Era pascamodenisme merupakan era lambakan maklumat dan pelbagai informasi. Jika dalam era sebelum ini ilmu atau sebarang maklumat hanya boleh diperoleh melalui sumber yang terhad, tetapi pada hari ini, begitu banyak maklumat yang hanya berada di hujung jari. Walau bagaimanapun, maklumat yang terlambak di hadapan kita belum pasti benar dan boleh memberi sumbangan kepada pembinaan pemikiran. Dan yang lebih malang lagi jika maklumat yang dihidangkan memberi kesan yang negatif kepada pemikiran dan kefahaman terhadap agama Islam.
Pada hari ini, antara medium yang menawarkan maklumat ialah blog yang antara tujuannya supaya ia dilawati dan pelawat dapat menikmati karya serta idea blogger selain ia menjana pendapatan tambahan blogger. Respons yang diterima merupakan penanda bahawa tujuan tersebut telah tercapai. Dalam membina satu-satu blog juga, tidak ada sebarang syarat atau kelulusan minimum dalam bidang tertentu; asal sahaja individu berkenaan mempunyai kemahiran untuk menulis dan menterjemah pandangan serta apa yang dirasainya, maka satu-satu blog boleh dihasilkan.
Apabila kebebasan sebegini wujud dalam dunia internet, maka sesiapa sahaja boleh bercakap tentang agama menurut firasat dan pandangan masing-masing. Dunia berinternet bukannya telah lama wujud dalam kehidupan masyarakat manusia, tetapi idea-idea yang melampaui dan mengejutkan sudah menjadi suatu fenomena yang tidak lagi mengejutkan hati dan akal budi kita.
Memang menyedihkan apabila wujudnya segelintir blogger yang amat berjaya menerjah pemikiran harmoni masyarakat Islam di Malaysia dengan memperlihatkan “kepakaran” mereka mentafsir ayat-ayat suci al-Quran tanpa disiplin ilmu yang betul. Atau memberi ulasan berhubung alam akhirat dan syurga menurut persepsinya sendiri. Ternyata, pemikiran blogger yang kritis ini sangat mencabar minda dan emosi sesetengah pembaca, menyebabkan sesetengah pelawat menjadi terkedu buat beberapa ketika tetapi kemudiannya berasa amat marah dengan idea yang dipersembahkan. Lantas, kita berharap blogger sebegini tidak perlu wujud dalam dunia maya.
Memanglah tidak dinafikan bahawa negara ini mempunyai undang-undang yang memberi amaran supaya idea-idea yang melampau tidak dipersembahkan menjadi tatapan awam. Namun apabila melihat realiti yang berada di hujung jari kita, ternyata amaran undang-undang dan Perlembagaan yang bersifat luhur tidak berupaya untuk menimbulkan rasa takut atau hormat sesetengah individu terhadap kedaulatannya. Ibarat mulut “laser” yang tidak berlesen, sesetengahnya begitu ghairah menyusun idea yang bertentangan dengan idea perdana masyarakat Islam di Malaysia. Pembaca yang terkesan dan merasakan ketidakwajaran idea-idea terlampau wujud dalam internet umat Islam di Malaysia menyuarakan hasrat supaya pihak-pihak berwajib melakukan tindakan segera. Undang-undang memang boleh dikuatkuasakan apabila ada aduan tetapi, disebabkan wujudnya kelompangan pada undang-undang, maka mereka bermaharajalela mengambil kesempatan terhadap kelemahan yang ada.
Memang benar bahawa tujuan undang-undang digubal adalah untuk mengurus permasalahan masyarakat termasuklah dari sudut akidah umat Islam. Dan kita juga harus faham bahawa untuk menguruskan permasalahan akidah umat Islam yang tercabar, bukan dengan pendekatan undang-undang semata-mata. Di sinilah hikmah atau kebijaksanaan perlu ada bagi menyelesaikan permasalahan seumpama ini dan boleh memberi kemenangan kepada agama. Jika selain pendekatan undang-undang boleh menenteramkan keadaan dan mengembalikan keharmonian tentunya ia lebih baik. Sebagaimana seruan Allah SWT dalam ayat 25 Surah an-Nahl, yang menjelaskan bahawa penyampaian maklumat tentang hakikat agama perlu dengan cara yang penuh bijaksana, nasihat-nasihat yang berkualiti dan berdialog dengan cara yang baik.
Memang sifat Allah SWT amat perkasa dan Dialah penguasa pada hari akhirat kelak yang memberi keputusan kepada setiap tingkah laku dan tindakan hamba-hamba-Nya. Walau bagaimanapun, sifat kasih dan penyayang terhadap makhluk-Nya mendahului sifat dan cara yang lebih keras dan menghukum.
Walaupun tidak dinafikan ilmu agama yang mendalam amat diperlukan ketika berdialog dengan blogger yang ekstrem, pendekatan yang bijaksana amat penting ketika berhadapan dengan blogger sebegini. Analitis dan berhati-hati merupakan sebahagian daripada kebijaksanaan. Bukan sekadar melihat terjahan ekspresi idea secara zahir yang disertai respons yang bersifat ofensif dan ancaman. Sebaliknya membaca dan meneliti terlebih dahulu bagaimana blogger ini berfikir dan menyampaikan idea. Menyertai mereka dengan jalan yang sama lebih memudahkan bagi pembinaan komunikasi bersama mereka dan seterusnya memurnikan semula idea yang kacau.
Menjernihkan kembali pemikiran yang terganggu dan membawa mereka pulang semula ke arus pemikiran masyarakat Islam perdana adalah matlamat dakwah dan cara ini tentunya lebih harmoni. Sebaliknya jika kita mengecam, mengutuk dan memberi ancaman kepada golongan sebegini ia hanya akan menjarakkan lagi hubungan sesama saudara seislam. Dialog yang berhikmah mungkin tidak memerlukan dalil-dalil yang banyak, berlapis-lapis dan pelbagai tetapi hujah-hujah logik yang tetap efektif. Secara tidak langsung ia turut dibaca oleh pelawat lain yang akan turut sama mendapat manfaatnya sebagai seni dakwah.
Tugas ini bukan tugas golongan pendakwah, orang agama atau pihak tertentu semata-mata tetapi setiap mereka yang mencintai agamanya. Pengalaman seorang jurutera tanpa latar belakang pendidikan agama yang tinggi tetapi berjaya menggagalkan hasrat beberapa individu Islam yang cuba bertukar agama harus menjadi pengajaran kepada kita semua bahawa, apa sahaja kelebihan yang dimiliki dan boleh menyumbang kepada keharmonian pemikiran beragama, harus dimanfaatkan dan dikongsi demi kesejahteraan umat Islam.
Imam Hassan al-Basri sentiasa berdakwah dan mengajak manusia kepada kebenaran bukan kerana merasakan iman yang telah sempurna tetapi kerana keinsafan, bahawa kebenaran sentiasa harus diperjuangkan.