Pertanian merupakan satu kegiatan ekonomi yang telah memberikan sumbangan kepada pembangunan negara. Bidang pertanian sangat penting kerana peranannya dalam menyediakan makanan untuk penduduk. Dalam pada itu, sektor ini juga adalah pemangkin kepada sektor perindustrian negara. Oleh itu, untuk mencapai taraf negara maju, Malaysia tidak boleh menyisihkan sektor pertanian. Kemajuan dalam perindustrian semata-mata tidak akan menjamin kelangsungan sebuah negara maju sebegini.
Walaupun sangat penting, sektor pertanian di Malaysia masih belum mampu membekalkan 100 peratus bekalan makanan untuk rakyat. Buat masa ini, kita masih bergantung kepada impot makanan. Tahun lalu, Malaysia mencatatkan defisit perdagangan makanan sebanyak RM7.4 billion. Angka ini dijangka mencecah RM11 billion pada 2010 jika tiada langkah diambil untuk membendung kemasukan lambakan import.
Kebergantungan kepada negara luar untuk membekalkan makanan bukanlah satu sifat yang baik. Bayangkan jika negara luar itu tidak mampu lagi membekalkan makanan kepada kita atas sebab-sebab peperangan mahupun bencana alam, apakah yang akan jadi kepada negara ini?
Oleh itu, hal ini sangat berkait dengan ciri keselamatan negara. Jadi pembangunan sektor pertanian boleh dianggap sebagai satu usaha membina benteng pertahanan negara. Sesebuah negara yang dapat menghasilkan makanan untuk penduduknya tanpa perlu bergantung kepada makanan impot sebenarnya berada dalam keadaan yang selamat. Apatah lagi jika mereka mampu menghasilkan makanan untuk diekspot ke negara luar.
Amalan pertanian bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Islam. Malah amalan ini amat dituntut dalam agama kerana tanpa pertanian maka tiadalah makanan dan ini akan menjejaskan umat. Tujuan hidup manusia sbukan sahaja untuk memelihara alam ini tetapi juga untuk memakmurkannya. Oleh itu, tanah serta sumber-sumber alam yang lain (air, cahaya, udara, haiwan) perlu dimanfaatkan dengan bijak untuk kesejahteraan manusia.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Abu Hurairah menceritakan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. mengingatkan sahabat-sahabat yang mempunyai tanah untuk mengerjakan tanah tersebut (bertani). Namun, jika tidak berkemampuan, tanah itu tidak boleh dibiarkan kosong tetapi hendaklah mengupah orang lain mengerjakan tanah tersebut.
Malah, dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah mengiktiraf individu-individu yang mengerjakan tanah yang tiada pemiliknya kerana ini adalah satu usaha yang sangat baik. Oleh itu, tanah yang ada tidak boleh dibiarkan kosong tanpa dikerjakan dan ini adalah tanggungjawab semua orang (bukan hanya pemilik tanah).
Mensia-siakan faedah tanah yang ada untuk amalan pertanian adalah satu bentuk pembaziran dan sikap sebegini adalah dibenci dalam Islam. Pada satu ketika, Abu Umamah Al-Bahili menceritakan bagaimana Rassulullah menegur sahabat yang memiliki bajak dan perkakasan pertanian yang lain tetapi tidak digunakan (disia-siakan). Rasulullah mengingatkan bahawa Allah akan mendatangkan kehinaan kepada mereka yang mensia-siakan peralatan sebegitu.
Jelaslah bahawa usaha bertani untuk menyediakan makanan bagi keluarga dan orang lain adalah satu tugas yang mulia. Malahan orang Melayu sendiri percaya bahawa “berbudi pada tanah tidak akan membawa rugi”. Oleh itu, bidang pertanian sewajarnya dimajukan.
Walau bagaimanapun, bidang pertanian di negara kita berhadapan dengan masalah ketiadaan peserta. Ini bermaksud, tidak ramai orang yang berminat untuk menceburi bidang pertanian. Bidang ini tidak menjadi pilihan kerana pengeluaran makanan dari amalan pertanian seringkali dikaitkan dengan penduduk luar bandar dan kemiskinan. Pandangan seperti ini timbul kerana kita tidak dapat melihat faedah bidang pertanian yang sebenarnya begitu besar.
Dengan itu, masyarakat perlu disedarkan bahawa bidang pertanian mempunyai faedah yang sangat tinggi. Apatah lagi, bagi masyarakat Islam yang memerlukan barangan halal. Dengan jumlah 1.3 billion orang Islam di seluruh dunia, maka peluang untk maju dalam bidang ini sangat luas.
Sebenarnya, mengubah imej pertanian ini perlu bermula dari awal lagi. Oleh itu, bidang pendidikan boleh digunakan sebagai satu alat untuk mengubah imej bidang pertanian yang sering dikaitkan dengan kemiskinan. Usaha sejak dari awal ini (di kalangan pelajar) diharapkan dapat mengubah corak pemikiran masyarakat terhadap bidang pertanian. Sebagai perbandingan, di Filipina, matapelajaran pertanian telah diajar sejak dibangku sekolah lagi. Melalui pembelajaran, pelajar-pelajar didedahkan dengan kepentingan pertanian.
Selain itu, mahasiswa universiti yang bakal menamatkan pengajian juga perlu didedahkan kepada bidang pertanian. Mereka boleh memilih bidang pertanian sebagai salah satu pilihan kerjaya. Jika ini berjaya, masalah 60,000 siswazah menganggur mungkin boleh dikurangkan.
Selain itu, amalan pertanian perlu digalakkan sebagai satu gaya hidup. Ini bukan sahaja menjimatkan malah dapat mengelakkan masalah keracunan makanan akibat penggunaan bahan kimia yang tinggi dalam proses penanam atau penternakan. Untuk pengetahuan, amalan menanam atau menternak untuk kegunaan sendiri merupakan satu perkara yang biasa di Jepun. Tanah yang kecil di sekeliling rumah tidak pernah dibiarkan kosong. Apabila ditanya kenapa mereka suka bertani maka mereka akan menjawab bahawa jika tidak menanam tanaman mereka sendiri, maka siapakah yang akan memberikan mereka makanan? Lihatlah betapa mereka memandang mulia kerja bertani ini. Malahan hasil tanaman atau penternakan turut dijual atau diberikan kepada jiran tetangga apabila tiba masanya. Bertani untuk kegunaan sendiri sebeginilah yang perlu menjadi ikutan.