Seorang teman dari Pakistan baru-baru ini berkongsi rasa tidak puas hatinya tentang kehidupannya di negara sendiri. Warganegara Pakistan ini memiliki sejarah kehidupan yang agak menarik. Walaupun ibu bapanya berasal dari Pakistan, tetapi dia bersama-sama adik-beradiknya yang lain dilahirkan dan dibesarkan di Arab Saudi. Pada tahun 1998, ketika usia beliau menghampiri 30 tahun, beliau bersama-sama keluarga pulang ke Pakistan untuk memulakan dan meneruskan kehidupan. Nabeel juga mempunyai seorang adik lelaki yang sedang menyempurnakan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang teknologi pertanian di Australia.
Sekalipun telah 15 tahun berada di negara nenek moyangnya, Nabeel masih belum dapat menyesuaikan diri dan merasa sangat tidak selesa untuk membina kehidupan berkeluarga serta membesarkan anak-anak. Sentiasa berada dalam ketakutan dan tidak selamat. Mengapa ini terjadi kepada Nabeel dan ahli keluarganya? Ujar beliau, berbanding Arab Saudi, Pakistan adalah sebuah negara yang sentiasa tidak tenteram; di mana-mana sahaja berlaku jenayah. Penipuan dan amalan rasuah berlaku secara berleluasa. Membesar dan meniti kedewasaan di Arab Saudi merupakan pengalaman yang sentiasa dimimpikan lagi oleh Nabeel dan ahli keluarganya. Mereka amat merindukan kehidupan yang aman damai yang dapat memberikan ketenangan fikiran dan jiwa.
Nabeel sentiasa berharap agar dapat berhijrah dari negaranya sendiri dan membuka perniagaan di mana-mana negara di dunia ini. Begitu juga dengan adiknya, yang berhasrat untuk terus bermastautin di Australia. Sedikit pun dia tidak berniat untuk pulang semula ke negara warisan keturunan mereka sementelah ia bukan lagi sebuah tempat yang sesuai untuk didiami dan meneruskan kelangsungan kehidupan buat diri mereka dan keturunan selepasnya.
Luahan dan perkongsian Nabeel amat memberi kesan kepada saya. Ia menggetarkan perasaan saya apabila saya melihat kemelut politik dalam negara sendiri yang seolah-olahnya semakin menyaingi ketenteraman yang sedang kita nikmati. Apakah ini fenomena sementara ataupun ia berterusan lalu anak-anak dan keturunan selepas kita akan mewarisi kemelut dan konflik ini?
Kita semua mencita-citakan ketenangan dan keamanan. Suasana inilah yang akan memberi laluan kepada kita untuk mencapai kebahagiaan. Disebut oleh Farabi bahawa tujuan bernegara adalah hendak mencapai kebahagiaan. Idea al-Farabi ini disambut oleh Imam Abdul Hamid al-Ghazali sebagai, “… dengan adanya negara yang adil dan makmur baharulah kebahagiaan di dunia dan akhirat dapat dicapai”.
Jika sesebuah negara itu merupakan sebuah kawasan yang dari sudut geografinya sesuai dijadikan penempatan manusia dan aman sifatnya, maka erti kebahagiaan akan menjadi sesuatu yang bersifat subjektif pada masyarakat manusia yang mendiaminya. Tetapi, keamanan dan jaminan keselamatan merupakan perkara yang wajib ada bagi kita mencapai kebahagiaan menurut tafsiran masing-masing selama mana kebahagiaan yang ditafsirkan atau diterjemahkan itu tidak menjentik atau mengusik keamanan itu sendiri.
