Saya percaya semua rakyat masih lagi terasa bahang Perhimpunan Agong UMNO yang berlaku pada minggu lalu. Ini kerana perhimpunan kali ini mempunyai kisahnya yang tersendiri. Kisah yang memberi kesan dramatik kepada senario politik Melayu di Malaysia, dan seterusnya kepada perjalanan pemerintahan negara. Apabila Dr. Mahathir menyuarakan hasrat beliau untuk mengundurkan diri dan kemudiannya pada hari-hari berikutnya membuktikan hasrat beliau itu, saya percaya setiap rakyat di negara ini merasa terkejut.
Bagi mereka yang telah merasa sebati dengan gaya pemerintahan beliau, tentulah merasa begitu ironinya keadaan ini. Walau bagaimanapun, mungkin bagi sesetengah pihak yang lain merasakan ini adalah peluang mereka untuk memulakan satu penghidupan baru dalam situasi politik negara. Apapun sebenarnya, pengunduran beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian sistem politik negara yang berjalan. Pemimpin datang dan pergi, silih berganti. Cuma pada kali ini, rantaian pimpinan Dr Mahathir lebih panjang berbanding dengan pemimpin-pemimpin yang terdahulu.
Begitu juga halnya dengan peristiwa yang berlaku dalam parti PAS, sebagai parti berhaluan kiri yang juga didominasi oleh orang-orang Melayu. Kehilangan Dato’ Fadzil Noor tentunya merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada barisan pembangkang dalam politik negara. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.
Kita perlu menyedari hakikat bahawa perjalanan politik negara perlu diteruskan seperti biasa dan meneruskannya sebagai rantaian perjalanan politik yang membawa kepada kestabilan yang amat kukuh dan perkasa. Dan apabila kita berbincang mengenai politik Malaysia, tentulah antara elemen yang paling penting ialah kestabilan politik Melayu atau yang sinonim dengannya, (iaitu) perpaduan Melayu. Itulah sebabnya, peristiwa yang berlaku ketika perhimpunan bagi orang-orang UMNO pada kali ini turut dirasakan oleh orang-orang bukan Melayu.
Perpaduan antara orang-orang Melayu adalah topik yang ever-green dalam perbincangan politik negara. Di sinilah saya kira, kita perlu memantapkan kefahaman kita mengenai fahaman nasionalis. Ini disebabkan nasionalisme adalah teras kepada perpaduan Melayu. Melayu perlu memahami kerana Melayu mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mengarah hala tuju negara. Sebahagian daripada orang Melayu berada dalam parti yang dominan dalam Barisan Nasional, menjadi nadi utama dalam sistem pemerintahan negara dan sebahagiannya lagi berada dalam parti berhaluan kiri yang terletak di bahunya suatu fungsi untuk mengimbangi agenda-agenda yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan.
Walau bagaimanapun, sebahagian daripada kita mungkin menganggap bahawa nasionalisme adalah antara fahaman yang lahir daripada sekularisme. Suatu fahaman yang mengasingkan agama dengan aspek kehidupan. Maka, persoalan yang timbul di sini, adakah benar nasionalisme yang dijadikan teras perpaduan orang Melayu ini juga sebahagian daripada apa yang lahir daripada sekularisme? Apakah pandangan Islam terhadap fenomena ini menurut perubahan politik semasa negara?
Menurut Tan Sri Musa Hitam, nasionalisme Melayu berbeza daripada tafsiran nasionalisme Barat. Nasionalisme Melayu adalah khas untuk orang-orang Melayu sebagai manifestasi cetusan rasa dan keinsafan bangsa Melayu. (Musa Hitam, Nasionalisme: Krisis dan Kematangan (Petaling Jaya: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd., 1986) hlm. 11; Abdul Monir Yaacob, “Perjuangan UMNO dan Perjuangan Islam dalam Konteks Masyarakat Malaysia” UMNO : Dalam Arus Politik Kebangsaan, ed.Wan Hashim Wan The, K. L.: Mahir Publications, 1993, hlm. 147). Kefahaman ini wujud kerana bangsa Melayu telah ditindas dan diperas oleh penjajah pada suatu ketika dahulu(Ibid). Dr. Burhanuddin Al-Helmy pula ketika mentafsirkan nasionalisme Melayu sebagai berkata;
“Kebangsaan kita ( Melayu), kebangsaan yang memelihara dan menghidupkan hak kebangsaan Melayu yang bertaraf duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa atau kebangsaan yang lain di dunia ini.(Dr Burhanuddin Al-Helmy, Falsafah Kebangsaan Melayu, Bukit Mertajam: Pustaka Semenanjung, 1954) hlm. 83).
