Sepintas lalu ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2007, Perdana Menteri telah meminta semua pemimpin kerajaannya supaya mencerminkan perkara sebenar kepadanya walaupun ia mungkin sesuatu yang sukar untuk diterima, dan bahawa beliau bersedia untuk mendengarnya. Bagi saya, seruan ini ialah suatu yang agak memeranjatkan kerana ia seolah-olah menyatakan bahawa sebelum ini, perkara sebenar tidak disampaikan kepada beliau. Jarang-jarang sekali pemimpin siasah ingin mengundang teguran yang bernas, apatah lagi menerima teguran bernas itu dengan ikhlas dan jujur. Menurut laporan akhbar-akhbar berbahasa Inggeris, perkara sebenar yang dirujuk oleh Perdana Menteri kita melibatkan perkara-perkara berkaitan dengan agama dan bangsa. Akan tetapi, laporan yang disiarkan dalam akhbar-akhbar berbahasa Melayu pula melaporkan bahawa perkara sebenar yang dirujuk Perdana Menteri kita juga merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan soal dasar kerajaan seperti perpaduan, pembasmian kemiskinan, dan penyusunan semula masyarakat. Menurut beliau, dalam usaha meneruskan dasar-dasar terbabit, kerajaan akan terus berpegang pada prinsip untuk tidak merampas hak mana-mana kaum. Saya berpendapat ini merupakan pendirian yang berani, akan tetapi adakah pendirian tersebut benar-benar diamalkan oleh sebahagian besar ahli siasah mahupun masyarakat sendiri? Kerap kali apabila sebarang perkara berkaitan dengan penindasan keadilan berlaku yang disebabkan pentadbiran yang fasad, mangsa dalam perkara tersebut diingatkan supaya jangan membangkitkan soal perkauman mahupun agama pula. Bermula dengan seruan Perdana Menteri berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan bangsa, adakah masalah-masalah yang timbul kebelakangan ini benar-benar hasil daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan agama? Sebagai contoh kita boleh merujuk kepada kes Subashini.
Suami Subashini dilaporkan telah memeluk agama Islam dan kemudiannya memohon kepada Mahkamah Shari’ah untuk membubarkan perkahwinan mereka. Pada masa yang sama, beliau dilaporkan ingin ‘mengislamkan’ anak lekakinya, yang belum mencapai umur baligh. Tindakan beliau telah membangikitkan kebimbangan dan kemarahan Subashini, lalu beliau memohon kepada Mahkamah Sivil untuk menghalang tindakan suaminya daripada berbuat demikian dan juga daripada mengambil tindakan yang selanjutnya. Subashini mendakwa bahawa hak beliau telah dicabuli, dan saya bersetuju dengannya. Walaubagaimanapun, saya tidak berpendapat bahawa haknya telah dicabuli oleh sama ada shari’ah mahupun agama Islam. Sebaliknya, saya berpendapat keadilan telah dinafikan terhadap Subashini oleh kedua-dua pihak, Mahkamah Shari’ah, Mahkamah Sivil, dan para peguam yang terlibat. Suami Subashini sepatutnya menyedari bahawa salah satu unsur agama Islam yang paling utama ialah ia merupakan agama yang mencerminkan keadilan. Apabila beliau menyahut seruan dakwah dan menerima agama Islam, beliau sepatutnya menyedari bahawa beliau telah terlibat dalam satu akad atau perjanjian yang bersifat mengikat (binding contract).
