Sakinah dan mawaddah. Kedua-duanya (ketenangan dan berkasih sayang) amat sinonim bagi merujuk situasi keluarga yang sejahtera dan bahagia. Sementara perkahwinan pula adalah sesuatu yang amat tinggi nilainya apabila ia dilihat sebagai sebahagian daripada pelaksanaan peranan manusia sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini.
Sebenarnya, keluarga yang benar-benar mencapai kesejahteraan dan menikmati kebahagiaan adalah keluarga yang menunaikan prinsip-prinsip maqasid al-Shariah. Dalam hal ini maqasid al-Shariah secara asasnya bermaksud sebagai membuat kebaikan atau memberi manfaat, dan pada masa yang sama menolak keburukan serta menghilangkan mudarat.
Maqasid sebagai kata jamak maqsad, memberi maksud sebagai matlamat atau tujuan. Dalam konteks ini ia merujuk kepada kelangsungan hidup dan kepentingan manusia yang berhubung secara langsung dengan agama, diri atau nyawa, akal, keturunan dan harta. Sesetengahnya turut meletakkan kepentingan maruah yang sudah tentu adalah munasabah untuk diterima oleh semua manusia.
Kefahaman dan penerimaan tentang maqasid dalam konteks kekeluargaan akan meletakkan satu standard bahawa keluarga yang stabil adalah keluarga yang dapat memelihara, mempertahankan atau menyediakan suasana kondusif terhadap kepentingan perkara-perkara tersebut.
Kepentingan nyawa boleh dilihat dari beberapa aspek termasuklah dari sudut kesihatan dan keselamatan. Contoh dari aspek keselamatan, apa sahaja bentuk rumah yang menjadi tempat berteduh untuk ahli keluarga perlulah berkeadaan selamat untuk diduduki. Selain ia membenarkan manusia untuk keluar dengan mudah apabila berlaku sebarang kecemasan.
Menjaga kepentingan akal pula contohnya adalah dengan memberi didikan yang baik kepada anak-anak supaya apabila mereka dewasa kelak, mereka akan menjadi seorang dewasa yang mempunyai kebernasan fikiran dan mental yang sihat. Mental yang sihat sudah pasti akan memberi pengaruh positif terhadap emosi. Keadaan ini tentunya akan dapat membina personaliti yang positif, dan menjadi seorang remaja atau dewasa yang boleh memikirkan baik buruk sesuatu perkara. Sudah tentu individu-individu sebegini dapat menyumbang ketenteraman dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam aspek keturunan pula, setiap bayi yang dilahirkan dalam keluarga Islam seharusnya mempunyai nasab yang jelas dan diiktiraf syariat. Anak itu adalah daripada benih yang halal dan pernikahan yang sah, dan bukannya anak yang lahir di luar pernikahan. Anak tidak sah taraf hakikatnya tidak perlu ada dalam mana-mana masyarakat.
Walau bagaimanapun, amat menyedihkan kelahiran anak tidak sah taraf semakin meningkat dan seolah-olahnya tidak terbendung. Rekod Jabatan Pendaftaran Negara mendedahkan bahawa sebanyak 159,725 kelahiran anak tidak sah taraf, didaftarkan di seluruh negara bagi tempoh 2013 sehingga September 2016, dan jumlah berkenaan hanya membabitkan wanita Islam. Dikatakan, kebanyakan kes kelahiran anak luar nikah berpunca daripada kecetekan pendidikan agama dan moral.
Sedangkan, penekanan Syariah dalam aspek ini termasuklah dengan meletakkan panduan sebagai langkah-langkah pencegahan yang melibatkan hukum-hakam mengenai aurat dan batas-batas pergaulan. Didikan mengenai kedua-duanya tentulah bermula dari rumah, yang kemudiannya akan dibawa dan diamalkan ketika berada di luar.
Sebagai pengajaran untuk kita semua, dalam pembentangan Kesan Kemusnahan Struktur Kekeluargaan kepada Kesihatan Mental dan Sosial Masyarakat oleh Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, menyatakan bahawa di Sweden, 55% kanak-kanak lahir di luar ikatan perkahwinan dengan kebanyakan ibu bapa bersekedudukan.
Selanjutnya, dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal dengan ibu atau bapa tunggal, sebanyak 50% terdedah kepada masalah psikologi, mengalami ketagihan dadah atau alkohol dan terlibat dengan cubaan bunuh diri. Fakta berkenaan juga menyatakan bahawa anak-anak yang dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan yang sah adalah 75% lebih terdedah untuk menyaksikan ibu bapa mereka berpisah menjelang umur mereka 15 tahun. Hal yang demikian menunjukkan pelbagai kesan mudarat boleh akibat sikap mengambil enteng terhadap perkara yang ditekankan oleh agama.
Kelahiran anak luar nikah juga turut menjejaskan kepentingan dan perlindungan harta benda. Bagaimana ia berlaku? Setiap anak yang dilahirkan seharusnya mempunyai hak pusaka terhadap kedua-dua belah ibu bapanya kerana Syariah telah menyusun secara sistematik mekanisme pengurusan harta keluarga supaya maqsad Syariah dari aspek harta benda tercapai. Kewujudan anak luar nikah telah menafikan dirinya daripada memanfaatkan sistem yang telah disusun begitu cantik.
Maqasid al-Shariah dalam kekeluargaan perlu dimulai dengan penjagaan agama. Pasak utamanya adalah pemupukan dan pemeliharaan akidah yang sudah semestinya melibatkan penjagaan solat secara serius dan teliti. Pemeliharaan solat dapat mencegah daripada berlakunya perbuatan keji. Sebagaimana yang dimaksudkan oleh firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 45, “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih utama (berbanding ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Ahli sosiologi Paul R. Amato melalui tulisannya yang bertajuk, The Impact of Family Formation Change on the Cognitive, Social, and Emotional Well-Being of The Next Generation pada tahun 2005 meramalkan bahawa jika Amerika Syarikat mempunyai keutuhan keluarga (dan institusi perkahwinan yang sah), sebagaimana yang pernah mereka nikmati pada tahun-tahun 1960-an, negara mereka akan dapat mengelakkan sejumlah 750,000 kanak-kanak daripada mengulangi gred kelas.
Seterusnya dapat mengelakkan daripada wujudnya sejumlah 1.5 juta tahanan kelas nakal, 500,000 masalah yang berkaitan dengan ponteng sekolah di peringkat remaja, 600,000 orang kanak-kanak dirujuk untuk terapi kaunseling serta 70,000 cubaan bunuh diri.
Apabila membincangkan perkara ini, ia juga bermakna unit-unit keluarga yang mempunyai halangan atau masalah dalam usaha mencapai sakinah dan mawaddah yang berprinsipkan maqasid al-Shariah harus dibantu. Semua pihak dari segenap lapisan masyarakat harus bersama-sama untuk mengenal pasti isu, permasalahan dan seterusnya mencari jalan penyelesaian. Demi kepentingan inilah, IKIM akan menganjurkan Muzakarah Pakar Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Berlandaskan Maqasid al-Shariah pada 11 Oktober 2017.