Kisah Nabeel dan negaranya memberi pengajaran kepada kita bahawa penipuan, amalan rasuah dan pecah belah adalah musuh ketat kepada keamanan. Sehubungan itu, kehidupan tanpa landasan agama yang betul akan memberi kebarangkalian yang besar kepada perlakuan salah, menipu, amalan rasuah dan jenayah. Sedari kecil kita diperdengarkan dengan pantun ringkas yang manis untuk didengar tetapi mesejnya perlu terpahat dalam hati, “siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”. Ia merupakan nasihat sekali gus amaran bahawa perlakuan salah itu boleh merantai perlakuan salah yang lain, dan satu perlakuan salah boleh mengembang menjadi perlakuan salah yang jauh lebih besar, bahaya dan akhirnya memberi kemudaratan kepada masyarakat dan negara.
Pada hari ini, kita lebih banyak disuakan dengan cerita-cerita yang bernada marah, sedih dan membimbangkan berbanding dengan kisah-kisah yang menggembirakan, mendamaikan dan menyihatkan jiwa dan minda. Seawal kita bangun pagi sehinggalah kita hendak melelapkan mata, kita perlu sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga. Seawal mana kita bergerak untuk mencari pendapatan yang halal, lebih awal lagi pencuri, perompak dan peragut memulakan tindakan mereka. Dengan fenomena yang berlaku ini, seolah-olahnya kita semakin menghampiri keadaan yang dirasai oleh Nabeel. Dari sudut amalan rasuah, walaupun sejak tahun 2009 Indeks Persepsi Rasuah negara kita masih kekal rendah, kita masih perlu bersama-sama untuk terus memeranginya.
Semakin lama kita mendekati waktu pilihan raya, walaupun tanpa tahu tarikh sebenar, saya percaya kebanyakan daripada kita berasa bimbang terhadap kesejahteraan negara tercinta ini. Kita lihat di mana-mana sahaja terdapat luahan rasa marah dan ketidakpuasan hati. Seakan tidak kunjung surut daripada berpolemik dan berpolitik. Saya bersetuju dengan pandangan seorang kawan, sekarang ini semua perkara hendak dipolemikkan dan dijadikan punca kepada percanggahan dan perbezaan (politik). Hatta kalimah yang suci juga dipilih dan menjadi perebutan, sedangkan perebutan itu sendiri sebahagian daripada pecah belah. Seolah-olahnya semua tidak sedar bahawa negara ini memiliki Perlembagaan dalam mengarahkan hala tuju bangsa dan negara. Apabila Islam telah diperuntukkan sebagai agama negara dalam Perlembagaan Persekutuan, sewajarnya tidak timbul lagi soal hukum-hakam dan agama menjadi isu-isu politik. Ujar seorang sahabat yang lain, jangan mempolitikkan Islam, tetapi berpolitiklah secara Islam.
Ibnu Taimiyah dalam tulisan beliau antaranya menyebut bahawa matlamat paling unggul dalam autoriti politik adalah untuk menjamin bahawa Islam itu agama negara dan menjadikan ia sebagai cara hidup, melangkaui semua aspek kehidupan dan kemanusiaan. Dengan itu menjadikan kalimah Allah SWT sebagai yang tertinggi dan paling unggul.
Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia harus menepati konsep negara Islam yang bersifat bebas dan selamat untuk seluruh rakyat dan orang-orang yang mendiaminya. Kita harus belajar dari kisah di atas, bagaimana Pakistan yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam tetapi ada kalangan rakyatnya yang lebih mengiktiraf negara bukan Islam sebagai sebuah negara yang lebih selamat untuk didiami.
Apa yang ditawarkan oleh para politikus dan parti-parti yang akan bertanding nanti menggambarkan perkara yang menjadi hasrat bakal pihak pemerintah terhadap rakyat. Rakyat amat mengharapkan suasana iklim berpolitik yang matang dan bersifat sederhana, memahami batas dan menghormati antara satu sama lain. Apa yang sebenarnya diperlukan rakyat ialah kesejahteraan. Jika semua pihak insaf bahawa agama Islam yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu merupakan teras kenegaraan, maka sesiapa sahaja yang akan memerintah akan memastikan kesejahteraan itu berada dalam ruang lingkup maqasid al-Shariah, iaitu menjaga kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta. Negara kita sepatutnya adalah syurga kita.