Sama ada ia dinanti atau kunjungannya disambut dengan hati yang sepi, ia tetap datang lagi. Namun, Baginda Rasulullah SAW mengatakan bahawa kita seharusnya menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Gembiranya hati menyambut kehadiran tetamu yang Allah SWT muliakan ini menandakan wujudnya iman di hati. Dalam sebuah Hadis, Rasulullah menyebut, “Telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan, maka sambutlah kedatangannya dengan penuh kegembiraan”.
Ia mencetuskan kegembiraan insan-insan yang soleh dan beriman kerana inilah masa dan tempoh yang dikhususkan untuk membersihkan jiwa, menenangkannya, mendisiplinkan diri dan menambah pahala. Sebagaimana asal kata Ramadan yang berasal dari perkataan “ramida” atau “ramad” yang bermaksud cuaca panas terik atau kemarau yang keterlaluan, yang membakar tanah. Suatu metafora rasa panas di dalam perut disebabkan menahan dahaga. “Panas”nya Ramadan kerana ia berfungsi untuk membakar dosa-dosa yang lalu dengan memohon keampunan daripada Allah SWT dan amalan-amalan soleh yang dilakukan sepanjang bulan ini.
Sesi yang disediakan Allah secara khusus ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform, malah darjat yang tinggi, pahala, kelebihan dan pelbagai keistimewaan turut disertakan sebagai suatu pakej transformasi jiwa dan diri yang amat sempurna. Di hujungnya pula suatu pengijazahan pada yang berjaya sebagai insan sesuci bayi yang baharu dilahirkan. Seperti mana bicara Rasulullah SAW yang antaranya menyebut bahawa pada awal bulan ini adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kemerdekaan dari api neraka.
Istimewanya ia sebagai latihan jiwa yang bersifat amat telus dan tulus kerana ujian-ujian yang terkandung di dalamnya hanya diselia oleh iman dan dilihat oleh Tuhan Yang Satu dan menjadikan puasa sebagai disiplin paling unggul. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda, “Allah berfirman, ‘Setiap amalan anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku mengurniakan balasan bagi puasanya itu.”
Pun begitu, bagi meraih pahala yang berlipat kali ganda, ia harus menterjemahkan sifat empati dalam bentuk tindakan. Sementelah fakir miskin gembira kerana pada waktu siang para Muslimin dan Mukmin yang berada dan kaya juga berlapar dan merasa dahaga seperti mereka, maka si fakir miskin juga menjadi sumber bagi golongan yang berada dan kaya untuk menambah pahala dengan berkongsi rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.
Inilah antara dialog antara para Sahabat bersama-sama Baginda Rasulullah SAW yang harus diambil pengajarannya bahawa bulan Ramadan bukan sahaja tempoh masa untuk menyucikan jiwa, tetapi juga sebagai wadah masa untuk memperkukuhkan silaturahim sesama umat Islam; “Wahai Rasulullah, bukankah kami semua mampu untuk mengadakan majlis berbuka puasa untuk orang yang berpuasa?’ Rasulullah lantas menjawab, ‘Allah memberikan pahala ini kepada orang yang mengadakan majlis berbuka puasa untuk orang yang berpuasa walau dengan sebiji tamar, seteguk air atau susu yang (memang) lazat…”.
Sedekah atau pemberian itu tidak sekali-kali diukur atau ditimbang menurut kuantiti yang dihidangkan kepada pihak penerima, tetapi diukur menurut keikhlasan hati pemberi. Dalam bulan yang paling Allah muliakan ini setiap sedekah atau pemberian yang dilakukan dengan penuh ikhlas, akan menyuburkan kasih sayang sesama insan. Ujar Rasulullah SAW, “Wahai manusia, kamu kini hampir dengan bulan yang agung lagi penuh keberkatan. Bulan yang salah satu malamnya adalah lebih baik berbanding daripada seribu bulan…”.
Saban tahun kita menyambut dan menempuhinya. Saban tahun juga kita diperingatkan dengan keindahan dan keistimewaan yang mengiringi kedatangannya. Namun malangnya, di hujung-hujung lembaran waktu ketika ia mula meninggalkan umat manusia, kebanyakan dari kalangan kita akan menjadi lebih asyik untuk menyambut kedatangan Syawal dan tidak mengambil peluang untuk memanfaatkannya secara maksimum.
Saf-saf yang mengikuti solat terawikh akan menjadi susut bermula di pertengahan bulan dan akan menjadi lebih menyusut bila menuju ke penghujung Ramadan. Hanya sedikit manusia yang beriman yang akan beristiqamah untuk meneruskan amalan-amalan yang digalakkan untuk dilakukan dalam bulan Ramadan sehingga ke penghujungnya. Seperti bertadarus dan beriktikaf.
Sama ada kita sedar ataupun kurang menyedarinya, ia menjadi tabiat pada sebahagian kalangan masyarakat kita. Sifat “hangat-hangat tahi ayam” ini tentunya tidak menepati dengan apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa pada awal bulan yang dimuliakan ini adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan dari api neraka.
Jika ini terus menjadi kebiasaan bagi sesetengah individu Muslim, bermakna ia meninggalkan peluang keemasan untuk mempertingkatkan kedudukan puasanya. Proses untuk mempertingkatkan darjat ibadah puasa yang menjadi salah satu rukun Islam yang lima ini sebenarnya mempunyai hubung kait secara langsung dengan amalan ibadah yang mengiringi dan mengisi ibadah puasa itu sendiri. Tentunya tidak sama kualiti puasa orang yang berlapar dahaga semata-mata jika hendak dibandingkan dengan puasa orang yang mengisinya dengan amalan-amalan yang lain seperti bertilawah al-Quran, menghidupkan malam dengan bersolat sunat dan membanyakkan sedekah.
Melakukan kebaikan dengan hati yang ikhlas tentunya mengundang kegembiraan di sisi Allah dan memberi pulangan pahala kepada pelakunya. Secara timbal baliknya pula, bagi mendidik hati supaya ikhlas tentulah kita harus mengusahakannya dengan melakukan amalan soleh.
Melakukan ibadah berpuasa secara berkualiti secara konsisten sehingga ke penghujungnya adalah usaha seorang individu Muslim untuk mempertingkatkan darjat puasa dari puasa umum kepada puasa khawwas dan seterusnya puasa khawasil khawwas. Iaitu dari puasa yang hanya menahan perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan puasa kepada puasa yang menambah penahanan deria dan anggota tubuh daripada melakukan dosa dan seterusnya kepada peringkat puasa yang terbaik iaitu menahan perasaan terhadap perkara-perkara yang bersifat keduniaan dan sebarang perkara yang tidak mempunyai hubung kait dengan Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadan pada kali ini akan diisi dengan sebaik-baiknya kerana tiada kepastian kita akan menemuinya lagi pada tahun hadapan.