Tidaklah mengejutkan apabila jawapan balas kepada artikel saya (Debunking Multiculturalism, The Star, 22.8.06) datang dari seorang ahli teologi Kristian, Ng Kam Weng, dari Kairos Research Centre. Dan tiada apa yang mengejutkan bagi seorang ahli teologi Kristian masa kini mempertahankan sekularisme. Ia hanya mengingatkan kita kepada nama-nama seperti Harvey Cox, Paul Tillich, Karl Barth, Reinhold Niebuhr, dan ramai lagi.
Kam Weng (Multiculturism-how can it be wrong?, The Star, 25.8.06) tanpa berselindung menyatakan bahawa pandangan hidup sekular sepatutnya menjadi dasar perpaduan kebangsaan, bertentangan dengan pandangan saya, pandangan hidup agama. Pada pandangan beliau, pandangan saya itu mengandaikan wujudnya suatu agama yang dominan, yakni Islam. Pandangan saya itu pada keseluruhannya dianggap ‘tidak perlu’ dan ‘langkah mundur ke belakang’.
Kam Weng tidak bersetuju kerana beliau enggan menerima ketuanan Islam dalam negara ini. Sebagai ganti, beliau mencadangkan sekularisme, yakni satu ideologi yang bukan sahaja asing bahkan bertentangan dengan Islam.
Pada dasarnya saya dan Kam Weng menyeru ke arah perpaduan kebangsaan tetapi di bawah sepanduk yang berbeza: saya, pandangan hidup agama; Kam Weng, pandangan hidup sekular. Kam Weng fikir beliau benar kerana sejarah kita, bagi beliau, bermula pada 1957; dan saya fikir beliau salah kerana sejarah kita, bagi saya, bermula ratusan tahun sebelum itu lagi.
Pada hemat saya, dengan menyebut 1957 Kam Weng telah memberikan jawapan kepada soalan saya: “…sejak bila pandangan hidup sekular menjadi pandangan hidup kita semua?” Walaubagaimanapun beliau tidak menyatakan dengan jelas jawapan kepada pertanyaan: “…siapa kata?” Namun, bagi pembaca yang bijaksana, jawapannya amat jelas sekali.
Kam weng menyarankan saya mengambil sikap merendah diri dan belajar dari pengalaman sejarah, bukannya menghukum dengan sinis. Bagi beliau konflik-konflik yang sedang berlangsung di Asia dan Afrika menuntut kepada suatu bentuk penyelesaian seperti yang dicapai oleh Perdamaian Westphalia.
Bagi saya inilah yang dinamakan eurocentrism: suatu bacaan songsang terhadap peristiwa-peristiwa semasa dari seseorang yang percaya bahawa masyarakat Barat adalah yang paling maju dan murni dari segala masyarakat manusia. Yang lain-lain sentiasa tertinggal di belakang dalam suatu proses evolusi yang telah ditentukan kesudahannya. Mereka tidak dapat mengelakkan mengalami apa yang Barat telah alami sebelum ini. Oleh itu segala kesimpulan yang telah mereka buat juga tidak boleh kita nafikan kebenarannya.
Teras kepada hujah saya ialah apa yang saya anggap fakta sejarah bahawa “sekularisme” sebagai suatu ideologi, dan “sekularisasi” sebagai suatu proses adalah suatu fenomena yang berkenaan dengan budaya dan tamadun Barat, yang mana agama Kristian adalah salah satu unsur utama. Kali ini kita biarkan pembaca sendiri menetukan sama ada bacaan saya terhadap sejarah agama Kristian adalah songsang seperti yang dituduh Kam Weng.
Perdamaian Westphalia yang ditandatangani pada 24 Oktober 1648 sebenarnya merupakan persempadanan semula peta Eropah berdasarkan prinsip-prinsip yang dipersetujui sebelumnya dalam Perdamaian Augsburg, di mana agama seseorang itu ditentukan oleh wilayah yang didiaminya.
Selama 30 tahun, gerombolan tentera dari seluruh pelusuk Eropah menjarah bumi Jerman, membunuh, merogol, membakar, merampas, menyebabkan kebuluran dan penyakit. Menjelang 1640 bandar-bandar di Jerman musnah binasa, kampung dan ladang ditinggalkan, dan jalan-jalan musnah. Para penduduk yang kelaparan terpaksa memakan anjing dan kuda, bahkan mayat manusia.
