`Abdullah bin Zaid al-Jarmi atau lebih dikenali sebagai Abu Qilabah, tabi`in yang merupakan ahli Hadith kelahiran kota Basrah pernah mengungkap dengan indahnya, “Perumpamaan ulama adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan panduan buat menunjuk arah. Pun jua seperti panji-panji yang dijadikan panduan atau sandaran. Seandainya ia (bintang-bintang atau panji-panji) tiada atau hilang, bingunglah manusia jadinya. Seandainya pula manusia meninggalkannya, sesatlah mereka akhirnya.” (Kitab Hilyatul Auliya’).
Kedudukan ulama sebagai pewaris ilmu para Nabi membuatkan kehadiran mereka begitu diperlukan anggota masyarakat. Dalam sebuah Hadith yang masyhur, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya ulama merupakan pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewarskan dinar dan tidak juga dirham namun sesungguhnya mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil warisan tersebut, maka ia hakikatnya telah mengambi bahagian yang banyak.” (Al-Tirmizi)
Pemisahan antara kedua-duanya; sama ada kehilangan yang berlaku disebabkan kematian mahupun juga disebabkan kealpaan, kecuaian serta pengabaian ulama oleh masyarakat pasti akan mengundang musibah yang besar. Dengan yang demikian kita dapat melihat bagaimana setiap kali ulama tersohor, dalam dan luar negara dijemput kembali ke sisi Ilahi, kehilangannya ditangisi segenap lapisan ummah. Kesedihan yang menyelubungi jiwa disebabkan kebimbangan terhadap amaran yang diberikan Baginda S.A.W. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya daripada hamba-hamba-Nya. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan dimatikan ulama sehingga tidak ditinggalkan walau seorang pun orang yang berilmu (alim). Oleh yang demikian, orang ramai pun memilih pemimpin-pemimpin (ketua) daripada kalangan orang yang jahil. Lantas apabila pemimpin-pemimpin berkenaan ditanya, mereka pun memberikan pandangan tanpa berdasarkan ilmu maka sesatlah mereka dan menyesatkan pula (orang lain).” (Al-Bukhari dan Muslim)
Demikianlah yang dapat dilihat berlaku baru-baru ini, iaitu bertepatan sambutan Hari Malaysia yang ke-54, apabila seorang lagi ulama sanjungan, Tuan Guru Dr Haron Din dijemput Allah Maha Pencipta untuk kembali ke sisi-Nya. Tokoh ilmuwan dan politik yang disanjungi ramai itu dikenang dari pelbagai sudut; sumbangan dalam bidang keilmuan, kepemimpinan dalam politik kepartian, serta khidmat bakti kepada masyarakat umumnya. Secara lebih khusus, kemuliaan akhlak dan ketegasan beliau dalam mempertahankan pendirian berhubung isu tertentu mengundang bicara banyak pihak khususnya di media sosial. Antara contoh terpenting yang menunjukkan beliau tidak sama sekali mengorbankan prinsip dan kebenaran agama berbanding dengan kepentingan yang lain termasuklah isu kalimah Allah. Pendirian beliau itu senada dengan pandangan yang dikemukakan pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam beberapa wadah seperti perbahasan dalam program khas dan dalam slot-slot tertentu di media penyiaran serta pelbagai bentuk penulisan.
