Sebagai warganegara, setiap individu wajar menghormati undang-undang dan menunjukkan ketaatan kepada pemerintah dan negara.
Mereka tidak wajar menunjukkan tanda penentangan sama ada kepada pemerintah mahupun rakyat.
Tindakan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab mencampur-adukkan makanan halal dengan makanan yang tidak halal adalah satu tindakan yang mempunyai unsur sabotaj, bukan sahaja akan mencemar imej negara, atau bertujuan mencetuskan provokasi ke atas sentimen perkauman dan keagamaan, tetapi juga mampu menjejaskan kestabilan ekonomi dan akhirnya akan menggugat keamanan negara.
Keadaan ini sudah pasti akan menggagalkan usaha negara yang bercita-cita mahu menjadi pusat pengeluar utama makanan halal di rantau ini dan seterusnya akan menjejaskan kepercayaan dan keyakinan negara-negara lain yang selama ini bergantung kepada sumber makanan halal dari negara ini.
Memandangkan sumber makanan halal telah mendapat perhatian dan permintaan yang tinggi di seluruh dunia, adalah dianggarkan negara akan memperoleh pulangan sebanyak RM11.4 trilion setahun sebagai sumber pendapatan.
Sumbangan ini datang dari permintaan seramai 1.6 bilion umat Islam seluruh dunia yang ingin menikmati produk makanan halal setiap hari.
Oleh yang demikian, bagi meningkatkan sumber pendapatan dan keyakinan dunia khususnya negara-negara Islam lain terhadap keupayaan negara ini dalam mengeluarkan produk makanan halal, langkah pemantauan terhadap pematuhan sumber dan proses makanan halal perlu dikuatkuasakan secara teliti bagi mengelakkan sebarang penipuan.
Langkah ini amatlah penting kerana negara ini turut memberi kelonggaran kepada rakyat bukan Islam untuk memproses produk makanan halal atas dasar pemerintahan yang adil dari segi pembahagian kekayaan dan peluang perniagaan yang sama rata.
Satu perkara yang tidak dapat dinafikan berlaku di kalangan rakyat bukan beragama Islam adalah kebimbangan mereka terhadap Islam akibat dari kefahaman yang kurang jelas.
Dalam konteks negara ini sebagai sebuah negara Islam Hadhari atau Civilisational Islamic State, golongan bukan Islam wajar memahami bahawa penerimaan mereka terhadap pemerintahan dan ajaran Islam bukanlah bertujuan untuk mengislamkan mereka atau mengubah kepercayaan agama mereka.
Tetapi ia perlu dilihat dengan penuh kewarasan dan sikap toleransi yang tinggi bahawa penerimaan ini sebagai satu tanda ketaatan mereka kepada pemerintah dan negara yang mereka duduki sekian lama dan di mana mereka memperoleh sumber rezeki untuk menyara kehidupan mereka.
Islam Hadhari bukanlah satu perkara yang perlu ditakuti. Secara prinsipnya, ia mahu menggambarkan bahawa Islam adalah satu agama yang sentiasa membawa umat manusia menuju kemajuan dan pembangunan bagi meningkatkan kualiti kehidupan.
Kemajuan yang ingin dicapai itu boleh dikecapi oleh seluruh rakyat negara ini secara adil dan saksama, tanpa ada sebarang sekatan terhadap peluang yang ada.