Ngauman ‘Harimau Asia’ kembali kedengaran setelah Perdana Menteri Malaysia pulang dari lawatan kerja di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Antara agenda lawatan kerja tersebut ialah untuk menarik pelabur asing menyertai ekonomi Malaysia. Dengan semangat yang luar biasa, Perdana Menteri mengajak setiap lapisan masyarakat untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjadi Sang Harimau dalam ekonomi dunia.
Saranan tersebut adalah tepat dan kena dengan masa kelam yang dihadapi Malaysia lantaran hutang yang ditanggung pada masa kini. Oleh yang demikian, usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia tidak boleh hanya dilakukan melalui langkah penjimatan semata-mata, sebaliknya harus disekalikan dengan hasil ekonomi yang mampan. Ia haruslah bermula dengan langkah domestik; yakni memberdayakan sumber ekonomi utama iaitu modal insan.
Satu ketika dahulu, Malaysia memang dikenali sebagai hab pelaburan terutama bagi sektor elektrik dan elektronik. Salah satunya disebabkan oleh upah yang rendah. Permintaan terhadap buruh berkemahiran rendah ini menjadi semakin tinggi sehingga Malaysia sendiri perlu mengimport buruh asing untuk bekerja di dalam negara.
Kedatangan buruh asing yang semakin ramai sejak dari itu bukan sahaja memenuhi sektor industri yang diperlukan. Bahkan penawaran buruh asing begini telah melebihi permintaan. Selain daripada pengaliran wang tunai ke negara asal yang banyak, buruh asing berkemahiran rendah ini juga mewujudkan persaingan sengit kepada buruh tempatan. Selain itu juga, berlaku lambakkan buruh yang memasuki negara secara haram sekaligus menyumbang kepada masalah sosial dan jenayah.
Mungkin satu ketika dahulu penumpuan terhadap sektor yang dipelopori oleh buruh berkemahiran rendah memberi pulangan yang tinggi kepada negara. Akan tetapi dengan lambakan buruh separa mahir dan kemajuan teknologi seperti hari ini, kita melihat berlaku perubahan lanskap ekonomi yang diperlukan bagi meletakkan Malaysia dalam senarai negara maju.
Sebagai contoh, revolusi terkini mendambakan lebih banyak automasi dan buruh berkemahiran tinggi dalam industri. Justeru, Malaysia perlu bersedia dengan kenyataan bahawa, pelaburan baharu yang bakal datang mungkin tidak lagi membawa bersama dengan permintaan buruh berkemahiran rendah yang ramai. Sebaliknya, modal insan berkemahiran tinggi lebih diperlukan untuk melakar ekonomi baharu.
Kita berharap, permintaan kepada buruh berkemahiran tinggi juga dapat menyelesaikan isu penawaran gaji yang setara. Hal demikian kerana, sehingga kini masih ramai individu tidak dapat mencari pekerjaan mengikut latar belakang pendidikan mereka. Malaysia seperti negara-negara serantau; Thailand, Indonesia dan Vietnam mengalami keadaan kadar pengangguran belia berpendidikan tertiari lebih tinggi daripada belia yang tidak berpendidikan tertiari. Keadaan ini walaubagaimanapun tidak dihadapi oleh negara ekonomi maju seperti Jerman, UK, Perancis dan lain-lain yang menunjukkan kadar pengangguran kumpulan belia adalah tinggi dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pendidikan tertiari.
Faktor ini mungkin boleh dikaitkan dengan saiz pasaran ekonomi yang kecil berbanding negara maju, kebergantungan yang tinggi kepada permintaan domestik berbanding antarabangsa, dan keengganan pemodal dan majikan untuk ‘berkongsi’ hasil produktiviti mereka melalui automasi dan penawaran gaji yang berpatutan. Sebab itulah sehingga hari ini kita melihat Malaysia masih lagi menumpu kepada sektor yang banyak menggunakan tenaga kerja murah. Maka, permintaan kepada buruh berkemahiran rendah (asing) masih tinggi berbanding dengan buruh tempatan.
Pengalaman begini juga boleh menimbulkan anggapan songsang kepada para pemuda dan pemudi negara bahawa pendidikan tinggi tidak akan mengubah nasib mereka (mendapat upah yang setara). Bukan tidak ada anggapan dalam kalangan anak-anak kita tentang ilmu pendidikan tidak boleh menjadikan mereka kaya.
Dengan perkembangan media sosial yang pantas, mereka berasakan kekayaan masih boleh dicapai walaupun tanpa pendidikan yang baik. Mereka cenderung dan teruja untuk menjual hasil produktiviti orang lain dan tidak berniat menjadi orang yang menghasilkan produktiviti tersebut. Hakikatnya, mereka tidak sedar bahawa, pendidikan dan kemahiran adalah cahaya dan jiwa dalam kehidupan. Ia akan sentiasa kekal dalam keadaan manusia itu miskin atau kaya; atau ketika susah mahupun senang.
Keistimewaan manusia itu adalah terletak kepada ilmu dan hikmah. Kesenangan dan kekayaan tanpa ilmu adalah bersifat sementera. Allah berfirman dalam Surah al-Mujadalahayat 11 yang bermaksud, “…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang-orang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”.
Generasi muda pada hari ini perlu dibimbing untuk sentiasa meletakkan ilmu dan kemahiran sebagai asas utama kejayaan mereka. Sang Harimau perlu kemahiran untuk berburu, tidak boleh menunggu hasil buruan ‘mati’ berada dihadapan sahaja. Latihan larian perlu ada, kuku perlu diasah, tidak boleh dibiarkan tumpul agar hasil buruan tidak terlepas daripada cengkaman. Begitulah diibaratkan kepada kita, generasi Malaysia sebagai modal insan negara.
Kita perlu bersedia untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran untuk mencapai kejayaan, tidak kira sama ada dengan datangnya pelabur ataupun tidak. Pemodal dan majikan juga diharap untuk ‘berkongsi’ keuntungan yang sepatutnya melalui penawaran gaji yang setara. Hasil keuntungan produktiviti perlu disebar seluasnya agar seluruh masyarakat menikmati kemakmuran ekonomi.
Kita tidak boleh selamanya mengharap magis Sang Ketua untuk maju kehadapan. Sang Harimau perlu bersedia untuk jalan yang telah dibuka. Keberanian Sang Harimau perlu datang bersama dengan kemahiran yang unggul untuk meneroka tempat baharu yang mungkin memberi harapan yang lebih baik.