Bulan Oktober merupakan bulan istimewa bagi pencinta alam sekitar. Ini kerana Hari Alam Sekitar Negara (HASN) disambut pada 21 Oktober setiap tahun. Tema HASN pada tahun ini ialah “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama.” Lanjutan daripada sambutan tersebut, dari 21 hingga 27 Oktober 2016 diadakan pula Minggu Alam Sekitar Malaysia. Secara umumnya, sambutan ini merupakan satu usaha untuk menerapkan dan meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sempena sambutan tersebut, penulis ingin mengajak para pembaca memikirkan secara serius tentang alam anugerah Ilahi ini. Secara khususnya, penulis berharap para pembaca budiman sekalian dapat memikirkan tentang keadaan alam sekitar yang ingin dan akan kita “wariskan” kepada generasi akan datang. Perkataan “waris” di sini tidaklah membawa maksud bahawa alam ini hak mutlak manusia. Hakikatnya, manusia hanya pemegang amanah. Allah SWT jualah pemillik kekal alam serba indah ini. Apa yang kita perlu difahami sebagai hamba Allah SWT adalah tanggungjawab untuk “menyerahkan” alam yang dipinjam ini kepada generasi akan datang dalam keadaan sempurna.
Secara semulajadinya, setiap orang akan sentiasa memikirkan yang terbaik untuk diri dan keluarganya. Kita akan bekerja sekuat mungkin untuk memperoleh kemewahan agar dapat dikongsikan bersama keluarga. Malah, setiap orang juga akan berusaha keras untuk menghasilkan lebihan harta agar dapat diwariskan kepada anak-anak apabila tiada nanti.
Namun, pernahkah kita terfikir, bagaimanakah keadaan alam yang hendak kita tinggalkan kepada anak-anak kita nanti? Apakah kita patut meninggalkan anak-anak atau generasi akan datang dengan alam yang indah? Apakah generasi akan datang berhak menikmati udara dan air yang bersih? Atau, mungkinkah kita meneruskan sahaja cara kita menggunakan alam ini dan membiarkan generasi akan datang menyelesaikan masalah alam sekitar itu nanti?
Ironinya, alam sekitar yang kita nikmati kini juga adalah warisan daripada generasi lepas. Oleh itu, boleh sahaja kita menyalahkan generasi dahulu di atas segala malapetaka alam sekitar yang berlaku kini. Malah dalam keadaan yang melampau, kita boleh “mencuci tangan” terhadap apa sahaja yang berlaku dalam alam sekitar masa kini. Mungkin juga ada yang terfikir bahawa, “jika generasi dahulu boleh menggunakan alam ini sewenang-wenangnya, kenapa tidak kita?”
Ini adalah satu cara berfikir yang salah dan merugikan. Jika orang lain melakukan kesalahan, perlukah kita meniru kesalahan tersebut? Jika dahulunya alam ini tidak terjaga, maka wajarkah kita juga melakukan perkara yang sama? Janganlah kita lupa bahawa kerosakan alam ini telah berlaku sekian lama, malah kadar kerosakan alam itu boleh dikatakan lebih tinggi dalam generasi ini berbanding generasi terdahulu. Untungnya generasi kini ialah mereka memiliki kepakaran, teknologi dan kesedaran yang lebih meluas tentang keperluan untuk menjaga alam dengan lebih baik. Faktor-faktor ini sewajarnya menjadi pendorong ke arah pemeliharaan alam yang lebih baik.
Dengan kelebihan yang ada itu, sewajarnyalah kita “mewariskan” alam sekitar yang lebih baik kepada generasi akan datang. Namun, dalam keadaan negara yang sedang pesat membangun, terdapat pelbagai cabaran untuk mengekalkan jumlah (kuantiti) dan mutu alam sekitar pada tahap yang baik. Misalnya, ketika ini, 68 peratus daripada jumlah tanah di Malaysia dilitupi hutan. Sebaiknya jumlah ini dikekalkan agar generasi akan datang juga dapat menikmati pelbagai sumber hutan tersebut. Malah, lebih baik lagi jika nilai peratusan tersebut dapat ditingkatkan, walaupun dalam keadaan negara sedang pesat membangun.
Bukan sekadar jumlah, mutu alam sekitar juga perlu diberikan perhatian. Apalah gunanya jika negara mempunyai jumlah sumber alam yang tinggi jumlahnya tetapi mutunya tidak memberangsangkan. Pada akhirnya, sumber itu tidak dapat memberikan manfaat kepada manusia mahupun makhluk lain yang bergantung kepadanya.
Segala usaha untuk mempertahankan jumlah dan mutu alam sekitar sedia ada agar dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang adalah usaha yang mulia. Sekurang-kurangnya kita boleh berasa lega kerana keturunan kita pada masa hadapan masih dapat menikmati alam sekitar yang bermutu. Maka wajarlah dikatakan bahawa memelihara persekitaran ini memenuhi tuntutan maqasid shariah iaitu dalam konteks menjamin kesejahteraan keturunan manusia itu sendiri.
Dalam perwarisan harta, kita selalu memastikan harta tersebut dijaga dengan teliti agak apabila tiba masanya, harta tersebut dapat disampaikan kepada tangan yang berhak. Tidak mungkin kita mahu memberikan harta yang telah rosak kepada waris-waris yang tinggal. Begitu jugalah dengan alam ini. Dalam usaha memastikan alam yang bermutu dapat diwariskan kepada generasi akan datang, alam dan sumbernya ini perlulah dipelihara dan dipulihara dengan sebaik mungkin. Jika alam dan persekitaran ini rosak, maka semuanya tiada guna lagi.
Malah, jika alam sekitar ini rosak, maka tiada gunanya kita menyimpan pelbagai harta seperti wang, barang kemas dan hartanah untuk diwariskan kepada anak-anak mahupun cucu-cicit seterusnya.
Bayangkan anak-cucu kita nanti memiliki segala kekayaan harta benda tetapi hidup dalam persekitaran yang menjijikkan. Bayangkan mereka memiliki segalanya tetapi terpaksa hidup dengan memakai topeng udara kerana keadaan udara yang tersangat kotor. Sanggupkah kita jika anak cucu kita nanti hidup sebegitu? Ketika itu, ada kemungkinannya segala harta yang dimiliki sudah tidak bermakna lagi kerana kemewahan tersebut tidak lagi dapat menjamin kesejahteraan kesihatan mahupun diri mereka secara keseluruhannya.
Kesimpulannya, sama-samalah kita memikirkan cara terbaik untuk menjaga alam ini dan berusaha untuk mewariskan alam sekitar yang sejahtera kepada generasi akan datang.