Oleh yang demikian, agama Islam tidak membiarkan ataupun memandang ringan akan pelanggaran akad atau perjanjian secara tidak sah dan adil. Apabila Subashini dan suaminya bertukar-tukar ikrar perkahwinan, ianya sudah dianggap sempurna sebagai upacara sivil. Dengan kata-kata lain, majlis perkahwinan tersebut tidak perlu lagi didaftarkan dengan mana mana pihak jabatan agama. Pada dasarnya, Subashini dan suaminya telah terlibat dalam satu akad atau perjanjian. Kini, suami Subashini telah menyahut seruan agama Islam dan kelihatan seolah olah bahawa beliau telah dinasihati supaya mengabaikan perjanjian yang terdahulu yang telah dibuat oleh kedua-duanya, dan beliau perlu menceraikan isterinya kerana Subashini tidak mahu memeluk agama Islam. Perceraian tersebut kononnya sepatutnya dibicarakan oleh Mahkamah Shari’ah kerana suami Subashini tidak boleh memohon perceraian atas asas tersebut di Mahkamah Sivil memandangkan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara berkaitan dengan Islam dan shari’ah. Pada hakikatnya, Mahkamah Shari’ah sepatutnya mengarahkan supaya perceraian tersebut dibicarakan oleh Mahkamah Sivil disebabkan, sebagaimana yang telah dinyatakan, perjanjian perkahwinan telah dimeterai antara kedua-dua pihak dalam majlis yang tidak melibatkan Mahkamah Shari’ah. Memandangkan hakikat bahawa agama Islam menghormati akad atau perjanjian, suami Subashini sepatutnya dinasihati untuk menghormati tindakannya menamatkan akad atau perjanjian tesrebut.
Akan tetapi keseluruhan kes ini merupakan sebuah tragedi. Pada suatu ketika, kedua-duanya, Subashini dan juga suaminya, amat saling sayang diantara satu dengan yang lain. Melalui perkahwinan mereka itu, mereka telah memperoleh dua orang cahaya mata, yang merupakan dua anugerah daripada Tuhan yang diamanahkan kepada pasangan itu. Dalam usaha mendapatkan penyelesaian terhadap kedudukan perkahwinan mereka, apa yang diperlukan bukanlah undang-undang tetapi sebaliknya hikmah. Peguam-peguam kedua-dua pihak sepatutnya menasihati pasangan tersebut supaya bersabar dan tidak melakukan sesuatu secara melulu. Tambahan pula, Nabi Muhammad s.a.w. mengeji perceraian; tetapi sekiranya perceraian tidak dapat dielakkan, penceraian tersebut hendaklah dilakukan secara baik, iaitu dengan tidak menimbulkan penderitaan, kesengsaraan mahupun kebencian antara satu sama lain, dan yang paling penting, agama Islam tidak dituduh sebagai tidak adil. Sebaliknya, sesetengah peguam-peguam yang mewakili shari’ah kelihatan bertegas dengan kehendak mereka. Selama ini, mereka berselindung di sebalik ‘pakaian’ undang-undang Islam, seolah-olah agama Islam sendiri ditakrifkan oleh shari’ah. Begitu juga dengan sesetengah peguam-peguam yang mewakili undang-undang sivil. Mereka juga nampaknya hanya mahu bertegas menegakkan kehendak mereka, kefahaman mereka berkenaan undang-undang dan bagaimana undang-undang tersebut seharusnya ditafsirkan. Akhirnya mereka kehilangan tumpuan terhadap hakikat bahawa mereka diamanahkan untuk menasihati dan menjadi perantara bagi pembubaran sesebuah penyatuan atau perkahwinan. Sebaliknya, peguam-peguam tersebut itu asyik berusaha mendapatkan perhatian terhadap diri mereka sendiri, dengan mencerminkan diri mereka sebagai yang paling berakal, yang berupaya melafazkan arahan arahan yang terkandung didalam undang-undang semata-mata tanpa mencerminkan hikmah. Di manakah letaknya hikmah dalam semua perkara ini?