Jika kita melihat sejarah Barat berhubung wujudnya tindakan-tindakan yang didorong oleh nasionalisme, nasionalisme Barat boleh ditafsirkan sebagai suatu teori kepada negara bangsa, iaitu mengajak manusia untuk mengenal pasti kepentingan-kepentingan mereka yang bersifat kebangsaan dan untuk menyokong pembentukan sebuah negara – satu negara bangsa (Leon P. Baradat, Political Ideologies: Their Origins and Impact ed. ke 6, Prentice Hall International, Inc. ,1997, hlm. 44).
Ia merupakan satu fahaman yang menggambarkan suatu kesatuan fenomena politik bersama identiti kewujudan manusia, bersifat eksklusif dan menuntut setiap individu menumpahkan rasa taat setia kepada hanya satu negara bangsa (Ibid., hlm. 56 : 57). Fahaman ini lazimnya menjadi kembar kepada liberalisme (Ibid). Menurut sejarah, nasionalisme telah digabungkan bersama liberalisme pada kurun ke 19 (Ibid.). Kurun ini merupakan era nasionalisme menjadi persoalan yang amat besar dalam perbincangan-perbincangan orang Barat. Golongan liberal yang progresif telah menyokong pergerakan nasionalis dan revolusi-revolusi yang menentang rejim-rejim yang bersifat menindas dan tidak berperikemanusiaan. Gabungan ini (nasionalisme dan liberalisme) juga dikukuhkan setelah termeterainya Perjanjian Vienna. Ini kerana perjanjian ini secara tidak langsung telah meminggirkan kepentingan-kepentingan masyarakat peribumi yang sama-sama menjadi subjek perjanjian (Ibid).
Jika kita lihat dari aspek sejarah, terutama apabila ia dilihat bersama liberalisme, nasionalisme merupakan suatu gagasan yang bertujuan untuk memelihara kepentingan masyarakat peribumi apabila berlakunya kedatangan-kedatangan kelompok manusia lain yang bertujuan untuk berkongsi kehidupan dengan masyarakat peribumi. Ataupun suatu doktrin yang boleh dipegang oleh kelompok manusia yang lebih awal mendiami sesuatu kawasan atau negara sekalipun berlaku perubahan terutama dari aspek perubahan kependudukan, agar kepentingan kelompok manusia yang awal itu masih terpelihara. Ini kerana dalam pengajian perubahan sosial, nasionalisme adalah satu nilai yang mempunyai kesan yang penting, bukan sahaja dari segi masanya tetapi dari segi logiknya. Iaitu satu kadar integrasi nasional yang tinggi (Wilbert E. Moore, Perubahan Sosial , terj Cheu Hock Tong, K.L.: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 137).
Maka, apa yang dapat dirumuskan di sini ialah, konsep nasionalisme dari Barat ini tidak jauh berbeza dengan konsep nasionalisme Melayu apabila kita melihat pentafsiran yang dibuat oleh kedua-dua tokoh Melayu ini sekalipun mereka mendakwa ia berbeza. Bagaimana pula pandangan Islam terhadap nasionalisme?
Sebagai orang Islam, tidak asing bagi kita untuk mendengar sebuah hadis yang bermakna, “Menyintai ‘tanah air’ (atau bangsa) itu sebahagian daripada iman”. Ini menunjukkan bahawa pada dasarnya Islam tidak menentang perasaan nasionalisme atau kebangsaan dalam diri seseorang, dan dalam konteks perbincangan ini, nasionalisme Melayu.
Menurut Muhammad Abdul Rauf, nasionalisme berperanan sebagai sentimen kasih sayang dan ketaatan terhadap tanah tumpah darah atau tempat tinggal seseorang, yang timbul secara semulajadi (Muhammad Abdul Rauf, Ummah Negara Islam, terj. Padilah Haji Ali, K.L. : Dewan Bahasa dan Pustaka,1994, 22). Dan ini tidaklah menyimpang daripada Islam. Ia juga berperanan untuk meniupkan sentimen bagi menentang penguasaan asing dalam apa cara sekalipun, sesuai dengan konsep ‘izzah iaitu harga diri sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah s.w.t., yang bermaksud:
“Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang Mukmin.” (63 : 8)
Walaupun demikian, apabila ada hadis yang berbunyi:
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya mengenai ‘asabiyah (nasionalisme) oleh W?thilah; “Saya bertanya kepada Rasulullah apakah yang dikatakan ‘asabiyah ?,” jawab baginda, “bahawa kamu menolong kaummu di dalam kezaliman (Dari Abu Daw?d).” (Ab? Daw?d Ab? Daw?d (Sulaym?n ibn al-Asy’at al-Azdi al-Sajast?n?, Sunan Ab? Daw?d jil. 4, Beir?t: Mu’assah Abd al-Hafiz al-Bas?t , t.t., hlm. 331
Daripada dalil-dalil yang didapati di atas, maka rumusannya bolehlah dikatakan bahawa nasionalisme itu boleh diterima oleh Islam. Apatah lagi sekiranya nasionalisme itu memberikan manfaat kepada sesuatu bangsa itu, tentunya ia digalakkan oleh Islam. Ini kerana apa yang ditentang oleh Nabi ialah nasionalisme yang mengandungi unsur kezaliman dan penindasan terhadap bangsa lain. Seterusnya, penerimaan nasionalisme oleh Islam adalah selama mana ia tidak melibatkan kezaliman kepada orang lain dalam apa juga bentuk. Kezaliman juga boleh ditafsirkan sebagai penganiayaan atau peminggiran demi memelihara kepentingan sendiri.
