Pernah suatu ketika dahulu seorang tokoh tersohor di rantau Asia Tenggara ini yang juga merupakan negarawan ulung Indonesia, iaitu Bapak Muhammad Nasir mengemukan pandangan bahawa salah satu antara gejala yang membawa kepada kelemahan yang menghambat kebangkitan umat Islam ialah ketiadaan atau kurangnya daya cipta di kalangan umat Islam itu sendiri. Apa yang diungkapkan oleh beliau sebagai tiada atau kurangnya daya cipta umat itu mungkin membawa maksud umat ini sudah kekeringan idea atau sudah muflis daya cipta sehingga tidak mampu lagi untuk mengembangkan kebolehan yang mereka miliki.
Namun hakikatnya, umat Islam sangat kaya sekali dengan kepelbagaian yang dianugerahkan Allah, baik berupa sumber bumi, kekayaan ekonomi ataupun sumber tenaga manusia yang besar. Malangnya, anugerah besar yang diberikan Allah ini tidak digunakan atau diambil faedah sepenuhnya dengan bijaksana untuk dimanfaatkan oleh umat Islam sendiri. Bahkan ianya dibiarkan sahaja dan lebih malang lagi apabila sumber kekayaan ini diraih dan diambil manfaatnya oleh orang lain.
Bagi mereka yang prihatin dengan perkembangan umat Islam, isu kekeringan fikiran atau kebekuan ‘thinking capacity’ ini sebenarnya bukanlah perkara baru malah ianya telah lama dideritai oleh umat Islam. Akibat tidak lagi mampu untuk berfikir secara ‘creative’ dan ‘innovative’, umat Islam seringkali mengambil jalan mudah dengan mengambil contoh-contoh penyelesaian dari luar untuk menyelesaikan masalah mereka terutamanya contoh-contoh dari hadarah Barat. Seringkali juga contoh penyelesaian ini didapati tidak sepadan dan tidak sesuai dengan keadaan masyarakat tempatan dan apatah lagi ianya jauh berbeza dengan pendekatan atau penyelesaian yang dianjurkan oleh Islam.
Antara golongan umat Islam yang sangat cenderung kepada contoh penyelesaian hadarah Barat ini ialah mereka yang berada dalam kerangka ‘the captive mind’, iaitu mereka yang terpelajar tetapi mempunyai pemikiran yang sudah tertawan dengan ‘kehebatan’ hadarah Barat. Golongan ini sangat kagum dengan kehebatan hadarah Barat, dan apa sahaja yang datang dari sana maka itulah yang dianggap terbaik, canggih, dan mendatangkan kemajuan. Pemikiran mereka sudah ditawan dan dibelengu dalam kotak pemikiran hadarah Barat. Malah mereka tidak mampu mencetuskan pemikiran sendiri yang asli yang sesuai dengan hakikat masyarakat setempat selain daripada berada di dalam kerangka pemikiran yang sudah dijajah oleh faham hadarah Barat.
Inilah sebenarnya yang berlaku di banyak negara orang-orang Islam yang sedang membangun. Sekali imbas kelihatannya hebat membanguan dengan kemajuan yang pesat tetapi hakikatnya tidak dapat lepas lari kekangan dan kerangka pemikiran hadarah Barat. Tidak terkecuali juga dengan apa yang berlaku di negara kita.
Meskipun kita sering mendengar laungan betapa ghairahnya untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam semua unsur pembangunan dengan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, tetapi pada dasarnya kita masih mengutamakan pembangunan kebendaan semata-mata daripada pembangunan manusia itu sendiri. Kita cuba membangunkan ekonomi golongan Muslim tanpa terlebih dahulu membangunkan ahli ekonomi supaya mengenal diri sebagai seorang Muslim dalam erti kata sebenarnya. Kita cuba membangunkan pentadbiran secara Islam tanpa terlebih dahulu membangunkan hati pentadbir-pentadbir itu supaya benar-benar mengenal dirinya dan mengenal Penciptanya.
