Kini ramai yang memperkatakan tentang pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang akan bermula tahun hadapan.
Ramai yang bimbang dasar ini akan menyebabkan anak-anak mereka tidak dapat menguasai kedua-dua subjek tersebut hanya kerana anak-anak mereka tidak menguasai bahasa Inggeris.
Sebenarnya, kejayaan atau kegagalan pelajar menguasai sesuatu subjek bukan hanya terletak pada kemahiran mereka menguasai bahasa pengantarnya. Apa yang tidak kurang pentingnya ialah minat mereka terhadap subjek tersebut. Tanpa minat, subjek itu tidak akan didalami walaupun ia diajar dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, dengan minat, subjek itu akan didalami walau apa pun rintangannya.
Sehubungan dengan hal ini, sementara pihak sekolah (dan kita) cuba meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak, kita juga perlu memainkan peranan untuk menanamkan rasa cinta dan minat terhadap sains di kalangan mereka.
Sebenarnya, ibu bapa tidak perlu menjadi ahli sains untuk mencapai matlamat ini. Jika kita tahu maksud sains yang sebenarnya, kita akan mendapati bahawa tugas ini adalah sesuatu yang mudah. Dalam kata-kata yang mudah, sains adalah cara kita memerhati dan berfikir tentang alam dan menyampaikan pemikiran itu kepada orang lain. Andai sahaja kita dapat melatih anak-anak melakukan ketiga-tiga perkara ini, kita telah menanamkan asas-asas sains dalam diri mereka. Dengan asas-asas ini, mereka akan lebih mudah memahami sains dan ini akan menarik minat mereka terhadap subjek tersebut.
Menurut Peter Rillero, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak berminat terhadap sains apabila mereka diberi peluang untuk bereksperimen dengan sains. Jadi, anak-anak perlu digalakkan untuk memikirkan tentang alam di sekeliling mereka dan berinteraksi dengannya. Pengalaman konkrit yang melibatkan pancaindera mereka seperti menanam benih dan melihatnya bercambah dan tumbuh, memberikan kerangka yang kuat untuk pemikiran abstrak di kemudian hari.
Kemahiran-kemahiran empirikal seperti memerhati, mengukur, mengkategorikan, meramalkan, mengawal pembolehubah, menterjemah data, membuat kesimpulan, menyampaikan dan menghasilkan model adalah kemahiran-kemahiran penting dalam proses sains. Ia bukan sahaja penting bagi kerjaya dalam sains, tetapi juga untuk semua jenis kerjaya dan untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita.
Masa terbaik untuk memberi pendidikan sains kepada anak-anak ialah ketika mereka berasa ingin tahu tentang persekitaran mereka. Pengalaman-pengalaman yang menggunakan deria seperti merasa, mendengar, menyentuh, melihat dan menghidu, dapat membantu kanak-kanak untuk menjadi lebih observant (teliti dalam pemerhatian) dan curious (rasa ingin tahu).
Dikatakan sains bermula bagi kanak-kanak bila mereka menyedari bahawa mereka boleh belajar tentang alam mereka melalui perbuatan mereka sendiri seperti meniup buih sabun boleh menghasilkan belon, menambah sekeping lagi blok menyebabkan struktur itu runtuh dan seumpamanya. Untuk itu, cara terbaik untuk mereka belajar sains ialah dengan bereksperimen dengan sains. Pengalaman yang mereka peroleh sendiri dan perbualan mengenai apa yang berlaku, dapat membangunkan kemahiran sains di kalangan mereka.
Oleh itu, antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa ialah pertama, perkenalkan anak-anak kepada persekitaran yang memberi stimulasi seperti laut, pantai, paya, taman, lapangan terbang, malah dapur, bilik mandi atau halaman rumah dan berikan mereka peluang untuk memerhati dan berbincang tentang sains. Apabila membawa mereka ke tempat-tempat ini, ambil masa untuk memerhatikan persekitaran – bangunan, tumbuhan, haiwan, warna – dan berbuallah tentang apa yang anda lihat.
Kedua, tunjukkan minat kepada minat sains anak-anak anda. Kenal pasti minat anak-anak anda dalam sains dan galakkan mereka. Jika mereka sukakan dinosour, baca buku dinosour, bincang tentang dinosour, bina dinosour dari tanah liat dan lawat muzium yang ada mempamerkan model atau fosil dinosour. Ini akan menambahkan minat mereka.
Ketiga, gunakan peluang untuk mengajar sains dengan sebaik-baiknya. Peluang yang baik bukannya mengajar bila kita ingin mengajar tetapi mengajar bila anak ingin belajar. Bila anak anda melihat bunga raya yang cantik dan bertanya tentangnya, gunakan masa ini untuk menambahkan pengetahuannya tentang bunga tersebut. Ini boleh diikuti dengan usaha menanam bunga itu di sekitar rumah dan perhatikan bagaimana ia tumbuh. Dalam kata-kata lain, gunakan masa anak bertanya tentang sains untuk mengajar mereka tentang sains.
Keempat beri peluang untuk mereka bereksperimen. Pengalaman yang mereka peroleh sendiri adalah cara terbaik untuk belajar dan ini juga boleh membuatkan mereka berminat tentang sains. Tidak perlu memberikan mereka radas-radas seperti yang ada dalam sebuah makmal sains. Memadai dengan bereksperimen dengan persekitaran mereka.
Akhirnya, peruntukkan masa untuk berbincang. Berbincang sebenarnya merupakan satu aktiviti yang amat berpengaruh untuk membuat anak-anak berfikir dan memfokuskan idea mereka. Galakkan anak-anak bercakap ketika makan atau semasa bersiar-siar atau semasa melakukan sesuatu aktiviti. Melalui perbincangan, kanak-kanak dipaksa untuk membina pemikiran, membentuk konsep-konsep dan menilai saling perkaitan antara idea. Ukuran terhadap perbincangan yang baik bukannya berapa banyak orang dewasa menjelaskan sesuatu kepada kanak-kanak tetapi berapa banyak kanak-kanak itu digalakkan untuk berfikir.
Membantu anak anda mendapatkan kemahiran empirikal ini akan menambahkan kejayaan mereka dalam sains. Tetapi bukan itu sahaja matlamat kita. Sebenarnya ini juga dituntut oleh Islam. Di dalam al-Quran, banyak ayat yang menyuruh kita memerhatikan kejadian Tuhan, yang menyuruh kita berfikir dan seumpamanya. Sebagai contoh dalam ayat 46 surah Al-Hajj, Allah berfirman yang bermaksud, Apakah mereka (manusia itu) tidak mengembara di atas muka bumi ini, supaya mereka dapat mempunyai hati yang dapat mereka gunakan untuk meningkatkan daya pemikiran mereka ataupun supaya mereka mempunyai telinga yang dapat mereka gunakan untuk mendengar segala sesuatu yang ada. Perintah-perintah ini sebenarnya – seperti yang terbukti dalam kajian – merupakan asas kepada kemahiran empirikal yang boleh membuatkan kita bukan sahaja berjaya dalam sains tetapi juga menggunakannya dalam kehidupan kita.