Rata-rata masyarakat memahami bahawa ukuran kejayaan usahawan adalah melalui keuntungannya dalam perniagaan. Keadaan ini berbeza dengan usahawan sosial di mana kejayaanya bukan setakat diukur melalui keuntungan semata-mata malah turut diukur melalui manfaat yang dapat dikongsi bersama dengan masyarakat.
Dengan kata lain memperkasa pembangunan sosio-ekonomi merupakan misi utama usahawan sosial mengatasi keuntungan atau kekayaan semata-mata. Inilah yang dikatakan model usahawan sosial yang dilihat dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat amnya. Ia juga merupakan kunci untuk memacu transformasi sosial dalam mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dan saksama.
Ini sejajar dengan tuntutan dan prinsip dalam Islam yang menegaskan bahawa amalan perniagaan yang baik bukan sahaja untuk memperoleh keberkatan Allah SWT namun kekayaan yang sebenar-benarnya adalah yang dapat memberi manfaat kepada individu dan masyarakat secara keseluruhannya. Kekayaan itu tidak seharusnya dibiarkan atau disia-siakan atau dihalang daripada peredarannya, yang sekaligus jika dihalang akan menyekat kebaikan manfaat daripada diberikan kepada masyarakat. Begitu jugalah dengan harta dan kekayaan yang seharusnya diuruskan dengan baik.
Dalam Islam usahawan sosial ini juga amat berkait rapat dengan konsep muamalah kerana berhubungkait dengan menjaga kepentingan ekonomi, alam sekitar, sosial, politik dan pendidikan. Secara tidak langsung ia dapat sedikit sebanyak memberi suntikan dalam membantu menyediakan peluang untuk masyarakat menikmati kehidupan yang sihat; penggunaan barangan dan perkhidmatan yang berimbang; menyuburkan hubungan manusia yang berasaskan komuniti yang kukuh dan penyayang; menegakkan prinsip pasaran yang berasaskan peraturan yang baik dan beretika serta menjaga kelestarian alam sekitarnya yang seimbang.
Justeru, adalah wajar Model usahawan sosial ini diteroka oleh golongan muda bagi mewujudkan lebih ramai usahawan muda yang kreatif dan inovatif untuk tampil ke hadapan meneroka bidang baru bagi membantu masyarakat dan persekitaran. Di samping menangani isu-isu sosial yang semakin membarah dalam sesebuah masyarakat selain mengurangkan jurang pendapatan.
Berbeza dengan usahawan dalam sistem kapitalis yang hanya mementingkan materialistik dan keuntungan perniagaan sendiri kerana berasakan mempunyai kekuatan modal. Ini menggambarkan bahawa dalam sistem kapitalis yang kaya akan bertambah kaya manakala usahawan baru sudah tentu ditindas. Jika keadaan ini berterusan, ia tidak mungkin dapat menjadikan ekonomi rakyat sejahtera.
Bahkan usahawan yang berkiblatkan kapitalis akan menjadikan kehidupan masyarakat lebih teruk. Kemiskinan semakin parah, kesihatan tidak bertambah baik, kelestarian alam sekitar terjejas, dan wujudnya masyarakat yang makin tamak. Natijahnya, kekayaan dunia hanya dinikmati oleh segelintir manusia yang tidak berhati perut dan pada masa sama mengejar pengikhtirafan kononnya mereka usahawan terulung. Walhal, ramai lagi masyarakat yang hidup dalam kemiskinan dan sebagai umat Islam wajib dibantu demi kelangsungan hidup.
Sehubungan itu, sebagai usahawan sosial yang sudah berjaya mereka adalah digalakkan membantu ahli perniagaan yang baharu bertatih untuk memulakan perniagaan. Bantuan ini tidak semestinya dalam bentuk kewangan tetapi juga dalam bentuk bukan kewangan seperti memberi latihan kemahiran perniagaan, teknikal dan fungsi serta pemantauan berterusan agar usahawan baharu ini berjaya.
Dalam perkembangan semasa sebagai contoh, penubuhan Unit Keusahawanan Sosial di bawah Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) adalah satu tindakan yang baik yang dapat menyokong keusahawanan sosial. Ia merupakan pusat setempat untuk usahawan sosial di Malaysia memberi inspirasi kepada generasi muda supaya menjadi masyarakat yang aktif, selain meluaskan capaian usahawan sosial sedia ada termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan dan kemahiran, bagi melahirkan usahawan muda dalam sektor itu.
Begitu juga, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang rata-ratanya diterajui oleh orang Melayu Islam sewajarnya mencontohi konsep perniagaan sosial. Bantulah mereka yang lemah demi kebaikan umat Islam dan seterusnya kebaikan itu bakal dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhannya.
Mudah-mudahan dengan meneroka model usahawan sosial ini dapatlah mendorong masyarakat mempertingkatkan ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara di samping menyuntik kesedaran dalam memperkasa pembangunan sosial ummah secara saksama. Dengan demikian impak yang lebih baik dapat dilihat ke atas taraf sosio-ekonomi masyarakat negara ini pada masa depan.