Umat Islam mempercayai dan meyakini bahawa setiap kanak-kanak, tanpa mengira agama ibu bapa mereka, dilahirkan menurut fitrah Islam. Oleh yang demikian, persoalan berkisar ‘pengislaman’ terhadap kanak-kanak yang berada di bawah umur baligh tidak timbul sama sekali. Walaubagaimanapun, ini tidak menjamin kanak-kanak tersebut akan kekal sebagai seorang Islam. Justeru itu, pilihan tersebut bergantung pada diri seseorang. Tambahan pula, persoalan berkenaan keupayaan memilih demi kebaikkan (ikhtiar) mengandaikan bahawa kanak-kanak tersebut memiliki akal yang sihat dan waras, yang bebas daripada paksaan dan dalam keadaan kesedaran yang nyata. Kita telah menyebut sebelum ini bahawa penekanan terhadap kebebasan daripada paksaan dan keadaan kesedaran yang nyata, apabila kita berbicara berkenaan agama Islam, mencerminkan bahawa ilmu merupakan prasyarat paling utama. Disebabkan ilmu yang kita bicarakan ini merupakan sifat akal fikiran yang mantiqi, maka tanpa akal fikiran yang mantiqi, mustahil akan wujud ilmu yang hak atau benar. Ketiadaan ilmu yang hak atau benar ini menyebabkan penerimaan agama Islam secara sukarela dan dalam keadaan kesedaran yang nyata menjadi suatu perkara yang mustahil. Oleh yang demikian, kita boleh simpulkan bahawa keupayaan berfikir secara mantiqi merupakan unsur yang penting untuk menjadi seorang Muslim. Kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh, tidak boleh diamanahkan mahupun dibebani dengan tanggungjawab menerima sesuatu yang tidak difahaminya memandangkan daya berfikir secara mantiqi yang dimilikinya masih belum mencapai tahap matang. Oleh itu, adalah tidak munasabah untuk mengatakan bahawa seseorang boleh mengislamkan kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh. Sekiranya kesimpulan tadi dinafikan maka ianya menunjukkan kejahilan sebenar orang Islam. Jika seseorang berusaha ‘mengislamkan’ kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh, ia sebenarnya memaksa kanak-kanak tersebut untuk menerima beban tanggungjawab sedangkan pada hakikatnya Allah sendiri tidak mengamanahkan beban tanggungjawab sedemikian kepada kanak kanak yang belum mencapai umur baligh. Sebarang usaha untuk berbuat demikian, pada hakikatnya, melanggar matlamat agama Islam itu sendiri dan sebaliknya bersifat shirik.
Namun apa yang menyedihkan, nampaknya inilah sebenarnya nasihat yang telah diberi kepada suami Subashini. Pada pandangan saya, perceraian diantara Subashini dan suaminya yang telah memeluk agama Islam sepatutnya diputuskan oleh Mahkamah Sivil. Tambahan pula, beliau tidak boleh ‘mengislamkan’ anaknya atas alasan-alasan yang telah dikemukakan. Tanggungjawabnya sebagai bapa yang beragama Islam adalah untuk mendidik anaknya berkenaan aqidah dan apabila mereka mencapai umur baligh, mereka sendiri boleh membuat pilihan. Hak penjagaan kanak-kanak tersebut sepatutnya diberikan kepada ibu yang bertanggunjawab mengasuh dan menjaga mereka. Sekiranya timbul kebimbangan bahawa kanak-kanak tersebut lebih cenderung kepada agama anutan Subashini, atau dikhuatiri kanak-kanak tersebut dibesarkan dalam persekitaran yang ‘tidak Islami’, jelaslah bahawa suami Subashini boleh mengakui hakikat bahawa kebimbangannya itu tidak berasas. Dalam apa jua keadaan, kes Subashini dan suaminya ini bukanlah merupakan ‘isu agama’. Ia merupakan satu contoh ketiadaan hikmah yang dizahirkan melalui kelemahan pentadbiran yang akhirnya membawa kepada kezaliman dan ketidakadilan.
