Sebelum kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah Turki, umat Islam adalah umat yang perkasa dan dominan berbanding umat dan bangsa lain di dunia. Bukan sahaja daripada segi siasah dan pemerintahan, malah dari segi penyelidikan dan pembangunan sains. Dan kekuatan dari segi pemerintahan menjadikan hasil-hasil penyelidikan daripada cendikiawan Islam termasuklah dalam bidang kemasyarakatan seperti karya-karya Ibn Khaldun, dapat dinikmati bukan sahaja umat Islam, malah semua bangsa yang berusaha dan bercita-cita membina peradaban tersendiri.
Pada hari ini, sejak kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924 walaupun kita tidak menafikan bahawa terdapatnya orang-orang Islam yang memiliki bakat luar biasa, tetapi umat Islam sudah kehilangan taring dan bisanya. Sebaliknya, bangsa-bangsa bukan Islam telah menjadi gergasi dunia dalam soal pembangunan material dan fizikal.
Kita mengakui keadaan ini, iaitu umat Islam sudah tidak punya negara yang digeruni kuasanya ataupun badan bertaraf dunia yang berkesan sifatnya dan diterima suaranya. Malah, menurut Dr Omar Jah Jr dalam kertas kerjanya bertajuk, Islamic Universalism: The Muslim Solution in the age of Postmodern Globalism, tidak ada satu pun negara Islam yang menganggotai Pertubuhan Persidangan Islam atau OIC dengan jumlah yang menghampiri 50 buah negara, yang boleh dianggap sebagai sebuah negara yang benar-benar maju. Sekalipun negara-negara Islam memiliki kekayaan khazanah atau sumber semula jadi akan tetapi ironinya negara-negara inilah yang mewakili negara-negara termiskin di dunia.
Dr Amer al-Roubaie menerusi buku beliau bertajuk, Globalization and the Muslim World, menyatakan bahawa sekitar tahun 2000, purata pendapatan setiap individu Muslim lebih kurang US$1015 dan jumlah ini hanyalah satu perlima daripada pendapatan purata dunia. Di antara tahun 1990 dan 2000, pendapatan dunia bertambah sebanyak 45% sedangkan pada masa yang sama, dunia Islam hanya mengalami pertumbuhan kurang daripada setengah pertumbuhan dunia, iaitu 20-22% sahaja. Maka dari sudut ekonomi kebuluran, kejahilan dan ketidakseimbangan semacam sudah menjadi kata sama atau pengenalan kepada bangsa atau umat Islam.
Sudahlah kedudukan dari segi ekonomi tidak memberangsangkan, umat Islam turut mengalami kemelut ‘identiti dan misi’ (risalah). Kita telah digambarkan secara salah oleh media barat yang sangat berpengaruh sifatnya dalam dunia antarabangsa. Kesannya, kita sebagai umat Islam hilang keyakinan dan harga diri dan seterusnya ia menambahkan lagi kelemahan umat Islam dalam pelbagai aspek hidup. Kemelut tersebut turut mengakibatkan umat Islam tidak boleh duduk berunding semeja dan berdialog dengan asas pemikiran dan aliran yang berbeza secara harmoni. Sungguh malang kerana kita telah menghilangkan adab perbezaan pendapat (adab al-ikhtilaf) seperti pegangan, “Pada saya pendapat saya benar, tetapi boleh jadi juga silap dan pendapat lawan (saing) saya itu adalah salah, tetapi ia boleh jadi benar”, sedangkan ia warisan daripada umat Islam dahulu dan warisan tersebut sangat berkesan untuk menjaga silaturrahim dan penyatuan umat Islam jika ia terus menjadi tradisi dan diamalkan.
Selain dua perkara mengenai kedaifan umat Islam, kita tentunya mengakui bahawa terdapat perkara-perkara lain yang menyebabkan umat Islam adalah bangsa yang terpinggir, dipinggir dan lebih malang lagi menjadi bangsa yang dipilih untuk dianiaya dan dizalimi oleh kuasa besar yang kaya, rakus dan zalim.
Walaupun demikian sekurang-kurangnya kita dapat mengesan sebahagian daripada punca mengapa suara kita tidak diterima apabila satu-satu keputusan bersifat global perlu dibuat.
Sebagaimana yang diucapkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan, umat Islam harus menguasai sebahagian besar ilmu dunia. Ilmu-ilmu ini tentunya berperanan sebagai alat pembangunan bangsa. Untuk terus memastikan kelangsungan peradaban bangsa supaya terus terpelihara tentunya ia memerlukan teras rohani yang ampuh dan kukuh. Dengan penguasaan ilmu dunia dan akhirat kita akan memiliki kedua-duanya.
Walaupun sesetengah daripada kita lebih selesa untuk memilih kehidupan yang serba sederhana, tetapi hakikat pada hari ini mendesak kita untuk menjadi bangsa dan umat yang kaya. Dan bukan sekadar itu malah bijak dan berkuasa. Kekayaan yang kita miliki pun sekiranya ia berjaya diperalatkan oleh orang lain, ia tidak akan memberi makna apa-apa kepada kita malah kerugian dan sebaliknya memberi keuntungan kepada mereka. Sejarah telah membuktikan bagaimana Semenanjung Tanah Melayu yang kaya dengan hasil bumi seperti balak, timah dan getah diceroboh dan dirompak oleh pihak penjajah. Di sini kita dapat melihat bahawa kuasa telah menewaskan kekayaan.
Kuasa media juga adalah satu perkara yang sangat penting dalam usaha membersihkan semula pengenalan umat Islam yang telah berdekad-dekad dicemari. Globalisasi sebenarnya adalah ruang yang baik untuk direbut dalam usaha ini. Melalui media, kita harus menyerang semula (counter attack) serangan yang dilakukan terhadap umat Islam. Memang sangat sedih bila kita mengetahui saudara-saudara kita di sebelah Mauritania ke Yaman yang menjalani kehidupan tradisional disogokkan dengan hiburan-hiburan porno melalui satelit. Walaupun hukum Islam itu jelas tetapi sangat nyata di sini bahawa hukum Islam itu boleh dicampak begitu sahaja disebabkan tarikan yang sangat kuat yang dimainkan oleh pihak mereka. Mendepani fenomena ini, kita harus menyediakan produk gantian yang menjelaskan tentang keindahan Islam, kebaikan sifat Islam yang diamali oleh masyarakat Islam dan negara-negara Islam yang miskin tetapi berjiwa besar dan selalu disalah erti.