Semakin hari semakin nyata bahawa kita sedang berhadapan dengan satu kehilangan besar — kehilangan daya rasa terhadap keindahan dan kebijaksanaan peradaban sendiri.
Di sekolah dan institusi pengajian, anak-anak kita diajar tentang Islam melalui deretan fakta dan nama-nama besar yang dihafal, namun tanpa makna yang dihayati. Ilmu disampaikan tanpa jiwa, sejarah diajar tanpa rasa kagum.
Maka jadilah pendidikan kita kering daripada makna dan kehilangan daya untuk menyalakan imaginasi kearah sesuatu yang lebih luhur.
Pada masa yang sama, dunia di luar sekolah tidak pernah berhenti mendidik. Media, animasi, permainan video dan segala bentuk hiburan digital sedang membentuk kesedaran, imaginasi, persepsi, dan fikiran baharu – yang secara halus memutuskan manusia dari tahap yang lebih luhur.
Di sinilah manusia hari ini belajar tentang kebenaran, keindahan dan makna hidup — bukan daripada khazanah ilmu, tetapi daripada wawasan dan naratif yang asing daripada hakikat Peradaban Islam yang sepatutnya menjadi jalan keluar untuk seluruh cabaran manusia masakini.
Maka, tidak hairan jika ramai orang dewasa kini tidak berupaya untuk menangkap imaginasi generasi yang lebih muda ataupun anak-anak sendiri.
Peradaban Islam bukanlah peristiwa sejarah yang mati, tetapi satu realiti hidup yang mengalir dalam pengalaman umat.
Profesor Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah menjelaskan bahawa Peradaban Islam lahir daripada penyerapan unsur-unsur agama sebagai ad-din yang menzahirkan akal budi, seni dan adab yang halus.
Ia adalah peradaban yang menyatukan ilmu dengan iman, akal dengan perasaan, dan rohani dengan jasmani.
Namun, apabila Islam diajar hanya sebagai subjek, bukan sebagai makna kehidupan, kita gagal menghadirkan keindahan yang membentuk jiwa.
Kita memperkatakan tentang Baghdad, Andalusia dan para ilmuwan silam, tetapi gagal menzahirkan semangat keilmuan dan keindahan yang menjadikan mereka rujukan kepada peradaban-peradaban lain.
Maka, yang tinggal hanyalah pengetahuan tanpa jiwa; nama tanpa makna; sejarah tanpa hikmah.
Apabila peradaban Islam tidak lagi dirasai sebagai keindahan, ia perlahan-lahan hilang dari kesedaran. Dan ketika itu, imaginasi umat akan berpaling mencari makna di tempat lain — pada animasi, mitologi moden, dan permainan digital yang menawarkan dunia tanpa Tuhan.
Salah satu cara menghidupkan semula hubungan kita dengan keindahan Islam ialah dengan menelusuri warisan yang pernah melahirkan peradaban itu.
Manuskrip Uyghur yang tersimpan di Kutubkhanah IKIM, misalnya, adalah antara saksi bagaimana Islam telah melahirkan budaya ilmu yang tinggi dan berakar dalam pelbagai bahasa serta bangsa.
Terjemahan Tazkirat al-Awliya karya Farid al-Din Attar ke dalam bahasa Turkik di bawah naungan Amir Ali Shir Nava’i pada abad ke-15 bukanlah sekadar kerja penterjemahan. Ia merupakan usaha membina semula jati diri rohani masyarakat Asia Tengah.
Nava’i sedar bahawa keindahan dan kebijaksanaan Islam mesti diungkap dalam bahasa yang dekat dengan hati umatnya.
Dengan menterjemahkan karya sufi itu, beliau bukan sahaja menyebarkan ilmu, tetapi menyalakan semula imaginasi — mengajak manusia menelusuri kehidupan para wali yang menjadikan cinta dan kerendahan hati sebagai jalan menuju Tuhan.
Beliau percaya bahawa kata-kata para wali mempunyai kekuatan yang menundukkan ego dan membangkitkan cita-cita insan, kerana ia datang daripada hati yang telah diluhurkan.
Inilah kekuatan yang kita perlukan semula hari ini: kekuatan yang lahir daripada keindahan makna; serta kekuatan yang membina semangat manusia melalui daya khayali atau imaginasi.
Kita sering menumpukan perhatian kepada pendidikan kanak-kanak, sedangkan generasi dewasa kini juga sedang kehilangan orientasi makna. Maka, tugas besar zaman ini bukan sekadar mendidik anak-anak, tetapi mendidik semula orang dewasa.
Mereka yang membesar dalam dunia maklumat perlu dibimbing untuk kembali melihat makna di sebalik maklumat; untuk merasa kagum terhadap keindahan Islam sebagaimana orang dahulu merasa takjub ketika membaca syair sufi, melihat kaligrafi, atau menatap seni bina yang memancarkan keagungan Peradaban Islam.
Apabila orang dewasa sendiri kembali terpesona dengan keindahan Islam, barulah mereka mampu menjadi jambatan makna kepada generasi seterusnya. Mereka tidak lagi akan mendidik sekadar dengan kata, tetapi dengan hakikat ruhani diri dan pengalaman yang hidup.
Dalam usaha menawan kembali imaginasi umat, kita juga perlu mengajak mereka yang menggerakkan dunia makna hari ini — para pempengaruh, pengamal media massa, penulis, pemuzik, penerbit filem dan pencipta kandungan digital — untuk sama-sama menyertai perjuangan ini.
Mereka bukan sekadar penyampai hiburan, tetapi pembentuk jiwa masyarakat. Jika dahulu para penyair dan penulis menjadi pendakwah yang menyalakan rasa cinta kepada Tuhan melalui keindahan bahasa, maka hari ini para pengamal media memiliki peranan yang sama — hanya medan dan alatnya berubah.
Mereka perlu sedar bahawa setiap karya, setiap lagu, setiap visual dan setiap naratif yang dihasilkan berpotensi menanam makna atau mengelirukannya. Dalam dunia yang dibanjiri citra dan bunyi, tanggungjawab moral dan intelektual mereka menjadi semakin besar. Sudah tiba masanya media yang dipelopori oleh kaum Muslimin bukan sekadar menjadi wadah dakwah, tetapi medan penghidupan semula imaginasi dan estetika peradaban Islam — yang memuliakan ilmu, mengangkat keindahan, dan menyuburkan jiwa.
Untuk menang dalam medan pertempuran imaginasi dan makna (battle of imagination and meaning) hari ini, umat Islam perlu kembali menampilkan peradaban mereka sebagai sumber imaginasi dan inspirasi.
Sekolah boleh mengajar fakta, tetapi hanya keindahan yang dihidupkan melalui makna mampu membentuk manusia.
Peradaban Islam tidak berkembang melalui paksaan, tetapi melalui keindahan yang menangkap imaginasi — keindahan ilmu, bahasa, seni dan akhlak. Selagi keindahan itu tidak dihidupkan dalam kesedaran orang dewasa, selagi itulah generasi muda akan terus mencari makna di tempat yang salah.
Islam bukan sahaja agama yang memberi kebenaran hakiki (al-haqq), tetapi ia juga memberi keindahan. Dan tugas kita hari ini ialah menjadikan keindahan itu hidup semula — bukan dalam muzium, tetapi dalam hati dan imaginasi manusia.