Manakala dalam satu hadis yang lain, Rasulullah menyebut, yang bermakna :
“Bukanlah daripada golonganku sesiapa yang berperang atas alasan ‘asabiyah , bukan juga daripada golonganku yang mati disebabkan ‘asabiyah.” (Ibid)
Antara yang dapat difahami dari hadis ini menunjukkan bahawa, Islam tidak membenarkan ekstrimisme berlaku dalam nasionalisme. Ekstrimisme dalam erti kata, nasionalisme pada diri seseorang telah menyebabkannya menjadikan kepentingan yang bersifat nasional sebagai keutamaan dalam perjuangan hidupnya dan meminggirkan perkara-perkara lain yang lebih utama dari perspektif agama.
Sehubungan dengan perkara ini, nasionalisme Melayu yang dijadikan sebagai dasar dan teras perpaduan Melayu adalah satu dasar yang boleh diterima oleh Islam, selama mana dasar dan perpaduan ini tidak menafikan hak-hak asasi umat Islam lain dan juga bangsa-bangsa lain yang menjadi sebahagian rakyat negara. Malahan, kekuatan umat Melayu dalam arus politik negara sewajarnya menjadi teladan kepada bangsa-bangsa lain di dunia dalam melaksanakan sistem pemerintahan yang adil dan saksama.
Saya fikir, walaupun topik ini lebih menumpukan kepada persoalan bangsa Melayu, tetapi bagi pembaca yang tidak tergolong dari kalangan orang Melayu juga perlu memahami situasi ini. Bukan Melayu pula berperanan untuk memberi ingatan kepada orang-orang Melayu agar melaksanakan peranan besar yang perlu dipikul itu secara adil dan berhikmah.
Saya berpendapat, peralihan kuasa yang berlaku secara perlahan-lahan ini perlulah dianggap sebagai suatu cabaran kepada setiap diri kita untuk membuktikan bahawa kita tidak mengharapkan semata-mata kepada pihak pimpinan untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan orang Melayu.
Saya juga berpendapat bahawa sudah tidak ada istilah ‘menanti masa yang sesuai’ untuk kita berdiskusi di kalangan orang-orang Melayu yang tidak sehaluan pegangan politiknya untuk mencapai suatu kesepakatan dan pemuafakatan demi kemaslahatan umat Islam dan negara secara keseluruhannya. Setiap detik masa adalah amat berharga dan kita semua perlu tahu bagaimana untuk menghargainya. Pengunduran Dr. Mahathir dari tampuk pemerintahan dan pemergian Dato’ Fadzil Noor menghadap Ilahi adalah satu manifestasi takdir Allah swt yang menunjukkan bahawa kemudahan, kelebihan, peluang atau potensi yang Allah sediakan itu perlu dimanfaatkan sebelum Allah menarik balik peluang tersebut.
Kita perlu sama-sama memikirkan perancangan demi membangunkan umat Islam dan negara. Kita perlu mewujudkan suatu jaminan kepada generasi selepas kita bahawa rantaian perjalanan politik yang bakal mereka teruskan adalah satu perjalanan ke arah suatu sistem politik negara yang sempurna dan diredai Allah swt. Ini kerana perubahan politik pada masa hadapan berpotensi menghilangkan sentimen-sentimen sejarah yang selama ini dipegang oleh generasi pramerdeka. Dan kita juga maklum bahawa Islam adalah rahmat kepada sekalian alam sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’: 107)
Justeru itu, saya yakin mengikut konsep usaha dan tawakkal, nasionalisme dan perpaduan Melayu adalah mekanisme yang paling utama untuk kita mengembalikan kegemilangan yang pernah kita miliki pada zaman nenek moyang kita dahulu.