Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini bakal menyaksikan lebih ramai pengundi muda layak untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka memilih pemimpin negara bagi lima tahun ke hadapan. Ini berikutan penurunan usia mengundi kepada 18 tahun dan mereka yang layak telah didaftarkan secara automatik.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), seramai 10.6 juta orang pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara akan turun mengundi dalam PRU-15 akan datang. Hampir 1.4 juta orang pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun manakala lebih 4.6 juta orang pengundi pula berusia antara 21 hingga 29 tahun. Dari segi lokasi, Terengganu dan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada November ini.
Pertambahan jumlah pengundi muda memberikan satu harapan baharu iaitu keinginan untuk melihat pembentukan satu barisan pemimpin negara yang lebih bersih, telus, mempunyai idea segar dan maju pemikirannya. Namun, meletakkan harapan sebegitu kemungkinan besar akan membawa kekecewaan akhirnya kerana peningkatan jumlah pengundi muda tidak akan memberikan apa-apa kesan baik jika mereka gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
Pemerhatian umum menunjukkan bahawa pengundi muda terutamanya yang pertama kali mengundi, mungkin berasa keliru untuk memilih wakil pemimpin masing-masing. Malah, mungkin ada sebahagiannya yang tidak menyedari bahawa mereka telah pun layak mengundi. Mungkin juga ada yang sudah berkira-kira untuk tidak mengundi kerana merasakan tiada apa-apa perubahan yang akan berlaku atau berasa leceh untuk beratur menunggu giliran mengundi dan sebagainya.
Apa yang pasti, pengundi muda perlu mempunyai pengetahuan tertentu agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dengan cemerlang. Oleh sebab golongan muda sangat arif tentang pencarian dalam talian serta media sosial, maka landasan tersebut harus digunakan sebaik mungkin untuk mencari pelbagai maklumat berkaitan pilihan raya. Mungkin ketika ini, pengundi muda telah pun dihujani pelbagai maklumat berkaitan pilihan raya misalnya maklumat tentang keperluan pilihan raya, kelayakan mengundi, tanggungjawab pengundi, cara mengundi serta parti yang bertanding dan wakil rakyatnya. Namun, adakah semua ini menjawab persoalan siapa yang patut dipilih mewakili hasrat dan harapan golongan muda?
Antara banyak perkara, persoalan “siapakah yang harus dipilih?” mungkin paling popular dan perlukan jawapan yang meyakinkan. Pengundi muda boleh sahaja bertanyakan soalan tersebut kepada golongan senior. Jawapan yang diberikan boleh menjadi panduan dalam pemilihan. Bagi anak muda Muslim, panduan memilih pemimpin dari sudut pandangan Islam juga boleh dipertimbangkan dalam kekusutan mencari kebenaran ketika ini.
Dalam pandangan hidup Islam, memilih pemimpin hendaklah berdasarkan imannya, namun ini bukanlah satu-satunya kriteria yang perlu dilihat. Menurut Dr. Rafik Issa Beekun dan Dr. Jamal Badawi dalam buku tulisan mereka yang bertajuk Leadership: An Islamic Perspective, sukar untuk benar-benar menentukan kualiti iman seseorang kerana hal ini ialah sepenuhnya urusan individu tersebut dan Allah SWT. Oleh itu, kriteria lain perlu diambil kira misalnya keterampilan dan kewibawaan tokoh pemimpin, yang meliputi kecekapan, integriti, ilmu dan pengetahuan, empati, adil, sihat tubuh badan, berani serta tegas mempertahankan agama Islam dan masyarakat yang dipimpinnya.
Selain keperibadian pemimpin, pengundi muda juga harus mengambil kira dua aspek lain dalam pemilihan wakil mereka. Pertama, orientasi isu-isu yang dibawa oleh calon pilihan raya, terutamanya isu yang melibatkan dasar awam. Pengundi muda harus berkemampuan memilih pemimpin yang memperjuangkan isu melibatkan golongan muda misalnya isu berkaitan peluang pekerjaan, gaji rendah, pendidikan berkualiti dan penglibatan golongan muda dalam pentadbiran negara. Keduanya, penilaian umum terhadap prestasi calon. Perkara kedua ini lebih kritikal bagi calon yang telah memegang jawatan dalam kerajaan. Pengundi muda seharusnya boleh menilai prestasi calon ini. Jika calon tersebut tidak pernah menjawat jawatan sekali pun, beliau masih boleh dinilai dengan melihat isu dan komitmen beliau dalam memperjuangkan isu tertentu apatah lagi isu yang berkait dengan pengundi muda. Golongan muda perlu memilih calon pilihan mereka berdasarkan panduan yang diberikan.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa komuniti sosial boleh mempengaruhi individu dalam memilih calon pemimpinnya. Komuniti sosial ini merujuk kepada kelompok manusia di sekeliling seorang individu, misalnya ibu bapa, saudara mara, para guru dan sebagainya. Dalam sebuah buku bertajuk The People’s Choice: How the Voter Makes Up His Mind in a Presidential Campaign tulisan Paul F. Lazarsfeld, Bernard Berelson, dan Hazel Gaudet menunjukkan bahawa persekitaran sosial dan budaya merupakan antara faktor penting dalam mempengaruhi tingkah laku pengundi. Kajian penyelidik-penyelidik ini menunjukkan ibu bapa boleh mempengaruhi pengundi kali pertama dalam memilih wakil pemimpin mereka dan mereka cenderung memilih calon yang dipilih oleh ibu bapa mereka. Walaupun kajian ini sudah lama dijalankan, namun hasilnya menarik untuk dikongsikan di sini. Ini kerana, pastinya ketika ini ramai pengundi muda kali pertama sudah mula bertanya dan berbincang dengan ibu bapa atau saudara dewasa tentang pemilihan calon yang sesuai. Ini ialah satu perkara yang baik. Dengarlah pandangan mereka dan terimalah jika difikirkan sesuai. Namun, walau sebanyak mana pun panduan dan nasihat yang diberi, anak-anak muda masih perlu mencari jawapan sendiri. Jangan biarkan orang lain mempengaruhi pemikiran kerana pilihan andalah yang paling penting. Pengundi muda perlu ada keyakinan diri untuk memilih kerana inilah masanya untuk mencabar minda dan kebolehan diri bagi menentukan masa hadapan negara ini.