Daging kultur (cultured meat) semakin menjadi topik utama dalam perbincangan global tentang teknologi makanan masa depan. Daging kultur dipromosikan sebagai alternatif yang lebih lestari dan berpotensi mengurangkan pergantungan kepada penternakan tradisional. Daging yang dihasilkan melalui teknik kultur sel ini sering digambarkan sebagai penyelesaian kepada isu iklim, kebajikan haiwan dan keselamatan makanan. Namun, di sebalik naratif positif tersebut, persoalan tentang kesihatan dan keselamatan daging kultur masih menuntut penjelasan menyeluruh terutamanya apabila teknologi ini mula menghampiri tahap pengkomersialan.
Daging kultur dihasilkan melalui proses membiakkan sel otot haiwan dalam persekitaran makmal atau bioreaktor. Walaupun kelihatan seperti inovasi tersebut mampu mengurangkan kebergantungan kepada penyembelihan haiwan, teknologi ini sebenarnya melibatkan banyak komponen biologi dan kimia yang memerlukan penelitian rapi sebelum boleh dianggap selamat untuk dimakan.
Antara hujah utama penghasilan daging kultur ialah potensi mengurangkan risiko pencemaran mikrobiologi yang biasanya berlaku dalam rantai pemprosesan daging konvensional. Penyakit bawaan makanan yang berpunca daripada bakteria seperti Salmonella dan E. coli sering dikaitkan dengan proses penyembelihan, pemotongan dan penyimpanan daging. Dengan menghasilkan daging dalam persekitaran yang steril dan terkawal, risiko ini dikatakan dapat dikurangkan. Selain itu, daging kultur secara teorinya tidak memerlukan penggunaan antibiotik sekali gus berpotensi mengurangkan masalah rintangan antibiotik (antimicrobial resistance) yang membimbangkan pakar kesihatan dunia hari ini.
Semua kelebihan teknologi tersebut masih berada di tahap teori dan kajian awal. Masyarakat pengguna perlu juga memahami bahawa daging kultur belum diuji secara meluas dan belum ada data yang kukuh tentang impilaksinya apabila dimakan secara berterusan. Apa jua jenis produk yang memasuki pasaran perlu melalui proses penilaian ketat termasuk juga daging kultur. Kepekaan pengguna terhadap label, amaran keselamatan dan maklumat rasmi daripada pihak berkuasa makanan negara amat perlu dititikberatkan. Oleh kerana teknologi ini masih baharu, pengguna disarankan agar mengambil pendekatan berhati-hati tetapi berfikiran terbuka, merujuk garis panduan rasmi serta memastikan setiap produk mematuhi standard keselamatan dan bagi umat Islam memerlukan piawaian halal yang jelas. Dengan kata lain, teknologi daging kultur bukan sesuatu yang harus ditolak secara membuta tuli, tetapi ia juga bukan sesuatu yang wajar diterima tanpa penilaian kritikal yang berterusan.
Hakikatnya, teknologi ini juga membawa risiko tersendiri. Salah satu kebimbangan utama adalah kontaminasi semasa proses kultur sel. Walaupun keadaan bioreaktor kelihatan terkawal, ia tetap terdedah kepada risiko pencemaran oleh bakteria, kulat atau virus jika berlaku kegagalan dalam prosedur kebersihan. Ini akan memberi implikasi besar kepada keselamatan pengguna kerana mikroorganisma tertentu boleh menghasilkan toksin atau menjejaskan struktur sel. Justeru, dunia saintifik masih perlu berhati-hati dan memerlukan lebih banyak bukti untuk jangka panjang.
Antara isu lain yang tidak kurang penting ialah media kultur yang digunakan untuk membiakkan sel. Media mengandungi nutrien, hormon dan faktor pertumbuhan yang menyokong perkembangan sel. Sebahagian besar penyelidikan awal daging kultur menggunakan Fetal Bovine Serum (FBS), iaitu serum yang diekstrak daripada darah anak lembu. Selain menimbulkan persoalan etika dan kehalalan, FBS juga berisiko mengandungi patogen atau bahan biologi yang tidak seragam menyebabkan ia tidak sesuai digunakan dalam penghasilan makanan. Walaupun kini terdapat usaha menggantikan FBS dengan media bebas serum atau media sintetik, formula baharu tersebut juga memerlukan ujian toksikologi terperinci. Persoalannya, adakah bahan dalam media ini benar-benar selamat dan tidak meninggalkan residu dalam produk akhir?
Selain itu, kestabilan genetik sel yang dibiakkan untuk jangka masa panjang juga muncul sebagai isu keselamatan yang sering dibangkitkan oleh saintis. Sel yang melalui proses pembiakan berulang berpotensi mengalami mutasi genetik. Jika mutasi ini menyebabkan sel menghasilkan protein atau bahan kimia baharu, maka ia boleh memberi risiko kepada kesihatan pengguna. Amalan memantau profil genetik sel menjadi keperluan penting bagi memastikan tiada perubahan tidak diingini berlaku semasa proses penghasilan daging. Dari sudut nutrisi pula, daging kultur sering dipromosikan sebagai “lebih sihat” kerana komposisi lemaknya dikatakan boleh diubah suai. Walaupun benar dari segi teori, realitinya belum ada kajian klinikal jangka panjang yang dapat membuktikan kesan pemakanan daging kultur ke atas manusia. Kebanyakan data yang ada pada masa sekarang hanya melibatkan ujian makmal atau analisis nutrisi asas. Oleh kerana kajian masih di peringkat awal dan belum menyeluruh, masyarakat perlu berhati-hati dengan hal tersebut.
Persoalan keselamatan juga berkait rapat dengan aspek regulasi dan pemantauan hukum oleh agensi keselamatan makanan. Food and Drug Administration (FDA) dan United States Department of Agriculture (USDA) telah memulakan langkah awal untuk menilai risiko teknologi ini sebelum membenarkan kelulusan terhad kepada beberapa produk ayam kultur. Di Eropah pula, European Food Safety Authority (EFSA) sedang membangunkan garis panduan terperinci untuk menilai bahaya biologi, kimia dan teknologi makanan berasaskan kultur sel. Realitinya, dunia masih berada dalam fasa mengenal pasti risiko dan belum mencapai konsensus sepenuhnya. Ini bermakna Malaysia juga perlu membina kapasiti sendiri dalam penilaian keselamatan daging kultur dan tidak bergantung sepenuhnya kepada keputusan luar.
Daging kultur mempunyai potensi besar untuk menjadi sebahagian daripada sistem makanan masa depan, tetapi ia bukan hadir tanpa risiko. Pengguna harus memahami bahawa teknologi ini masih baharu dan memerlukan banyak kajian tambahan sebelum boleh dianggap benar-benar selamat. Daripada sudut kesihatan, keselamatan dan syariah, daging kultur memerlukan pendekatan berhati-hati, penilaian saintifik yang menyeluruh dan panduan agama yang jelas.
Perkara paling penting ialah memastikan setiap inovasi makanan memenuhi prinsip asas iaitu mesti selamat, berkhasiat dan bersih. Dalam konteks Islam, makanan juga perlu menepati piawaian halalan toyyiban iaitu halal dan membawa kebaikan kepada tubuh serta jiwa manusia. Daging kultur mungkin menjadi sebahagian daripada masa depan negara, tetapi masa depan ini perlu dibina atas landasan ilmu, integriti dan tanggungjawab bersama.

