Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kita berhadapan dengan situasi, iaitu robot, automasi dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) akan mengambil alih peranan yang sekian lama telah dimainkan oleh manusia. Hanya pada aspek-aspek kreativiti sahaja mungkin masih ada ruang untuk manusia turut terlibat aktif sedangkan dalam ruang-ruang yang boleh diprogramkan berdasarkan algorisma pengkomputeran tertentu, ia tidak lagi memerlukan tenaga manusia sebaliknya robot mula bergerak ke zaman itu.
Malaysia lambat-laun akan turut merasai kesan daripada IR 4.0 walaupun buat masa sekarang mungkin negara kita antara yang masih terkebelakang berbanding dengan negara-negara lain seperti Singapura, Finland, Sweden. Sebagaimana ledakan internet World Wide Web (www) suatu ketika dahulu, yang turut sama mengheret Malaysia bersama komuniti antarabangsa, iaitu dalam perkembangan teknologi semasa sama ada suka ataupun tidak. Ekoran daripada itu masyarakat kita mula terdedah kepada laman-laman pornografi, lucah, ganas, LGBTQ, terrorism, pengganas, dan fikrah-fikrah sesat seperti ateisme yang boleh merosakkan pemikiran dan juga mencetuskan suasana tidak sihat dan menjejaskan status quo dalam masyarakat beragama Islam di negara ini.
Kita tidak pasti apakah pula cabaran-cabaran lain yang akan mendatang dengan ledakan IR4.0 ini, bahkan selepas ini jika ada IR5.0 dan ledakan seterusnya. Lalu apakah persiapan yang sepatutnya kita miliki sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk anak-anak kita dan generasi yang akan datang?
Oleh yang demikian, ajaran Islam adalah ajaran yang sesuai sepanjang zaman. Ajaran ini adalah sangat praktikal yang tidak terikat dengan tempat mahupun masa. Walau bagaimanapun, terdapat aspek-aspek tertentu dalam Islam yang kekal (thabit) dan ada pula yang bersifat fleksibel (murunah).
Dalam mempersiapkan anak-anak mengharungi hidup ini, Islam telah menganjurkan agar sejak kecil lagi anak-anak diajarkan dengan ilmu akidah yang mantap, diberikan kesedaran tentang matlamat kejadian manusia dan tujuan hidupnya serta kesudahan perjalanan hidupnya di dunia ini. Selain itu, manusia juga perlu disedarkan bahawa penghidupan di dunia ini hanya sementara belaka, dan akhirnya manusia akan kembali menemui pencipta-Nya di alam akhirat sana yang kekal selama-lamanya. Perkara inilah yang dikatakan “memanusiakan manusia” supaya manusia tidak terpana dengan teknologi komputer dan robot sehingga lupa akan hakikat diri insan yang sebenar.
Allah SWT sudah pun mengingatkan kita semua ketika di alam roh lagi kelak kita akan lalai (ghaflah) apabila dicampakkan ke dunia dengan segala kenikmatannya, walaupun ketika di alam roh dahulu kita sudah pun bersetuju dan mengiktiraf bahawa Allah itulah tuhan kita yang maha mencipta, mentadbir alam ini yang selayaknya disembah dan diberikan segala ketaatan dan kepatuhan. Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 172 yang bermaksud:
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada Hari Kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.
Manakala anak-anak perlu sentiasa disedarkan dan diingatkan jangan lupa akan kewujudan kita di dunia ini bermula daripada kewujudan di alam roh lagi dan sudah pun berjanji dengan Allah SWT (mithāq) untuk taat kepada-Nya. Namun, kita sebagai manusia lupa dengan perjanjian tersebut dan kerana itulah Ibn Abbas RA menyebut “manusia itu dinamakan insan, kerana dia telah berjanji dengan Allah SWT, lalu dia lupa”. Kalimah “insan” berasal daripada kalimah Bahasa Arab “nasiya” yang membawa maksud lupa.
Manusia lupa perjanjiannya dengan Allah SWT di alam roh, sebagaimana juga manusia lupa akan kehidupannya selama sembilan bulan di alam rahim ibunya. Namun, itu adalah hakikat dan realiti yang sebenar berlaku, walaupun tiada manusia yang boleh mengesahkan tentang alam roh yang kita semua pernah berada di sana kerana semua kita lupa akan itu, dan andai tidak diberitahu Allah, pasti kita tidak tahu. Namun, kewujudan kita di alam rahim ibu disaksikan oleh ibu dan ayah kita sendiri dan mereka dari keluarga kita yang lahir lebih awal daripada kita walaupun kita lupa.
Kedua, anak-anak kita perlu diingatkan bahawa kita dijadikan bukan untuk berpesta dan berpoya-poya di atas muka bumi ini. Namun kita mempunyai misi dan matlamat dijadikan oleh Sang Pencipta, Allah SWT. Matlamat kita ada dua, iaitu pertama untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan mengikut segala yang diperintah-Nya dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya selama kita hidup di atas mukabumi-Nya. Hal ini dinamakan peranan sebagai “hamba” Allah. Manakala misi kedua pula ialah mengurus dan mentadbirkan alam ini sesuai dengan kehendak dan standard operasi prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh Pencipta alam ini. Perkara ini pula dinamakan “khalifah” Allah. Kedua-dua misi ini hendaklah kita sempurnakan dengan jayanya kerana nanti akan dipersoalkan oleh Allah SWT di alam akhirat setelah kita mati kelak.
Perkara ketiga yang perlu disedarkan kepada anak-anak untuk mengejar kebahagian di atas muka bumi ini ialah Allah SWT telahpun menggariskan kepada kita “manual” bahagia yang sepatutnya kita ikuti. Sebagai Pencipta, Allah SWT yang lebih mengetahui tatacara mengendalikan diri kita yang akan menjadikan kita sebahagia-bahagia manusia. Tiada yang lebih mengetahui daripada yang menjadikan kita sendiri. Lalu Allah SWT menyebut bahawa untuk bahagia, hendaklah kita ikut fitrah kejadian kita, iaitu dengan mentaati Allah SWT maka nescaya kita akan mencapai bahagia kerana itulah tabiat semulajadi kita. Sekiranya kita sedar akan tiga perkara penting yang digariskan ini, iaitu asal usul kejadian kita, misi kita di dunia dan bagaimana mencapai kebahagiaan maka nescaya apa-apa juga cabaran yang mendatang atau ledakan IR4.0 kita akan mampu menghadapinya dengan tenang dan berjaya.