Menyentuh berkenaan kes Lina Joy pula, ianya juga bukanlah ‘isu agama’. Pada hakikatnya, ia melibatkan perkara berkaitan dengan syarat yang terkandung didalam undang-undang. Dalam kes tersebut, saya tidak mempertanggungjawabkan mahupun menyalahkan Mahkamah Shari’ah. Menurut ulasan kehakiman dalam kes ini, sipemohon ingin menukar namanya daripada Azlina binti Jailani kepada Lina Lelani, dan kemudiannya kepada Lina Joy kerana alasannya dia telah mengahwini lelaki yang beragama Kristian dan dia sendiri telah menganut agama tersebut. Beliau telah dimaklumkan oleh pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara bahawa sekiranya dia ingin menukar namanya, dia boleh berbuat demikian tetapi dengan syarat alasan pertukaran nama tersebut bukan disebabkan dia telah menganut agama Kristian. Dia berjaya menukar namanya, tetapi masih lagi dicatatkan bahawa dia seorang Muslim didalam kad pengenalannya. Atas keinginan supaya istilah ‘Islam’ dipadamkan daripada kad pengenalannya, dia memohon kepada Jabatan Pendafaran Negara sekali lagi dan diberitahu bahawa dia perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Shari’ah terlebih dahulu. Ketika ini, dia berdegil untuk berbuat demikian dengan andaian bahawa dia tidak akan dibenarkan menjadi murtad. Tambahan pula, dia berasa takut dengan hukuman murtad menurut undang-undang Islam dan mengambil keputusan untuk mendapatkan keputusan daripada Mahkamah Sivil. Pada ketika inilah, kes beliau bertukar menjadi rumit. Kuasa Mahkamah Shari’ah berhubung dengan Mahkamah Sivil telah dipersoalkan, Perlembagaan dianggap bagaikan Kitab Suci, dan pentafsiran ‘kebebasan beragama’ mula dipersoalkan dan ditegur. Secara tiba-tiba, agama Islam digambarkan sebagai agama yang tidak adil, yang tidak membenarkan kebebasan beragama, dan yang bersifat zalim terhadap orang orang bukan Islam. Lebih memburukkan lagi keadaan, agama lain digambarkan sebagai lebih bersifat tasamuh. Tumpuan seterusnya beralih kepada kebebasan beragama, meskipun hakikat sebenarnya, Lina Joy telah berkelakuan angkuh dan degil serta menafikan kepatuhan terhadap undang-undang yang kini diperalatkannya untuk mempertahankan ‘hak’nya. Beberapa pertubuhan dan kumpulan bukan Islam di negara ini dengan dibantu oleh sebilangan peguam dan Majlis Peguam terus mendakwa bahawa Mahkamah Shari’ah yang dikaitkan dengan agama Islam itu sendiri, telah dengan nyata dan sengaja berniat menindas dan menghalang hak Lina Joy. Mereka lupa akan hak amanah beban tanggungjawab yang diamanahkan kepada umat Islam. Mereka lupa bahawa apabila seorang Islam menyedari bahawa terdapat seorang daripada umat Islam yang lain yang berniat untuk murtad, ia menjadi sebahagian daripada amanah serta tanggungjawab supaya bertanya berkenaan sebab musabbab berbuat demikian. Sebelum ini kita telah menyebut bahawa penerimaan terhadap seruan dakwah Islam dilakukan secara sukarela, bebeas daripada paksaan, dan dalam keadaan fikiran yang waras dan bersifat mantiqi. Akan tetapi, tindakan murtad mencerminkan penafian terhadap keadaan fikiran yang waras dan bersifat mantiqi tersebut, dan ianya juga mencerminkan bahawa penyerahan diri secara sukarela yang bebas daripada paksaan itu ditolak. Persoalannya ialah kenapa? Adakah ia disebakan kejahilan, atau kesan daripada angkuh dan takabbur?
Dalam hal ini, adalah menjadi hak amanah tanggungjawab umat Islam untuk menentukan ataupun membongkar alasan atau sebab kepada penafian ini. Sekiranya sebabnya berasaskan keadaan yang pertama, yakni disebabkan kejahilan, maka umat Islam memiliki hak amanah dan tanggunjawab yang sah supaya mendidik mereka yang jahil. Sekiranya pula sebab mendekati ambang kekufuran berasaskan sifat angkuh dan takabbur, maka masyarakat umat Islam tidak lagi dipertanggungjawabkan bagi kekufuran itu. Dalam kes Lina Joy, umat Islam telah dihalang dan dinafikan hak amanh tanggungjawab mereka untuk menentukan sebab musabbab Lina Joy bertindak murtad, dan sebaliknya umat Islam juga yang dituduh sebagai mencabuli dan menghalang hak Lina Joy. Tambahan pula, tiada seorang pun yang prihatin akan hak ibu bapa Lina Joy. Lina Joy secara terang-terangan menafikan kedudukan hak maratib bapanya. Sama ada Lina Joy mahu mengakuinya mahupun tidak, beliau masih dan selama-lamanya merupakan anak perempuan Jailani. Namun, dia telah menafikan hak Jailani itu dengan mengakui dirinya anak kepada Lelani, dan kemudiannya anak kepada Joy.