hasil kreatif terhasil dengan usaha dan kerjasama banyak pihak. Misalnya, kreativiti individu akan menghasilkan satu hasil kreatif tetapi untuk tujuan pengeluaran dan pemasaran, satu usaha kreatif yang lain turut diperlukan bagi memastikan hasil tersebut dapat dimanfaatkan oleh pengguna.
Kesimpulannya, kreativiti perlu difahami barulah kebolehan itu boleh dicapai. Paling penting adalah kefahaman di peringkat masyarakat. Jika semua ahli masyarakat memahami kreativiti maka lebih mudahlah kebolehan itu dibudayakan. Paling asas adalah keyakinan bahawa kita manusia ciptaan Ilahi yang paling bertuah kerana dianugerahkan kebolehan kreatif, maka gunakan kebolehan tersebut ke arah kebaikan sejagat.