Tarif menyeluruh (sekurang-kurangnya 10% ke atas kebanyakan import) yang diumumkan oleh Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2 April 2025 memberi isyarat kembalinya negara tersebut ke dasar perlindungan ekonomi yang ekstrem.
Dasar ini secara tuntas membalikkan kepimpinan globalisasi yang selama ini dijuarai oleh AS. Perkara yang jelas ialah penolakan tegas Trump terhadap globalisasi yang sebelum ini dilihat menguntungkan AS.
Tarif yang diperkenalkan ini mengutamakan pengekalan pekerjaan berbanding perdagangan bebas. Dalam kata lain, pentadbiran Trump menolak sistem ekonomi global yang pernah dikuasainya. Langkah ini mencabar prinsip ekonomi konvensional di samping berisiko menggugat kestabilan perdagangan bebas antarabangsa dan hubungan diplomatik.
Pengumuman tarif ini menoktahkan dasar yang diguna pakai oleh AS semenjak tahun 1913 apabila negara itu memperkenalkan cukai pendapatan peringkat persekutuan yang memberi kesan terhadap penurunan tarif. Sebelum 1913, sumber pendapatan utama negara tersebut ialah tarif.
Tarif Trump ini dijustifikasikan sebagai “timbal balik” dengan menyasarkan negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS yang dianggap “menipu” oleh Rumah Putih. Tarif timbal balik ini dilihat sebagai satu ancaman besar kepada perdagangan bebas dan terbuka di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Asas pengiraan bagi penentuan tarif juga dilihat “cacat” kerana berfokus pada saiz defisit relatif terhadap import. Persepsi Trump ialah mana-mana negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS terlibat dalam amalan perdagangan berat sebelah sedangkan pengiraan tarif mengabaikan sektor perkhidmatan yang banyak berpihak kepada AS.
Tarif ini lebih banyak memberi kesan kepada ekonomi yang sedang berkembang dengan menganggap semua defisit dagangan sebagai bukti “penipuan.” Kaedah pengiraan ini tidak menggunakan logik dasar perdagangan konvensional dan mengabaikan faktor ekonomi lebih menyeluruh yang mempengaruhi imbangan perdagangan.
Tarif ini berpunca daripada kepercayaan Trump bahawa globalisasi telah gagal dalam melindungi pekerja di AS terutamanya dengan kebangkitan ekonomi China sehingga AS kehilangan banyak peluang pekerjaan.
Pentadbiran Trump melihat tarif sebagai cara untuk mengembalikan pekerjaan dalam industri yang merupakan satu janji semasa kempen pilihan raya Presiden AS tahun lalu. Namun, naratif ini mengabaikan bagaimana dasar AS sendiri telah menyumbang kepada pengagihan kekayaan yang tidak sekata merentasi pelbagai sektor ekonomi.
Tarif Trump ini boleh memakan diri sendiri dengan membawa risiko peningkatan inflasi, ketidakstabilan pasaran saham dan ancaman kemelesetan ekonomi. Ramai pakar ekonomi berpandangan bahawa peningkatan kos ini akhirnya akan ditanggung oleh pengguna dan syarikat AS sendiri.
Reaksi pasaran saham menunjukkan keraguan pelabur terhadap manfaat jangka panjang tarif yang diperkenalkan ini. Ada spekulasi menyatakan bahawa tarif diperkenalkan bagi melemahkan dolar dan mengurangkan kos pinjaman sebagai matlamat tersembunyi.
Walau apa pun alasannya, peralihan daripada perdagangan bebas global ini berkemungkinan besar lebih memudaratkan ekonomi AS. Syarikat multinasional yang bergantung pada rantaian bekalan yang murah dari Asia sudah pasti akan mengalami masalah operasi.
Risiko tindak balas daripada negara-negara yang terkesan dengan tarif timbal balik ini di samping boikot pengguna, seperti yang berlaku ke atas Tesla, juga memberi implikasi besar kepada ekonomi AS.
Tarif ini dilihat mengundang perang perdagangan yang berpotensi melemahkan penguasaan AS selama ini. Negara-negara lain pastinya akan membentuk pakatan perdagangan baharu dengan menyisihkan AS.
Bagi sebuah negara seperti AS yang bergerak di bawah sistem kapitalisme, keutamaan lazimnya diletakkan ke atas keuntungan material semata-mata. Seperti yang dinyatakan oleh Milton Friedman, penerima Anugerah Nobel bagi ekonomi, asas ekonomi berasaskan kapitalisme ini adalah untuk meningkatkan untung dalam perniagaan.
Apabila seorang kapitalis seperti Trump menjadi Presiden sebuah negara seperti AS, maka pastinya cara fikir dan pandang alam beliau akan melihat negara sebagai sebuah “syarikat” yang perlu menjana dan melipatgandakan keuntungan.
Maka tidak pelik apabila Trump memperkenalkan satu pendekatan “jalan pintas” dengan mengenakan tarif untuk meningkatkan pendapatan negaranya. Hakikatnya, tidak ada istilah “keadilan sosial” dalam kamus Trump.
Golongan kaya akan terus menambah kekayaan mereka sementara golongan miskin akan menjadi semakin miskin. Jurang sosial akan bertambah besar disebabkan oleh pengagihan kekayaan yang tidak seimbang.
Bagi menangani situasi yang dihadapi ini, Malaysia perlu bertindak dengan bijaksana dan sederhana. Tindak balas yang diberikan perlu mampu menangani ancaman tarif yang dikenakan dan pada waktu yang sama, melindungi ekonomi negara daripada terjejas teruk.
Apa juga strategi yang diambil oleh Malaysia hendaklah berlandaskan prinsip la darar wa la dirar iaitu “tiada mudarat dan tidak memberi mudarat.” Dalam hubungan ini, beberapa langkah boleh diambil oleh Malaysia selain daripada rundingan secara diplomasi dengan AS.
Antara perkara praktikal yang boleh dilakukan oleh Malaysia adalah dengan mengurangkan kebergantungan kepada AS melalui usaha memperkukuhkan lagi aktiviti perdagangan dengan negara-negara rakan terutamanya dalam ASEAN dan OIC.
Jika dilihat kepada data yang dikeluarkan oleh MATRADE, nilai dagangan Malaysia dengan negara-negara ASEAN merangkumi 27.3% daripada jumlah keseluruhan dagangan negara. Nilai dagangan Malaysia dengan negara-negara OIC pula berada pada angka 11.6% keseluruhan dagangan negara.
Negara-negara ASEAN dan OIC merupakan antara negara yang kaya dengan pelbagai sumber asli. Perkara ini seharusnya boleh dimanfaatkan sebagai satu kekuatan bersama demi kebaikan semua negara terbabit.
Jelas bahawa terdapat banyak ruang dan peluang yang boleh diteroka oleh Malaysia menerusi perdagangan intra-ASEAN dan intra-OIC. Tambahan pula, Kepengerusian ASEAN sedang dipegang oleh Malaysia dan pada waktu yang sama, Malaysia juga sebuah negara berpengaruh dalam OIC.
Kedudukan Malaysia yang istimewa dalam ASEAN dan OIC ini perlu dimanfaatkan untuk kebaikan bersama negara-negara ASEAN dan OIC dalam mendepani era pascanormal yang diwarnai oleh ketidaktentuan yang dibawa oleh Trump.