Alhamdulillah, kita menyambut lagi Maal Hijrah tahun 1435 Hijriah bersamaan 2013 Masihi. Sebagai manusia yang perlu diperingatkan dari masa ke semasa, sambutan Maal Hijrah menjadi wadah mengingati peristiwa hijrah nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah yang sudah tentu menjadi teladan sepanjang masa kepada umat Islam. Penghijrahan nabi SAW telah menjadikan umat Islam pada ketika itu daripada lemah menjadi kuat sehingga boleh membentuk masyarakat yang bersatu dan dapat menggerunkan musuh Islam.
Hijrah terbahagi kepada dua jenis. Pertama iaitu meninggalkan satu tempat ke tempat baharu yang lain seperti dari negara kufur kepada negara Islam, negara yang penuh dengan huru-hara kepada negara yang lebih aman. Kedua, hijrah bermaksud manusia meninggalkan perbuatan dosa, maksiat dan setiap perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Ia lebih bersifat maknawi dalam peningkatan mutu diri. Hijrah akhirnya membawa umat Islam kepada keadaan yang lebih baik untuk kelangsungan hidup mereka dalam mencari kesatuan, kekuatan demi memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi.
Dalam membina kesatuan ummah, hijrah dapat membawa kekuatan dalam segala perkara yang menyentuh kepentingan ummah dan manusia sejagat samada dalam hidup beragama, ekonomi dan juga sosial. Kesatuan ini adalah penting apatah lagi umat Islam kini bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar bahkan di kalangan mereka sendiri yang tidak faham atau menjadi ejen kepada penentang Islam. Kesatuan ummah dapat dicapai apabila umat Islam menjadikan ikatan akidah sebagai asas perhubungan sesama mereka. Sebahagian daripada ikatan akidah ialah mengikut teladan yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad SAW. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda: “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah,”. (Imam Malik).
Oleh itu perpecahan, termasuk risikonya sehingga membantut agenda ummah perlu disempadankan. Risiko yang membawa perpecahan umah termasuk bertelagah dalam perkara yang bersifat duniawi yang tiada kaitan dengan keagamaan. Dalam isu agama pula, risiko perpecahan ialah apabila umat mempertahankan pandangan dan kefahaman masing-masing secara melampau dalam perkara furuk atau cabang agama.
Risiko perpecahan yang membawa kepada kelemahan umat dapat dihindarkan apabila umat Islam benar-benar menghayati peristiwa hijrah baginda SAW. Peristiwa hijrah merupakan sebahagian daripada sunnah baginda SAW.
Baginda SAW bersama para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi bukan sahaja menjadi titik asas kepada kekuatan dakwah Islam bahkan kepada kekuatan dan perpaduan ummah. Hijrah baginda SAW bukan kerana takut kepada penentangan kaum Quraish di Mekah tetapi mencari asas kepada pembinaan suatu ummah yang lebih kuat dan bersatu padu. Dengan perancangan yang bijak, pengorbanan daripada para sahabat, maka hijrah ke Madinah akhirnya tercapai.
Aspek pengorbanan adalah penting dalam sebarang bentuk hijrah yang ingin kita lakukan kerana adalah sukar bagi seorang individu untuk meninggalkan tempat tinggal, negara dan kehidupan, atau tabiat yang mereka sudah biasa dengannya.
Dalam usaha membawa kesatuan ummah, nabi SAW membina masjid untuk orang mukmin berkumpul. Ketika bermukim selama empat hari di Quba, baginda SAW mendirikan masjid di situ. Dalam perjalanan dari Quba ke Medinah, baginda turut mendirikan masjid di perkampungan Bani Salim bin Auf di Wadi Ramuna ketika tiba waktu untuk solat Jumaat. Apabila baginda SAW tiba di Madinah, kerja pertama yang dilakukan ialah membina masjid.
Masjid merupakan lambang perpaduan dan kesatuan umat Islam. Solat berjamaah, solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya menjadi simbol zahir kepada ikatan persaudaraan sesama ummah. Ia menggambarkan kesatuan ummah dalam tindakan, matlamat dan perjuangan mereka.
Seterusnya dalam usaha meminggirkan perpecahan di kalangan para sahabat, baginda SAW menganjurkan persaudaraan di antara kaum Muhajrin yang datang dari Mekah dengan kaum Ansar yang merupakan penduduk Islam Madinah yang menyokong perjuangan baginda SAW.
Persaudaraan yang membawa kesatuan umat Islam penting ketika itu demi untuk menyebar dakwah Islam, membina ukhwah masyarakat Islam tanpa membezakan penduduk asal atau pendatang, mengelakkan wujud tidak puas hati di kalangan mereka, menjadikan kaum Muhajirin selesa di tempat baharu.
Persaudaraan ini menjadi teladan kita kepada betapa pentingnya kesatuan ummah yang tidak mengira kaum dan keturunan dalam Islam. Ini termasuk elemen permuafakatan dan saling tolong-menolong dalam mencapai agenda ummah apatah lagi dalam konteks umat Islam sekarang.
Apabila umat Islam di Madinah telah bersaudara dan bersatu padu, nabi SAW membina pula perhubungan dengan masyarakat bukan Islam di Madinah iaitu Yahudi dan Nasrani. Baginda mewujudkan kesepakatan dan kerjasama dengan golongan ini. Kesepakatan ini dikenali sebagai piagam Madinah yang mengariskan antara lain bahawa nabi Muhammad SAW sebagai ketua negara, penduduk perlu hidup aman tanpa hasad dengki, mereka bebas mengamalkan agama masing-masing, semua penduduk Madinah bekerjasama mempertahankan kota berkenaan daripada ancaman luar. Piagam Madinah bertujuan mewujudkan suasana aman dan damai di kalangan penduduk. Dengan itu nabi SAW berjaya membentuk daulah Islam dengan menjadikan Piagam Madinah sebagai asas kepada perlembagaan negara.
Teladan dan iktibar yang boleh kita ambil sebagai generasi Islam terkemudian daripada peristiwa Hijrah nabi SAW ialah perpaduan dan kesatuan akan membawa kepada kekuatan ummah. Apabila ummah kuat maka mereka mampu memimpin bukan sahaja di kalangan masyarakat sendiri bahkan orang luar. Ummah akan turut disegani serta digeruni oleh golongan lain. Tetapi jika sebalikya, perpecahan yang berlaku akan menjadikan umat Islam mundur ke belakang dan golongan lain akan mengambil kesempatan di atas kemunduran ini dalam segala aspek kehidupan.
Perpecahan ummah adalah musuh nombor satu umat Islam. Dengan itu segala risiko yang membawa kepada perpecahan perlu ditangani sebaik-baiknya di semua peringkat, daripada peringkat individu sehinggalah kepada pemimpin masyarakat serta pihak berkuasa berkenaan. Ilmu dan teladan yang baik menjadi asas kepada usaha menguruskan risiko perpecahan ummah.