Antara yang ditegaskan termasuklah penterjemahan perkataan ‘God’ sebagai “Allah” merupakan terjemahan yang salah. Sebaliknya, perkataan “Tuhan” sudah memadai untuk tujuan berkenaan. Kalimah “Allah” merupakan nama khas (ism `alam) dan bukannya kata terbitan (mushtaqq) daripada mana-mana perkataan Arab. Sebagai nama khas dan sebagaimana nama-nama khas yang lain, ia sepatutnya dikekalkan dalam sebarang bahasa dan tidak boleh digantikan dengan perkataan lain sebagai terjemahannya. Oleh sebab bahasa Melayu tergolong dalam rumpun bahasa Islam, makna yang sah bagi kalimah “Allah” hanyalah makna yang dikehendaki al-Qur’an dan dijelaskan dalam akidah Islam, iaitu Tuhan yang satu yang disembah dan diimani oleh umat Islam. Penterjemahan “God” sebagai “Allah” bukan semata-mata melibatkan pertukaran perkataan dan sebutan tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap akal dan fikiran. Persoalan ini diungkap oleh Profesor SMN al-Attas, “Bahasa membayangkan hakikat kewujudan. Menyeludup faham-faham kata kunci yang asing pada sesuatu bahasa melibatkan bukan semata-mata hanya menterjemahkan kata-kata, bahkan kesannya yang lebih mendalam ialah ia juga melibatkan penterjemahan rupa cipta perlambangan yang dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tidak bersesuaian dengan pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang diseludup faham-faham itu ke dalamnya.” Justeru apa yang cuba dilakukan oleh pihak yang bertegas mahu menggunakan kalimah suci itu bukanlah berdasarkan hak yang sah tetapi sebaliknya pendustaan terhadap hakikat sebenar. Manakala kemarahan orang Melayu terhadap tindakan pihak tersebut bukan lahir daripada perasaan melulu sebaliknya membayangkan fitrah Islam yang suci dan akal yang waras. Oleh yang demikian, pihak pemerintah dan orang Melayu berkewajipan mengambil langkah yang perlu bagi memelihara kesucian bahasa mereka agar tidak dicemari oleh unsur-unsur asing yang boleh mengelirukan pandangan hidup mereka. (Md. Asham Ahmad, Antara Nama dan Hakikat, IKIM, 2010)
Dalam kedukaan menerima hakikat kehilangan Almarhum Tuan Guru Dr Haron, timbul kontroversi berhubung kenyataan yang dikatakan dibuat oleh seorang ahli politik yang dianggap mempersenda kematian beliau lalu menimbulkan kemarahan besar umat Islam khususnya. Meskipun penafian dibuat oleh ahli politik berkenaan dengan mendakwa kenyataan yang diviralkan itu adalah daripada sumber yang meragukan dan seolah-olah berlaku manipulasi teknik tertentu, namun apa yang wajar diambil pengajaran ialah kepentingan sikap hormat-menghormati antara sesama insan, penganut agama, dan anggota kaum serta kumpulan parti politik mesti sentiasa disemarakkan. Justeru, jika kenyataan yang dibuat oleh pihak tertentu dengan jelas diberikan berasaskan sentimen kebencian dan bertujuan menimbulkan kemarahan, ia mestilah ditangani secara bijaksana dan akal yang waras. Tindakan memberikan kecaman balas yang berbaur ugutan hakikatnya tidak melambangkan kematangan dalam menangani sesuatu permasalahan. Bahkan ia bertentangan dengan semangat yang diajarkan oleh al-Qur’an, “Dan tidaklah sama (kesan dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila kamu berlaku demikian, maka orang yang menyimpan rasa permusuhan terhadapmu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat yang karib.” (Surah Fussilat 41 : 34)
Sering kali diucap bahawa harimau mati meninggalkan belang; manusia mati meninggalkan nama. Bagi ulama khususnya pula, mereka kembali ke sisi Ilahi meninggalkan khazanah ilmu yang mesti dimanfaatkan sebaik mungkin, akhlak sanjungan yang sewajarnya dicontohi, dan semangat perjuangan yang wajib diteruskan. Mudah-mudahan Almarhum Tuan Guru Dr Haron Din dikurniai Allah S.W.T. ganjaran yang besar sebagaimana dinyatakan dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasa’ie daripada `Abdullah ibn `Amru R.A. bahawa seorang lelaki kelahiran kota Madinah telah meninggal dunia di Madinah. Maka Rasulullah S.A.W. menyembahyangkan jenazahnya. Baginda kemudiannya bersabda yang bermaksud, “Alangkah baiknya jika beliau meninggal dunia bukan di tempat kelahirannya.” Sahabat-sahabat pun bertanya, “Kenapa begitu wahai Rasulullah.” Baginda lantas bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya seseorang yang meninggal dunia bukan di tempat kelahirannya, akan dihitung baginya (ganjaran pahala dengan seluas) jarak di antara tempat kelahirannya dengan tempatnya di dalam syurga.” (Ahmad, al-Nasa’ie, dan Ibn Majah).