Buat pertama kalinya kita baru sahaja menyambut Hari Malaysia yang disambut pada 16 September sebagai cuti umum. Pada tarikh ini, genaplah 47 tahun Sabah dan Sarawak berada di bawah naungan kerajaan Persekutuan Yang Dipertuan Agong. Sambutan Hari Malaysia bukanlah semata-mata sambutan perayaan ataupun cuti umum tetapi merupakan satu pengiktirafan kepada sumbangan besar negeri Sabah dan Sarawak khasnya dan rakyat Malaysia amnya kerana merealisasikan penubuhan Malaysia 47 tahun lalu. Oleh itu sumbangan ini wajar diperkukuhkan dengan menilai pencapaian yang diperolehi oleh kedua-dua negeri ini dalam Malaysia.
Tanah Melayu atau Malaya merdeka 6 tahun lebih awal dari Sabah dan Sarawak iaitu pada 31 Ogos 1957. Kepemimpinan negarawan seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn mengurus dan membangun Tanah Melayu pada ketika itu telah menarik minat para pemimpin tertinggi di negeri Sabah, Sarawak dan Brunei mencontohi Tanah Melayu. Pada masa yang sama Indonesia dan Filipina berminat untuk menjadikan negeri-negeri di Borneo menjadi sebahagian daripada mereka sehingga menyebabkan pengistiharan penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 terpaksa ditunda ke 16 September 1963. Maka di awal proses penubuhan Malaysia, wujudlah kompromi untuk membentuk MAPHILINDO atau Melayu Raya, tetapi hasrat ini tidak berhasil. Walaupun Brunei menarik diri di awal proses penubuhan Malaysia, manakala Singapura disingkirkan daripada menganggotai Malaysia, namun Sabah dan Sawarak tetap berdiri teguh bersama negeri-negeri Tanah Melayu merealisasikan Persekutuan Malaysia.
Sumbangan ini adalah amat besar memandangkan negara-negara jiran seperti Indonesia yang memperoleh kemerdekaan pada Ogos 17, 1945 dan Filipina pada Julai 4, 1945 telah pun merdeka lapan tahun lebih awal dari Tanah Melayu. Namun rakyat Sabah dan Sarawak melalui Suruhanjaya Cobbold pada 31 Ogos 1962 telah menyatakan pendirian mereka untuk bersama Tanah Melayu merelisiasikan Persekutuan Malaysia. Sabah dan Sarawak mahu kemajuan dikecapi bersama dalam Malaysia.
Pada tahun 2013 nanti, genaplah 50 tahun Sabah dan Sarawak dalam Malaysia. Pada tarikh tersebut pilihan raya ke-13 mungkin diadakan. Sambutan Hari Malaysia ke-50 nanti akan menjadi hangat di kedua-dua negeri kerana pihak pembangkang akan memanipulasikan beberapa isu untuk mempengaruhi rakyat di kedua-dua negeri tersebut menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan Pusat dalam isu-isu seperti peranan dan kedudukan para pemimpin politik negeri dalam arus politik perdana, pembangunan negeri berdasarkan kekayaan negeri yang menjana pendapatan negara, perpaduan kaum dan budaya politik.
Budaya politik di negeri Sabah dan Sarawak berbeza dari budaya politik di Semenanjung Malaysia. Penerimaan masyarakat Sabah dan Sarawak terhadap Barisan Nasional (BN) sungguh berbeza dari Semenanjung kerana umumnya para pengundi di Sabah dan Sarawak menerima sebulat-bulatnya parti komponen BN. Budaya politiknya masih melihat peranan parti lebih besar daripada personaliti atau karisma calon yang bertanding semasa pilihanraya. Parti-parti politik negeri yang menganggotai BN lebih cerah menarik pengundi tempatan kerana umumnya masyarakat di kedua-dua negeri ini mahu melihat BN terus membantu mengurus-tadbir kerajaan negeri. Mungkin budaya ini berkekalan kerana kepercayaan yang telah diberikan 47 tahun dulu untuk berada dalam Malaysia bersama-sama kerajaan pusat Barisan Nasional.
