Hari ini kewujudan jurang pendapatan yang besar dan tidak seimbang terutamanya antara kumpulan isi rumah 20% berpendapatan tinggi dengan kumpulan isi rumah 40% kumpulan berpendapatan terendah telah menyebabkan kerajaan mempertimbangkan menangani kos sara hidup sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada tahun lalu. Bermatlamatkan sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, unjuran pendapatan isi rumah di Malaysia harus meliputi semua peringkat masyarakat dan tidak tertumpu kepada satu-satu kumpulan sahaja. Pekali Gini yang tidak berubah pada tahun 2007 dan 2009 menunjukkan tiada penambahbaikan berlaku kepada tahap jurang di antara yang kaya dan miskin walaupun kita menyedari bahawa terdapat usaha ke arah memperbaiki masalah tersebut.
Disebalik matlamat ekonomi yang ingin dicapai sebagai sebuah negara maju menjelang 2020, menangani kos sara hidup merupakan satu tugas yang mencabar kerana keadaan ekonomi Malaysia yang terbuka maka potensi untuk mendapat kesan langsung akibat krisis yang berlaku di negara lain adalah tinggi. Kesan langsung daripada keadaan tersebut boleh menyebabkan peningkatan harga barang dan perkhidmatan dalam masa yang singkat. Hal ini tidak dapat ditampung oleh sebahagian besar rakyat yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.
Sememangnya untuk menangani kos sara hidup secara mutlak adalah satu perkara yang sukar dicapai kerana keadaan ekonomi yang ada pasang surutnya. Namun, kita boleh mengawal situasi kos sara hidup ini agar kesannya menjadi minimum. Peningkatan kos sara hidup bukanlah hanya sekadar berkisar mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan semata-mata. Tetapi ia juga adalah persoalan sosial yang perlu di ambil kira di mana ia meliputi aspek kekeluargaan dan kemasyarakatan. Pembangunan sebagai sebuah negara maju tidak hanya melihat pertumbuhan ekonomi sebagai aspek tunggal, tetapi juga melihat kepada pembangunan masyarakat sebagai unsur kolektif demi mencapai kesejahteraan hidup.
Kesukaran mencukupkan pendapatan tidak hanya meneyebabkan kita tidak dapat menikmati barangan dan perkhidmatan yang diingini tetapi ia memberi kesan langsung kepada institusi keluarga termasuklah aspek pemakanan dan persekolahan anak-anak. Sekurang-kurangnya dengan bantuan baucer pembelian buku untuk para pelajar juga kewujudan kedai yang menjual barangan runcit dengan harga yang berpatutan hasil daripada program transformasi yang dijalankan membantu isi rumah terutama pihak ibu bapa menyempurnakan keperluan keluarga.
Perubahan yang berlaku ini harus disusuli dengan sikap yang lebih matang oleh semua lapisan masyarakat. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh menanti apakah lagi kesenangan yang bakal dinikmati sebaliknya perlu mengambil langkah proaktif seperti mengurus cara hidup dengan pendapatan yang diterima setiap bulan bagi memastikan kelangsungan kita hingga ke bulan berikutnya. Sikap mengikut tren terkini tidak membantu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat terutama sekali bagi mereka yang berada dalam kumpulan isi rumah 40% terendah. Sebagai contoh, graduan yang baru memulakan pekerjaan dan mendapat gaji di bawah kumpulan ini sering terdorong untuk memiliki gajet yang canggih juga kenderaan sendiri walaupun pada hakikatnya mereka tidak mampu membayar ansuran bulanan yang tinggi.
Sesunggunya kos sara hidup bukanlah semata-mata mengenai peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ataupun bagaimana untuk meningkatkan pendapatan sedia ada. Ia juga sebenarnya adalah persoalan mengenai pengurusan pendapatan yang diterima pada setiap bulan. Kesungguhan untuk beristiqamah dalam mengendali pendapatan sangat mencabar dan bukan semua orang mampu melakukankannya. Kejayaan mengurus wang hingga sampai pada sebulan yang seterusnya menjadikan seseorang itu lebih gembira dan berlapang dada dalam meniti hari-hari yang mendatang. Berbanding mereka yang gagal memastikan kecukupan pendapatan ramai yang dihurungi keluh kesah dan duka menanti tiba bulan seterusnya.
Sesungguhnya kita mengharapkan agar ada kesedaran yang timbul dalam masyarakat untuk lebih memahami apa yang sedang berlaku dalam persekitaran ekonomi semasa dan mengambil tindakan sewajarnya juga apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan kita bergerak seiring dengan perubahan tersebut. Adanya sokongan masyarakat untuk terdorong mengubah taraf hidup begitu juga usaha menambahbaik jurang pendapatan dan menangani kos sara hidup memungkinkan kita untuk mencapai sasaran negara maju 2020 dalam erti kata yang sebenar-benarnya iaitu maju dalam pembangunan ekonomi, masyarakat dan sosial.