Ilmu pengetahuan mempunyai kuasa yang luar biasa. Jika anda menguasainya, anda akan menduduki satu taraf yang sangat mulia. Jika gagal, maka hinalah pula kedudukan anda. Umar r.a. pernah berkata, “Wahai manusia, kamu wajib menuntut ilmu. Sesungguhnya Allah memiliki selendang kemuliaan. Barang siapa mencari satu bab ilmu sahaja, nescaya Allah akan membalutnya dengan selendang kebesaran-Nya”
Kekuatan ilmu pengetahuan untuk membangunkan jati diri manusia telah lama diakui. Malah tiada sesiapa pun di dalam dunia ini yang berani menafikan kuasa ilmu itu. Jika ada, maka orang itu tidak layak dipanggil manusia. Itulah yang ditegaskan oleh Imam Ghazali dalam merakamkan pandangan Ibnul Mubarak berkaitan dengan ilmu.
Mungkin menyedari kekuatan ilmu, maka ilmu kini mempunyai tugas yang lebih mencabar dan dijadikan asas kepada pembangunan ekonomi. Maka dengan itu, di Malaysia timbullah konsep K-ekonomi.
Menurut OECD (Organisation for Economic Co-Operation and Development), K-ekonomi adalah satu ekonomi yang berasaskan kepada pengeluaran, pengagihan dan penggunaan pengetahuan dan maklumat. Di Malaysia pula, penekanan akan diberikan kepada penggunaan pengetahuan dan maklumat untuk membolehkan individu, organisasi dan negara bersaing dengan lebih efektif.
Berdasarkan definisi di atas, asas utama kepada K-ekonomi ialah ilmu pengetahuan. Ini berbeza dengan bentuk ekonomi tradisional yang mementingkan pengeluaran sebagai sumber utama ekonomi tersebut. Sebagai contohnya, dalam bidang pertanian, kekayaan diukur berdasarkan pemilikan tanah dan pengeluaran hasil pertanian. Makin banyak pemilikan tanah dan pengeluaran hasil tanaman, maka lebih kayalah seseorang.
Namun begitu, K-ekonomi maju setapak lagi bilamana kekayaan individu itu bukan sahaja dikira dengan melihat pemilikan tanah yang banyak dan hasil pengeluaran yang tinggi tetapi termasuk juga kejayaan sesorang itu untuk memperolehi dan mengaplikasi pengetahuan berkaitan bidang pertanian. Misalnya, pengetahuan perlulah digunakan sebagai satu input untuk meningkatkan aktiviti pertanian melalui penggunaan bahan pertanian yang lebih baik, kaedah penanaman yang terkini dan juga kaedah pemasaran hasil pertanian yang lebih efektif.
Pengenalan K-ekonomi ini diharapkan mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing terutamanya dalam dunia globalisasi. Usaha untuk merealisasikan K-ekonomi ditunjukkan dalam Pelan Strategik Kebangsaan yang telah siap pada September 2000. Sasaran utama pelan ini ialah mencapai K-ekonomi sepenuhnya menjelang tahun 2020. Tahap pertengahannya pula akan berlaku sekitar tahun 2010 iaitu apabila Malaysia mematuhi sepenuhnya syarat-syarat dalam World Trade Organization (WTO). Pada masa kini, Malaysia telah pun memasuki fasa pertama era K-ekonomi.
Terdapat beberapa perkara yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia sebagai bukti merealisasikan K-ekonomi. Antaranya ialah penekanan kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penubuhan sekolah bistari, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), penekanan kepada pendidikan teknikal, menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi melalui skim latihan pekerja, penerokaan angkasa lepas, bioteknologi, pembangunan perisian komputer, pembangunan reka bentuk bahan, teknologi penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.
Sebagai satu fasa baru pembangunan ekonomi di Malaysia, berbagai usaha telah dilakukan untuk mencapai K-ekonomi. Walau bagaimanapun, usaha ini mungkin akan menjadi sia-sia jika ia tidak mendapat sokongan padu dari rakyat pelbagai bangsa di Malaysia. Malahan perubahan sikap masyarakat merupakan cabaran utama dalam merealisasikan K-ekonomi. Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad pernah berkata, “Jika kita berjaya membuat perubahan sikap ini, K-ekonomi akan membuka peluang perniagaan baru seperti e-perniagaan dan bertindak sebagai pemangkin ke arah pembangunan ekonomi”
Kata-kata Perdana Menteri itu menyedarkan kita bahawa rasa cintakan ilmu di kalangan masyarakat Malaysia masih rendah. Sikap ingin mengetahui dan meneroka ilmu, inovatif dan kreatif bukanlah budaya yang dipegang dalam masyarakat kita. Walaupun rata-rata dari kita adalah beragama Islam, namun ajaran murni dalam agama ini, iaitu mencintai ilmu, tidak dijadikan satu budaya yang benar-benar meresapi diri kita. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, “tuntutlah ilmu sehingga ke negara China”. Ini membuktikan bahawa pencarian ilmu itu tiada batasan masa atau sempadan negara. Namun apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang amat berbeza sekali.
Jika budaya meneroka dan mencintai ilmu ini tidak dapat diresapi dalam masyarakat Malaysia, maka cita-cita untuk mencapai K-ekonomi akan menjadi angan-angan semata-mata. Inilah sebab kenapa dikatakan bahawa perubahan sikap masyarakat merupakan faktor yang paling kritikal dalam usaha merealisasikan K-ekonomi. Walau bagaimanapun, kerajaan Malaysia amat positif dengan usaha merealisasikan K-ekonomi. Kerajaan beranggapan bahawa jika Malaysia boleh mengubah ekonominya dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan perindustian, maka usaha untuk mencapai K-ekonomi ini bukanlah sesuatu yang mustahil.