Oleh sebab itulah Barisan Nasional mendapat jumlah undi Parlimen terbanyak dari kedua-dua negeri ini berbanding di Semananjung Malaysia. Contohnya, pada pilihan raya ke-12, Sabah menyumbang 24 kerusi daripada 25 kerusi parlimen yang dipertandingkan manakalan Sarawak menyumbang 30 kerusi daripada 31 kerusi yang dipertandingkan. Walau bagaimanapun di bandar-bandar besar yang terdiri daripada golongan pertengahan dan terpelajar mula beralih kepada pembangkang. Keadaan ini berlaku disebabkan masyarakat yang tinggal di kawasan bandar mula berfikiran kritikal terhadap hak-hak mereka dan tanggunjawab yang wajar dilaksanakan oleh kerajaan.
Sarawak mempunyai tarikh pilihan raya negeri yang berbeza dengan negeri lain. Walaupun parti-parti komponen negeri yang membentuk kerajaan negeri Sarawak menganggotai Barisan Nasional tetapi senario politik di Sarawak tidak mengizinkan parti-parti utama Barisan Nasional di Semenanjung seperti UMNO, MCA dan MIC bertanding di Pilihan raya negeri atau bertapak di dalam ngeri tersebut. Berbeza di Sabah, UMNO dan MCA diterima bertanding di pilihanraya negeri. Perbezaan ini disebabkan oleh tahap sentimen masyarakat primbumi terhadap parti-parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia.
Di sudut hubungan integrasi di antara Semenanjung Malaysia dan Borneo juga masih tidak dapat dirasai sepenuhnya kerana masih wujud perasaan masyarakat pribumi yang mengangap orang Semenanjung sebagai asing. Ini disebabkan kurangnya integrasi kebudayaan yang berorientasikan pengalaman dan amalan dilakukan di peringkat nasional. Pertukaran pelajar ataupun program anak angkat sewaktu cuti sekolah perlu diperbanyakkan di negeri Sabah dan Sarawak untuk menggalakkan orang Semenanjung merasai kehidupan budaya masyarakat Sabah dan Sarawak. Program sebegini perlu diadakan dengan lebih kerap demi merapatkan jurang integrasi generasi muda yang ada sekarang bagi manfaat perpaduan dan integrasi nasional di masa hadapan.
Di sudut pembangunan infrastruktur pula, negeri Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan dalam banyak aspek keperluan hidup berbanding Semenanjung. Mungkin keadaan ini berlaku disebabkan keadaan muka buminya yang bergunung ganang. Masih terdapat daerah dan perkampungan tidak menikmati tenaga elektrik dan kemudahan saluran air bersih. Begitu juga prasarana pengankutan jalan kurang baik berbanding di Semenanjung. Jalanraya yang menghubungkan negeri Sabah dan Sarawak tidak sebaik seperti mana jalan-jalan yang menghubung kesemua negeri di Semenanjung Malaysia. Oleh kerana itu perkahwinan antara warga Sabah dan Sarawak jarang kendengaran kerana masalah pengangkutan darat yang menyukarkan pertemuan. Keadaan ini tidak berlaku di Semenanjung kerana masalah jauh bukanlah penghalang pasangan yang berbeza negeri untuk berkahwin, namun keadaan ini jarang berlaku di antara Sabah dan Sarawak kerana faktor kesukaran untuk ziarah-menziarahi antara kedua negeri ini melalui jalan darat.
Malaysia sungguh bertuah kerana memiliki dua sejarah kemerdekaan yang kedua-duanya diperolehi dengan persefahaman dan permuafakatan bersama. Dari satu kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 di Tanah Melayu ia berkembang menjadi dua pada 16 September 1963 untuk merealisasikan satu cita-cita yang besar iaitu bumi Malaysia yang aman dan maju di mana rakyatnya hidup sejahtera dan aman tenteram.