Apabila tidak mengenal Penciptanya, maka mereka ini juga tidak mengenal asal-usul mereka, kedudukan mereka, fitrah mereka, kemampuan mereka, martabat, tempat dan nasib mereka mengikut Islam. Oleh sebab tidak kenallah, mereka tidak cintakan Islam. Mereka tidak takut kepada Allah. Akibatnya seiring dengan pembangunan kebendaan manusia yang diredai oleh Allah, mereka juga membangunkan kehidupan manusia yang dimurkai oleh Allah. Umpamanya di samping berusaha untuk menerapkan nilai-nilai yang baik di dalam masyarakat seperti menghapuskan rasuah, tetapi kegiatan rasuah terus meningkat, jumlah penagih dadah meningkat, dan gejala keruntuhan akhlak di kalangan belia dan remaja pula semakin menakutkan.
Seiringan dengan itu pula kita yang hidup dalam masyarakat yang sebegini akan terkena juga tempias buruk yang datang bersama dengan pembangunan ala Barat ini. Sama ada sedar ataupun tidak kita juga turut menyumbang dengan memperhebatkan sifat-sifat keji di kalangan kita seperti sering menodai suruhan Allah, pendendam, iri hati, pendengki, kaki fitnah, hasad, penipu, gemar pujian, suka memberi kenyataan-kenyataan kosong, mudah terpesona dengan kegemilangan Barat dan sebagainya. Kita cuba untuk mengamalkan konsep cekap, bersih dan amanah tetapi oleh sebab kita masih belum takut dan kenal Allah maka matlamat kita masih belum tercapai. Demikianlah rumitnya persoalan pembangunan umat Islam masa kini.
Apa yang kita harapkan daripada pembangunan ialah ianya selari dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Di mana tujuan utama Islam dalam pembangunan manusia itu dapat disimpulkan dalam istilah al-falah, iaitu kebahagiaan atau kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Pembangunan yang bercirikan Islam membangunkan seluruh kebolehan fitrah manusia secara berpadu dan berimbangan. Dengan kesepaduan dan keseimbangan itu diharapkan terbentuklah individu dan masyarakat yang senantiasa menyedari dirinya sebagai hamba dan khalifah Allah yang bertindak secara serentak dalam hal keimanan kepada Allah dan beramal untuk kebajikan serta kemanfaatan semua makhluk.
Dengan kesedaran dan tindakan inilah akan membawa manusia ke tahap kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat (hasanah fid-dunya wa fil-akhirah) yang menjadi tujuan utama Islam membangunkan manusia. Manusia hasil daripada pembangunan ini adalah manusia yang insaf tentang kedudukannya sebagai khalifah Allah di bumi dan hamba Allah. Inilah yang ingin kita bina menerusi pembangunan dalam acuan pandangan alam Islam, iaitu manusia insaf yang bertindak atas dasar kebenaran, kebaikan, kejujuran dan keindahan; baik yang terkandung dalam akidahnya, ibadahnya, akhlaknya dan juga masyarakatnya.
Seterusnya manusia hasil daripada pembangunan ini juga akan tegak sebagai benteng terhadap pelbagai ideologi dan andaian pembangunan yang berlawanan dengan pandangan hidup Tawhid. Apatah lagi sekiranya ia datang dari hadarah Barat yang sememangnya jelas bertentangan dengan matlamat pembangunan Islam. Manusia hasil daripada pembangunan inilah kelak melahirkan ketenteraman jiwa pada diri masing-masing, mencipta dan melahikran keluarga bahagia mengikut ciri-ciri kekeluargaan Islam dan melahirkan masyarakat yang majmuk dan tahu membawa diri di mana sahaja dan seterusnya melahirkan kelompok-kelompok ummah yang jauh lebih besar dan sesuai dengan nilai-nilai Islam.
Akhirnya, kelompok masyarakat Islam yang sebeginilah yang berupaya untuk keluar dari kejumudan kepompong ‘the captive mind’ dengan menawarkan faham-faham bernas untuk faedah umat Islam dan kembali menjulang dan meletakkan umat Islam pada tempat yang sewajarnya.