Di tengah-tengah kesibukan ibu kota Kuala Lumpur yang kebanyakannya hidup dalam dunia yang pantas, masih terdapat ruang yang tenang untuk berfikir, merenung, dan mencari makna. Di sinilah letaknya Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di Bukit Tunku, menjadi sebuah ruang ilmu yang tidak sekadar menyimpan buku, tetapi menghidupkan semangat peradaban.
Antara permata yang menjadi nadi kepada perpustakaan ini ialah Koleksi Tamadun Islam (KTI). Koleksi ini bukan sahaja menghimpunkan karya ulama dan pemikir agung Islam, tetapi juga mengekalkan kesinambungan khazanah keilmuan yang membentuk identiti umat. Dari karya al-Ghazālī, al-Fārābī dan Ibn Rushd hinggalah ke pemikir kontemporari, KTI menjadi jambatan antara masa lalu yang penuh hikmah dan masa depan yang menuntut kefahaman.
Tamadun Bermula Dari Insan
Asas kepada kebangkitan tamadun Islam tidak pernah bermula dengan binaan yang megah ataupun kehebatan teknologi. Tetapi ia bermula dengan pembangunan insan, manusia yang beriman, berilmu, dan beradab. Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah dengan tauhid dan akhlak; membentuk hati manusia agar mengenal Tuhan sebelum membina negara dan sistem. Ini kerana manusia inilah yang akan menjadi pentadbir; baik kepada dirinya sendiri, kepada keluarga, kepada masyarakat, bahkan kepada sistem apapun yang akan dibangunkan. Sekiranya manusia ini baik, maka kebaikanlah yang lahir daripadanya, dan begitulah jua sebaliknya.
Inilah yang menjadi titik beza terbesar bagi tamadun Islam daripada tamadun lain. Bagi Islam, agama merupakan akar peradaban. Aqidah melahirkan pandangan hidup (worldview) yang menyatukan akal dan wahyu, jiwa dan jasad, dunia dan akhirat. Maka pembangunan dalam Islam bukanlah sekadar kemajuan fizikal, tetapi hasil daripada kesejahteraan diri yang berpaksikan iman.
Berbeza dengan tamadun Barat moden yang muncul selepas era pencerahan (Enlightenment), kemajuan Islam tidak pernah menolak Tuhan daripada ruang intelek. Barat membebaskan falsafah daripada agama kerana sejarahnya penuh konflik antara gereja dan ilmu. Namun, Islam mengajarkan bahawa ilmu itu sendiri adalah anugerah Ilahi, dan penekanan diberikan sehingga mencari ilmu dikira sebagai ibadah. Bahkan menjadi wajib bagi seseorang yang beriman itu untuk mempunyai ilmu fardu ain, dan juga ilmu fardu kifayah, agar setiap amalannya didunia menjadi balasan yang baik di akhirat kelak.
Warisan yang Menyatukan Ruh dan Akal
Inilah semangat yang ingin dikembalikan oleh Koleksi Tamadun Islam (KTI). Setiap naskhah di dalamnya menjadi bukti bahawa peradaban Islam terbina daripada keseimbangan antara ruhani dan jasmani. Ia tidak memisahkan antara ilmu dunia dan akhirat, antara sains dan akidah, antara ekonomi dan akhlak.
Karya-karya besar yang tersimpan di KTI; seperti Iḥyā’ ʿUlūm al-Dīn karya al-Ghazālī, al-Madīnah al-Fāḍilah karya al-Fārābī, Tahāfut al-Falāsifah oleh Ibn Rushd, dan Muqaddimah oleh Ibn Khaldūn mengajarkan hal yang sama: bahawa kemajuan mesti berpaksikan nilai. Tamadun Islam tidak menolak pembangunan lahiriah, tetapi menegaskan bahawa jasad mesti tunduk kepada ruh, dan akal mesti dipandu oleh wahyu.
Pembangunan Insan Sebagai Teras Tamadun
Apabila insan itu dibangunkan dengan adab, maka seluruh masyarakat akan teratur. Apabila manusia tahu peranan dirinya sebagai hamba dan khalifah, maka ilmu menjadi alat untuk kebaikan, bukan keangkuhan. Sebaliknya, apabila pembangunan hanya tertumpu pada kemewahan lahiriah tanpa pembangunan jiwa, maka kemajuan itu akan membawa kehancuran sebagaimana yang diingatkan oleh al-Qur’an tentang umat terdahulu.
Falsafah pembangunan yang berakar dalam Islam menuntut keseimbangan antara aspek yang kekal (thābit) seperti iman, akhlak dan keadilan dengan aspek yang berubah (mutaghayyir) seperti sistem, teknologi, dan cara hidup. Bila kedua-duanya diletakkan pada tempat yang betul, maka lahirlah tamadun yang adil, makmur, dan beradab.
