Sehari selepas penganut agama Kristian merayakan Krismas, dunia telah dikejutkan dengan peristiwa 26 Disember 2004. Satu bencana yang tidak diduga berlaku dan nama bencana itu pun tidak dikenali di rantau ini, ia menyerang dalam tempoh waktu yang amat pantas.
Aceh adalah di antara kawasan yang paling teruk dipukul ombak tsunami, yang tinggal megah hanya masjid di Banda Aceh. Saya pernah ke Banda Aceh bersama dengan rombongan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah beberapa tahun yang lalu.
Pada ketika itu berkesempatan melawat beberapa tempat penting dan bersejarah termasuk menghadiri majlis perkahwinan puteri Gabenor Aceh. Dikhabarkan bahawa keluarga diraja Pahang ada hubungan keluarga dengan Aceh.
Saya masih dapat mengingati pemandangan Aceh dari pesawat Garuda ketika terbang dari Jakarta ke Banda Aceh. Apabila menatapi gambar Aceh di muka akhbar selepas dilanda ombak tsunami – amat pilu, hiba dan sedih. Lebih-lebih lagi apabila dikhabarkan puluhan ribu nyawa terkorban.
Sebagai orang Islam kita ucapkan: Sesungguhnya kita ini kepunyaan Allah, dan kepada-Nya kita kembali. Sesuatu musibah itu tidak akan berlaku kecuali telah tertulis suratan takdirnya.
Apabila berlaku malapetaka seperti taufan, gempa bumi dan akhir sekali ombak tsunami, sudah pasti banyak nyawa yang terkorban. Kali ini jumlah amat besar sekali kerana ia di luar jangkaan dan tiada amaran diberikan dan terjadi di beberapa buah negara.
Ada yang berkata jika ada sistem amaran mungkin bilangan kehilangan nyawa boleh dikurangkan. Kalau malapetaka itu dari gunung berapi, tentu amaran mudah diberikan kepada penduduk tempatan; akan tetapi apabila gegaran itu berlaku di dasar lautan dengan kadar yang tinggi hingga 9 pada skala Richter, maka amat besar dan meluas kesannya.
Rakyat Malaysia telah memberi contoh yang amat baik dan simpati yang tinggi kepada mangsa tsunami terutama di negara sendiri, di samping memberi bantuan dan pertolongan kepada mangsa di Aceh.
Islam sememangnya mengunjurkan supaya berbuat kebajikan kepada orang yang memerlukan, bahkan dalam keadaan sekarang wajib kita menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk dan derma. Apabila ramai yang melakukan, nescaya yang sedikit akan menjadi bukit. Sebatang lidi apabila dikumpulkan ia akan mendatangkan faedah yang besar.
Selain bantuan berbentuk kebendaan, bantuan berbentuk kejiwaan atau spiritual patut juga diberikan. Para ahli psikologi dan psikiatrik telah memulakan tugas mereka bagi membantu mengatasi trauma yang berlaku pada diri sesetengah mangsa malapetaka ini. Bagaimanapun masih ada perkara yang boleh disumbangkan kepada mangsa tsunami iaitu nasihat dari aspek agama yang menyentuh keimanan dan kejiwaan.
Mereka perlu diberi penjelasan dari sudut keagamaan tentang sesuatu malapetaka yang menimpa diri. Iaitu dengan memberitahu cerita-cerita yang terkandung dalam al-Quran.
Begitu juga menghuraikan kejadian-kejadian yang berlaku di dunia yang ada kaitan dengan akidah. Supaya mereka lebih bersabar dan tabah menghadapi qada dari Allah s.w.t. Selain suratan takdir, ia juga sebagai ujian atau iktibar semasa hidup di dunia ini.
Dalam al-Quran ada menceritakan tentang manusia apabila ditimpa kesusahan, sama ada bersabar atau tidak. Dalam surah al-Maarij, ayat 20 yang bermaksud:
Apabila ditimpa kesusahan, ia sangat resah dan gelisah.
Dalam al-Quran ada menceritakan tentang apa yang akan berlaku pada dunia di masa akan datang seperti firman-Nya dalam surah Infitar, ayat 1 yang bermaksud:
Apabila langit terbelah, Dan apabila bintang-bintang gugur bertabur, Dan apabila lautan pecah bercampur-baur.
Ayat di atas menjelaskan Allah s.w.t. telah memberikan peringatan tentang setiap kejadian dan peraturan atas sunah alam; akan tetapi kejadian-kejadian ini pada suatu ketika akan sampai tempoh akhir kewujudannya.
Apa yang kita saksikan dan dialami oleh mangsa tsunami adalah sedikit pengalaman daripada gambaran yang akan berlaku pada alam ini yang usianya telah amat lama, dan kita tahu bahawa kehidupan ini akan fana jua. Oleh itu kesabaran, keinsafan dan keimanan perlu ada pada setiap diri dan percaya dengan takdir Allah s.w.t.
Dalam surah al-Baqarah ayat 154 firman Allah yang bermaksud:
Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.