Itulah keadaannya apabila pihak-pihak yang bertelagah memulakan perundingan untuk menghentikan peperangan, yang akhirnya membawa kepada perdamaian damai. Apa yang dicapai itu bukanlah boleh dinamakan ‘tolak-ansur’, kerana pihak-pihak yang berperang sebenarnya sudah tidak mampu lagi meneruskan peperangan agama yang tidak nampak kesudahannya.
Hanya pada 1962, pada persidangan Majlis Vatican Kedua, golongan bukan Katholik dapat melihat dokumen-dokumen yang menyatakan penamatan permusuhan gereja Roman Katholik terhadap agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan lain, yang mengiktiraf kewujudan gereja-gereja Protestan, dan mengutuk anti-semistisme.
Apakah sebenarnya pengajaran yang kita perolehi dari Reformasi, perang agama, dan Perdamaian Westphalia? Semua itu adalah masalah Kristian Barat dan masyarakat Barat. Dari pengalaman mereka ‘agama’ bererti ‘penindasan’, dan pengalaman mereka langsung tiada kena-mengena dengan kita.
Gereja, pada awalnya, adalah sumber petunjuk akhlakiah kepada masyarakat Rome. Setelah Maharaja Constantine memeluk Kristian segala-galanya berubah. Gereja berubah menjadi pihak berkuasa dalam masyarakat, memiliki kemegahan, tiada tolak-ansur, dan menindas. Pada era Reformasi dan selepasnya, gereja telah bertindakbalas dengan cara yang amat buruk terhadap musuh-musuhnya demi mempertahankan kedudukannya yang semakin terhakis sebagai satu-satunya jurucakap Tuhan.
Bagi orang Barat, Reformasi adalah peristiwa yang paling besar yang berlaku sebelum kemunculan zaman moden. Reformasi telah membinasakan ketuanan kasta tertentu terhadap institusi kepaderian dan memindahkan fungsinya kepada individu. Gereja, walaupun tidak binasa sepenuhnya, mula kehilangan pengaruh terhadap orang ramai.
Hari ini gereja terpaksa membuktikan dirinya bagi terima oleh manusia moden sekular. Demi untuk memuaskan kehendak manusia hari ini dogma-dogma agama yang selama ini diterima benar kini perlu difikirkan semula atau diberikan rupa baru. Para ahli teologi Kristian kini mengakui tugas utama mereka pada hari ini ialah memberikan justifikasi terhadap agama Kristian, kerana paksi pemikiran manusia telah berubah dari soal kesejahteraan akhirat (syurga dan neraka) kepada soal keperluan dan kegunaan agama dalam kehidupan dunia.
Bagi ramai ahli teologi dan pemimpin gereja penyebaran sekularisasi bukanlah perkara baru, dan ia tidak semestinya buruk. Justeru, peristiwa-peristiwa yang membawa kepada keruntuhan institusi agama dan idea-idea yang berkaitan dengannya kini ditafsirkan sebagai perbuatan Tuhan sendiri dalam sejarah. Sekularisasi, oleh itu, bukanlah ancaman kepada agama Kristian, sebaliknya pemberian Tuhan kepada manusia kerana ia berakar-umbikan ajaran Injil sendiri.
Kita terpaksa menyatakan semua ini demi untuk mengelakkan masyarakat daripada kekeliruan. Adalah suatu ketidakadilan bagi Kam Weng menganggap 1957 sebagai hari pertama sejarah Malaysia, dan pada hari itu seluruh rakyat Malaysia telah bersetuju untuk menganut faham sekular.
Sekularisme dari segi takrifnya adalah bercanggah dengan semua agama melainkan agama-agama yang telah menyanggupi untuk disekularkan. Menganut sekularisme sebagai idelogi kebangsaan bererti menerima sekularisasi sebagai agenda kebangsaan dan itu hanya boleh dilakukan sekiranya kita semua menerima suatu bentuk sistem teologi sekular. Ia mengandaikan semua agama terbuka kepada pensekularan, ataupun, mahu tidak mahu semua agama mesti disekularkan untuk kepentingan perpaduan kebangsaan.
Idea perpaduan kebangsaan berteraskan pandangan hidup agama, yang menganjurkan prinsip-prinsip etika dan akhlak yang diterima umum bukan sahaja pluralistik bahkan juga praktikal. Ia tidak menyinggung sebarang persoalan teologi kerana ia menerima perbezaan antara agama sebagaimana ia.
Kesimpulannya, sekularisme sebagai asas perpaduan rakyat Malaysia tidak mempunyai asas sejarah, tidak masuk akal jika dinilai dari segi falsafah, dan tiada kena mengena dari segi budaya setempat. Ia membayangkan suatu pemikiran yang masih belum merdeka, yang masih terbelenggu oleh eurocentrism.