Belanjawan MADANI Keempat 2026 ternyata bukan sekadar dokumen fiskal yang mengatur angka dan perbelanjaan, tetapi pernyataan bahawa kemajuan sebenar tidak boleh tidak, mesti berpaksikan akhlak, keadilan, dan ketelusan. Dalam belanjawan kali ini, kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion bagi memperkukuh syiar Islam — peningkatan sebanyak RM600 juta atau sekitar 30 peratus lebih tinggi berbanding RM2 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025.
Wawasan pendidikan Islam dalam belanjawan ini amat jelas – membina insan berilmu, beradab dan berdaya saing, dengan menggabungkan ilmu wahyu dan ilmu duniawi. Pendidikan Islam tidak lagi direncana berasingan daripada disiplin ekonomi dan teknologi. Peruntukan sebanyak RM150 juta bakal diguna untuk memperbaiki prasarana sekolah agama, dan menggantikan peralatan using. Salah satu inisiatif paling signifikan ialah Program TVET Tahfiz dan Pondok yang bakal memberi peluang kepada 10,000 pelajar tahfiz mendalami bidang kemahiran digital dan AI. Langkah ini membuka lembaran baharu dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia. Ia bukan lagi sistem yang terpisah daripada pembangunan ekonomi dan teknologi, tetapi bersatu membentuk generasi ulul albab moden — pelajar yang serba boleh, lengkap dengan kefahaman dan hafazan al-Quran serta kemahiran profesional. Di Selangor, program STEM berasaskan al-Quran di bawah JAIS pada tahun 2025 telah dimulakan di 23 sekolah menengah agama, dengan penilaian modul yang berpotensi diintegrasikan ke dalam kurikulum nasional. Ini adalah petanda bahawa reformasi pendidikan Islam sedang bergerak ke arah sinergi ilmu wahyu dan ilmu dunia.
Selaras dengan itu, masjid juga akan diberi nafas baharu sebagai pusat komuniti dan pembangunan masyarakat. Program seperti Anugerah Masjid Malaysia akan menjadikan masjid sebagai bukan sekadar tempat sujud, tetapi pusat komuniti di mana pembelajaran, kaunseling, dan aktiviti kebajikan masyarakat dilaksanakan. Ia memperkukuhkan pembudayaan nilai menerusi institusi keluarga seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, bahawa pendidikan Islam tidak boleh dipisahkan daripada keluarga dan komuniti. Langkah ini menunjukkan kerajaan MADANI benar-benar memahami akar kepada masalah sosial, lalu pemulihan moral mesti bermula dari roh dan institusi masyarakat itu sendiri. Ia membuktikan bahawa Islam bukan sekadar urusan ibadah, tetapi panduan menyeluruh dalam memakmurkan kehidupan.
Pendekatan ini amat relevan dengan keadaan semasa. Krisis moral yang melanda masyarakat – integriti penjawat awam yang terhakis, jenayah siber, rasuah dan keruntuhan keluarga yang begitu liat untuk dibendung – menuntut dasar pendidikan Islam yang padat dengan nilai. Sistem Pendidikan Islam pula berdepan pelbagai cabaran yang menuntut transformasi mendalam meliputi efikasi dan profesionalisme guru, akses pendidikan dan pencapaian pelajar, kepimpinan berwibawa, pembudayaan nilai, penggunaan ICT, serta kerjasama antara ibu bapa dan komuniti. Jurang pendidikan Islam antara bandar dan luar bandar masih ketara. Masalah keciciran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) masih berlaku, terutama di sekolah agama dan tahfiz. Digitalisasi pendidikan juga belum sepenuhnya meresap ke peringkat akar umbi. Oleh itu, peruntukan baharu ini diharap mampu mempercepatkan transformasi digital dan menutup jurang pendidikan yang selama ini mengekang kemenjadian pelajar Islam.
Pendekatan ini juga adalah satu pengakuan bahawa krisis nilai tidak dapat disembuhkan dengan hukuman dan undang-undang semata-mata. Ia memerlukan pendidikan yang membina hati, bukan hanya minda. Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid pernah mengingatkan bahawa “negara tidak akan tegak hanya dengan undang-undang, tetapi dengan warga jujur, berdisiplin dan berakhlak”. Justeru, pelaburan kerajaan dalam sistem pendidikan Islam pasti bukanlah beban kewangan, tetapi pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan moral negara. Ia adalah usaha untuk melahirkan rakyat yang bukan sahaja cerdas, tetapi jujur; bukan sekadar kompeten, tetapi beradab; bukan hanya produktif, tetapi amanah.
Perdana Menteri menegaskan bahawa “belanjawan bukan hanya lembaran angka, tetapi pernyataan moral dan ikrar sejarah.” Ini adalah isyarat jelas bahawa kerajaan MADANI tidak sekadar memajukan ekonomi semata-mata, tetapi juga menegakkan keutamaan nilai dalam dasar awam. Tatkala banyak negara lain menumpukan pada pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar/Gross Domestic Product), Malaysia memilih untuk menumpukan kepada pertumbuhan jiwa – satu tekad yang sangat-sangat diperlukan oleh kita semua.
Namun, keberhasilan pendidikan Islam ini bergantung pada pelaksanaan yang jujur, telus dan berstrategi, yang sudah pastinya menuntut penambah baikan dalam pelbagai sudut. Guru agama perlu diperkasa, kurikulum perlu disemak agar relevan dengan zaman, dan kerjasama antara sekolah, masjid serta komuniti perlu dianyam rapi. Jika dilaksanakan dengan iltizam, Belanjawan 2026 akan menjadi titik tolak pembentukan generasi baharu — generasi yang berilmu, berkemahiran dan beradab. Inilah misi sebenar pendidikan Islam dalam kerangka Malaysia MADANI — membina manusia bukan sekadar cemerlang di mata dunia, tetapi mulia pada pandangan Tuhannya.