Bidang perubatan ialah bidang yang penting dari sudut pandang Islam. Kepentingan ini dapat dilihat apabila Imam Syafi‘i menukilkan kata-kata berikut: “Ilmu itu ada dua: Ilmu agama iaitu ilmu fiqh dan ilmu dunia iaitu ilmu perubatan.”
Dari semasa ke semasa akan timbul isu-isu berkaitan perubatan yang mendapat perhatian daripada ahli masyarakat kerana persoalan yang timbul dari sudut agama khususnya aspek hukum-hakam. Perkara ini termasuklah isu vaksin COVID-19 yang hangat diperkatakan semenjak akhir tahun 2020.
Apabila beberapa vaksin berjaya dihasilkan menjelang akhir tahun 2020, satu sinar baharu mula kelihatan untuk membendung penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Perkembangan perubatan ini membawa kepada banyak persoalan dalam kalangan masyarakat. Antaranya membabitkan isu keselamatan dan hukum agama tentang penggunaan vaksin.
Dalam mendepani keraguan terhadap vaksin, perlu disedari bahawa pembangunan vaksin ialah perkara yang melibatkan sains dan teknologi perubatan manakala proses vaksinasi merupakan satu fenomena sosial. Hal ini bermakna ahli masyarakat perlu diberikan keyakinan bahawa proses vaksinasi dijalankan adalah demi keselamatan dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhan.
Keyakinan ini boleh diberikan dengan beberapa cara. Mengambil pendekatan yang disebutkan menerusi al-Quran, iaitu daripada ayat 125 Surah al-Nahl yang membawa maksud, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Ayat ini menerangkan tiga pendekatan yang boleh digunakan dalam penyampaian dakwah Islam kepada masyarakat iaitu dengan hikmah kebijaksanaan, menerusi nasihat pengajaran yang baik, dan berbahas dengan golongan yang menentang dengan cara yang sebaik-baiknya. Tiga pendekatan ini juga boleh diguna pakai dalam menangani isu vaksin.
Kaedah pertama ialah penyampaian maklumat tepat dan betul berkenaan vaksin kepada masyarakat dengan cara yang bijaksana. Perkara ini boleh dilakukan melalui sesi penerangan kepada masyarakat menggunakan pelbagai saluran dan medium yang ada seperti media cetak, media elektronik dan media sosial secara yang kreatif.
Inisiatif ini sememangnya berjalan secara berterusan dan melibatkan pelbagai pihak berwajib baik dari latar belakang perubatan, kesihatan awam, sains mahupun agama. Advokasi yang dilakukan boleh memberikan maklumat-maklumat yang diperlukan oleh masyarakat dan pada waktu yang sama, menyangkal maklumat-maklumat salah yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kaedah kedua adalah dengan nasihat pengajaran yang baik bagi memberikan keyakinan kepada masyarakat berkenaan keberkesanan dan keselamatan vaksin. Mengambil satu contoh, pada abad ke-19, vaksin cacar dibawa masuk ke Baghdad. Bagaimanapun, masyarakat Baghdad pada waktu itu menolak penggunaan vaksin tersebut atas pelbagai alasan termasuk alasan agama.
Bagaimanapun, tindakan Mufti Baghdad dan juga enam orang anak serta cucunya yang bersetuju untuk divaksinkan dalam satu majlis awam telah memberi keyakinan kepada masyarakat keseluruhan di Baghdad. Hasilnya dalam tempoh sembilan tahun, seramai 5,400 kanak-kanak menerima vaksin cacar di Baghdad sebelum usaha vaksinasi ini dikembangkan ke kota-kota lain di Iraq seperti Mosul.
Perkara yang sama iaitu dengan menunjukkan contoh teladan boleh dilakukan di Malaysia bagi memberikan keyakinan kepada rakyat. Malah hal ini telah pun dimulakan dengan barisan kepimpinan negara termasuk Perdana Menteri dan beberapa orang menteri termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta pegawai-pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Pengarah Kesihatan yang menjalani proses vaksinasi dalam majlis terbuka.
Sekiranya perkara ini boleh diteruskan dalam fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan melibatkan tokoh-tokoh agama yang berpengaruh, ia akan meningkatkan lagi kadar penerimaan masyarakat terhadap vaksin COVID-19.
Kaedah ketiga ialah melalui mujadalah atau perbahasan dengan pihak yang menentang vaksin dengan mempengaruhi orang lain untuk turut sama menolak vaksin. Hal ini boleh dilakukan dengan menampilkan pakar-pakar dan tokoh-tokoh agama dan perubatan untuk menjawab persoalan-persoalan yang menimbulkan keraguan.
Bagaimanapun, perlu dipastikan agar perbahasan yang berlangsung adalah berlandaskan fakta dan bukan emosi. Pada waktu yang sama, kata-kata yang digunakan hendaklah seperti contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri apabila berdakwah iaitu menggunakan kata-kata yang baik dan lembut, penuh sopan dan beradab.
Penggunaan falasi dalam penghujahan perlu dielakkan, dan adab berbeza pandangan hendaklah ditekankan dalam perbahasan seperti ini. Bagi orang yang berfikiran rasional, apabila akhlak diletak tepi dan adab tidak diamalkan, kredibiliti pembahas sudah pasti akan terjejas. Namun jika pembahas tenang, membalas hujah dengan cara yang sopan dan melontarkan fakta yang disandarkan kepada nas yang betul, hal ini akan memberikan keyakinan kepada semua.
Di Malaysia, dalam menangani penolakan terhadap vaksin, institusi dan tokoh agama wajar bekerjasama dengan ahli perubatan bagi memberikan maklumat yang tepat kepada masyarakat. Sekiranya kita ingin kembali kepada keadaan hidup sebelum pandemik COVID-19, langkah pertama yang perlu diambil ialah vaksinasi. Apabila jumlah yang divaksin mencapai tahap imuniti kelompok, insya-Allah keadaan boleh kembali hampir kepada sebelum ini.
Menjadi suatu perkara yang penting untuk menangani isu ini melalui usaha mewujudkan sinergi dua perspektif iaitu agama dan perubatan. Kejayaan sinergi ini mampu menyumbang kepada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.