Ibn Khaldūn dan Cerminan Pembangunan Tamadun
Pemahaman yang menyeluruh tentang hubungan antara insan, masyarakat, dan tamadun ini diungkap dengan mendalam oleh ʿAbd al-Raḥmān Ibn Khaldūn (1332–1406M), seorang tokoh yang sering digelar sebagai bapa sosiologi dan sejarawan Islam paling berpengaruh. Melalui karya agungnya, al-Muqaddimah, Ibn Khaldūn menjelaskan bahawa setiap tamadun berkembang melalui kitaran yang bermula daripada kekuatan moral dan sosial (ʿaṣabiyyah), mencapai kemakmuran, lalu merosot apabila masyarakat hilang nilai dan semangat keinsanan.
Namun, beliau bukan sekadar ahli sejarah; Ibn Khaldūn ialah seorang ahli agama, ahli falsafah, dan negarawan yang menggabungkan ilmu baik dari aspek zahir mahupun batin. Baginya, kekuatan politik dan ekonomi tidak dapat dipisahkan daripada kekuatan akhlak dan agama.
Biodata Ringkas Ibn Khaldūn
Ibn Khaldūn dilahirkan pada tahun 732H/1332M di Tunis, dalam keluarga berketurunan Arab Andalusia yang terkenal dengan tradisi ilmu dan pentadbiran. Sejak kecil beliau menunjukkan kecerdasan luar biasa. Beliau mempelajari al-Qur’an dan ilmu-ilmu Islam di bawah bimbingan Muḥammad ibn Saʿd ibn Burrāl, manakala ayahnya sendiri mengajarnya bahasa Arab dan adab. Antara gurunya yang lain ialah Muḥammad ibn al-ʿArabī al-Ḥaṣayrī, Aḥmad ibn al-Qaṣṣār, dan ʿAbd al-Salām al-Ḥawwālī, yang merupakan tokoh-tokoh ilmuwan besar di Afrika Utara dan Andalusia ketika itu. Beliau turut mendalami hadis, fiqh, nahu, logik dan ilmu falsafah, serta memiliki kecenderungan terhadap kesusasteraan dan syair Arab klasik.
Sepanjang hidupnya, Ibn Khaldūn berkhidmat sebagai penulis, setiausaha kerajaan, diplomat, dan qādī (hakim besar) di Maghribi dan Mesir. Pengalamannya dalam dunia politik dan pentadbiran memberi pandangan mendalam tentang dinamika kuasa, masyarakat, dan moral, yang kemudiannya menjadi asas kepada Muqaddimah.
Beliau meninggal dunia di Kaherah pada tahun 808H/1406M dan dimakamkan di perkuburan Sūfiyyah berhampiran Bab al-Naṣr. Sumbangannya diiktiraf bukan sahaja dalam dunia Islam, tetapi juga oleh sarjana Barat moden seperti Arnold Toynbee yang menyifatkan Muqaddimah sebagai “the greatest work of its kind ever created by any mind in any time”.
Antara yang Kekal dan yang Berubah
Ibn Khaldūn menunjukkan dengan jelas bahawa sesuatu tamadun akan kekal apabila ia memelihara keseimbangan antara nilai dan bentuk, antara moral dan struktur. Apabila masyarakat mula mengagungkan kemewahan dan melupakan keadilan, maka mereka memasuki fasa kemerosotan.
Inilah pengajaran yang sangat bemanfaat untuk kita cermati hari ini. Pembangunan tidak salah, tetapi ia mesti berpaksikan adab. Teknologi dan kemodenan perlu mengikut kepada nilai kemanusiaan dan ketuhanan. Jika tidak, manusia akan menjadi hamba kepada ciptaannya sendiri.
Menurut Professor Diraja Terpuji Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas, kehilangan adab menjadi akar segala kekeliruan dan akan melahirkan para pemimpin palsu. Manusia perlu tahu untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, antara dunia dan akhirat, fakta dan hakikat, wasilah dan matlamat, agar pembangunan itu benar-benar mencapai tujuannya.
Peranan Koleksi Tamadun Islam (KTI)
Koleksi Tamadun Islam di PTAS, IKIM berfungsi sebagai jambatan untuk mengembalikan keseimbangan ini. Ia membantu generasi hari ini memahami bahawa pembangunan tidak boleh dipisahkan daripada nilai dan sejarah. Melalui karya-karya ulama seperti Ibn Khaldūn, kita belajar bahawa kemajuan luaran hanya bermakna apabila disertai dengan kematangan ruhani.
Penutup: Menghidupkan Adab dan Ilmu
Tamadun Islam lahir daripada keseimbangan: antara iman dan akal, antara dunia dan akhirat. Ia bermula daripada pembinaan manusia dan bukan sekadar pembangunan sistem. Maka, jika kita ingin membangunkan semula tamadun, kita mesti kembali kepada asas iaitu memperkukuhkan akidah, menghidupkan ilmu, dan menegakkan adab.
Di Perpustakaan Tun Ahmad Sarji, khazanah itu masih hidup dan menunggu untuk dibuka, dibaca, dan dihayati. Dari halaman demi halaman karya besar seperti Muqaddimah, kita diajak untuk kembali kepada diri dan bertanya: apakah makna sebenar kemajuan, jika ia tidak membawa manusia kepada Tuhan?