Sikap optimistik begini harus dipuji. Memang benar bahawa budaya mencari ilmu di kalangan rakyat Malaysia masih rendah tapi perubahan ke arah itu sudah pun dapat dilihat. Ini dibuktikan dengan wujudnya saintis-saintis Malaysia yang sudahpun dikenali bukan sahaja dalam negara malahan juga di luar negara. Dari segi celik IT pula, walaupun masih rendah di kalangan rakyat namun pelbagai usaha sedang giat dilakukan untuk mencapai tahap celik IT yang memberangsangkan.
Seperti yang telah dijelaskan tadi, pengetahuan menjadi asas penting kepada K-ekonomi. Semua individu dalam negara ini digalakkan untuk mencari ilmu seterusnya menjadi seorang yang kreatif dan inovatif bagi menghasilkan sesuatu yang baru. Walau bagaimanapun terdapat sesetengah pihak yang mengutarakan kebimbangan terutamanya dari segi ilmu apakah yang baik atau tidak baik untuk pembangunan sesebuah negara?
Melalui internet, seseorang itu boleh mencapai ilmu dengan cepat dan banyak hanya dengan sekali ‘klik’. Dalam masa yang sama, kita boleh berkongsi dan menyebarkan sebarang ilmu yang kita ada dengan sesiapa sahaja tidak kira di mana kita berada. Situasi ini kadangkala menimbulkan masalah penerimaan dan penyebaran ilmu yang salah dan tidak bertepatan. Ilmu itu mungkin salah fakta, satu pembohongan, mempunyai niat yang kurang baik terhadap sesebuah negara atau seseorang individu, fitnah dan sebagainya. Jika seseorang yang menerima ilmu itu gagal mengenalpasti perkara ini dan menganggapnya benar maka akan timbullah masalah-masalah lain.
Baru-baru ini, beberapa orang individu telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) kerana menyebarkan berita palsu. Berita itu ada kaitannya dengan keselamatan negara. Kononnya, beberapa tempat strategik di ibu kota akan diserang pengganas. Siasatan polis pula mendapati bahawa berita ini palsu. Bukan itu sahaja, ia didapati boleh mencemarkan nama negara di mata antarabangsa.
Inilah yang dikatakan sebagai penyebaran ilmu yang tidak tepat sehingga boleh menjejaskan nama negara. Bukan itu sahaja ia mampu mengurangkan keyakinan pelabur dan pelancong antarabangsa untuk datang ke negara ini. Jika perkara ini berlanjutan, ekonomi negara akan menghadapi kesan yang negatif.
Confucius pernah berkata “Shall I teach you what knowledge is? When you know a thing, to hold that you know it; and when you do not know a thing, to allow that you do not know it. This is knowledge”. Ungkapan ini membawa maksud bahawa ilmu adalah kebenaran. Malah Imam Ghazali turut menegaskan bahawa ilmu tidak dapat dipisahkan dari hakikat.
Oleh itu, Ahmad Muhammad Said dalam tulisannya menegaskan bahawa “ilmu itu bukan sahaja memiliki kebenaran tetapi juga keyakinan serta kesedaran akan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan yang tertinggi sekali kepada Tuhan Maha Pencipta. Ilmu yang bermakna bukan sahaja mendatangkan erti kepada pemilik, malahan mencetuskan komitmen untuk memperjuangkan dan menegakkan kebenaran, keadilan, kemuliaan dan keluhuran”
Apa yang hendak ditegaskan di sini adalah ilmu dan kebenaran tidak dapat dipisahkan. Atas alasan ini, penyebar ilmu haruslah beretika dalam usahanya berkongsi ilmu. Ilmu yang disebarkan itu haruslah tepat dan benar bagi mengelakkan salah faham yang akhirnya boleh merugikan diri sendiri. Dalam masa yang sama, individu yang menerima ilmu haruslah sentiasa peka akan kebenaran ilmu itu. Penelitian berkali-kali amat penting bagi memastikan ketepatan dan kebenaran ilmu yang diterima.
Walau bagaimanapun, ditegaskan sekali lagi akan adab mencari dan menyebarkan ilmu juga penting. Ilmu yang ada perlu disebarkan. Nabi s.a.w. selalu menganjurkan para sahabatnya untuk menyampaikan apa yang mereka dengar supaya dimanfaatkan oleh generasi muda. Al-Quran pula menegaskan bahawa “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas dan petunjuk), setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati.” (Al-Baqarah:159)
Bukan itu sahaja, individu yang sedang mencari ilmu juga perlu peka. Janganlah terlalu cepat menerima sesuatu ilmu itu sebagai benar jika sumbernya diragui. Periksalah dahulu dan buatlah perbandingan agar kesahihan ilmu dapat dipastikan. Jika kedua-dua pihak, penyebar dan penerima ilmu, dapat menerima adab penerokaan ilmu ini, diharapkan masalah ilmu songsang, salah dan tidak benar dapat dielakkan.
Kenyataan-kenyataan di atas telah membuktikan betapa kuatnya kuasa ilmu sehinggakan pembangunan sesebuah negara boleh dianggap pincang jika kurangnya ilmu. Ilmu itu wajib dicari dan diterokai. Dalam masa yang sama ilmu yang telah diperolehi boleh diaplikasikan dan digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Inilah merupakan asas penting kepada K-ekonomi. Amat bertepatan jika dikatakan bahawa kekuatan ilmu penting dalam membangunkan negara dan masyarakatnya serta boleh membawa negara berdaya saing di peringkat antarabangsa.