Sehari dua ini kita difahamkan bahawa masalah sosial seperti sumbang mahram, delinkuen di kalangan remaja, keruntuhan akhlak, perceraian dan seumpamanya yang berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini berpunca daripada kerapuhan institusi keluarga.
Maka, apakah jika masalah sosial ini tidak ada atau berkurangan, ini bermakna institusi keluarga kita juga berada pada tahap yang kukuh? Tinjauan kepada masyarakat Sweden akan memberikan jawapannya.
Ramai maklum bahawa masyarakat Sweden tidak berhadapan dengan banyak masalah sosial seperti banyak negara lain.
Menurut seorang pengkaji, David Popenoe, di kawasan urban di negara tersebut tidak terdapat banyak kejadian jenayah, penyalahgunaan najis dadah mahupun kemiskinan – tidak seperti yang dapat kita lihat di bandar-bandar yang lain.
Sebaliknya negara ini seolah-olah memenuhi janji sebuah negara kebajikan yang moden, dengan birokrasi kerajaan yang meluas dan profesional yang mengawasi hampir semua keperluan manusia.
Tetapi, satu kekurangan negara ini menurut pengkaji tersebut ialah institusi keluarganya adalah yang terlemah di dunia. Oleh kerana warganya mengharapkan kerajaan – dan bukannya pasangan – untuk mendapatkan bantuan kewangan, warga Sweden kurang cenderung untuk berkahwin berbanding dengan warganegara lain.
Atas sebab yang sama, bilangan orang dewasa yang tinggal bersendirian di negara ini agak tinggi iaitu 20 peratus, sama seperti Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, ramai pasangan yang hidup di luar ikatan perkahwinan (25 peratus, berbanding 4 peratus di AS) dan separuh daripada bayi Sweden lahir di luar ikatan pernikahan (berbanding di AS, sepertiga sahaja). Purata saiz isi rumahnya ialah antara yang terkecil di dunia iaitu 2.2 orang berbanding 2.7 di AS.
Akhirnya, pasangan di Sweden, sama ada yang berkahwin atau tidak, lebih cenderung untuk memutuskan hubungan berbanding pasangan di negara lain.
Menurut Popenoe, ada banyak sebab mengapa institusi keluarga di Sweden begitu lemah. Antaranya ialah berkembangnya budaya individualisme dan mencari kepuasan diri serta berkurangnya pengaruh agama dan kedua-dua faktor ini telah mula menghakis institusi keluarga Sweden sejak dari tahun 1960-an lagi.
Begitu juga dengan kemasukan wanita ke alam pekerjaan. Pada masa ini, Sweden mempunyai bilangan suri rumah tangga yang terkecil iaitu 10 peratus berbanding 25 peratus di AS dan peratus tenaga kerja wanita yang tertinggi iaitu 77 peratus berbanding 60 peratus di AS.
Namun, menurut Popenoe, punca yang paling utama yang menyumbang kepada institusi keluarga yang lemah di Sweden ialah berkembangnya konsep negara kebajikan.
Warga Sweden boleh bergantung kepada kerajaannya untuk semua perkara, daripada melahirkan anak, menyekolahkan mereka, memberi penjagaan kesihatan yang komprehensif, membantu mereka bila mereka tiada pekerjaan, malah, untuk menguruskan jenazah mereka bila berlaku kematian.
Dasar kebajikan ini disokong oleh ramai warganya kerana menganggap ia akan menguatkan institusi keluarga. Tetapi, apa yang berlaku ialah dengan mewujudkan kemudahan-kemudahan ini, kerajaan sebenarnya telah mengambil alih fungsi keluarga sehingga menjadikan warganya seolah-olah tidak perlu lagi kepada ikatan kekeluargaan.
Mungkin untuk mengelakkan keadaan inilah Islam meletakkan tanggungjawab menjaga kebajikan ahli keluarga kepada keluarga itu sendiri. Seorang suami/ayah bertanggungjawab kepada nafkah isteri dan anak-anaknya.
Sekiranya berlaku perceraian, si ayah tadi masih bertanggungjawab terhadap nafkah anak-anaknya manakala si isteri kembali ke bawah tanggungjawab keluarga asalnya, baik bapa, mahupun saudara kandungnya yang lelaki.
Sekiranya si suami meninggal dunia, hartanya diwarisi oleh anak dan isteri. Sekiranya ia tidak meninggalkan harta, maka sekali lagi tanggungjawab itu perlu dilaksanakan oleh waris suaminya. Hanya jika ini tidak boleh berlaku maka masyarakat perlu melaksanakan tanggungjawab ini melalui zakat dan seumpamanya. Hanya bila ini juga tidak boleh berlaku, barulah kerajaan perlu memainkan peranan.
Jika semasa kecil ibu bapa bertanggungjawab memelihara anak-anak mereka, di usia tua, mereka pula dipelihara dan dijaga kebajikannya oleh anak-anak mereka. Kegagalan anak-anak melaksanakan tanggungjawab ini akan meletakkan mereka dalam kemurkaan Allah. Ternyata bahawa dalam Islam peranan kerajaan dalam menampung keperluan keluarga adalah begitu kecil sekali.
Walaupun kerajaan memainkan peranan dalam menyediakan peluang pekerjaan agar ketua keluarga dapat mencari rezeki yang halal untuk keluarganya, ia tidaklah sampai kerajaan perlu memberikan elaun kepada keluarga tersebut.
Walaupun kerajaan perlu menyediakan institusi pendidikan, tidaklah sehingga semua kos itu perlu ditanggung oleh kerajaan. Dan walaupun kerajaan perlu memberi perkhidmatan kesihatan yang baik, tidaklah sehingga kelahiran anak ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Yang penting, ahli keluarga mesti tahu tanggungjawab mereka antara satu sama lain. Dengan adanya sifat bertanggungjawab ini, banyak masalah dapat dielakkan.
Sehubungan dengan itu, sekiranya keluarga berhadapan dengan ahli keluarga yang bermasalah atau yang memerlukan lebih perhatian seperti penyalahgunaan najis dadah atau anak yang kurang upaya atau ibu bapa yang uzur, keluarga itulah juga yang perlu menjaga, memelihara dan memulihkan ahli-ahlinya itu dan bukannya menyerahkan tanggungjawab itu kepada kerajaan semata-mata.
Ya, memang benar, oleh kerana penjagaan ahli-ahli yang seumpama itu memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu, maka kerajaan bolehlah membantu sedikit-sebanyak. Tetapi, kita perlu ingat bahawa institusi-institusi kerajaan yang ditubuhkan itu bukanlah tempat untuk kita meletakkan ahli-ahli keluarga kita seolah-olah mereka tidak ada waris yang bertanggungjawab menjaganya.
Kita perlu sedar tentang hakikat ini supaya kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita terhadap semua ahli keluarga, lebih-lebih lagi yang memerlukan perhatian yang khusus daripada kita.